Karangan
Kepentingan Sektor Industri Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara
Kepentingan sektor industri pelancongan merupakan antara soalan karangan yang kerap digunakan oleh sekolah dalam memberi latihan kepada pelajar. Pelbagai contoh dan idea dapat diolah dan dihuraikan oleh pelajar sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan kepentingan sektor industri pelancongan kepada rakyat dan negara.
Para pelajar mempunyai kebebasan untuk menulis mengikut daya penulisan mereka sendiri. Penggunaan peribahasa, simpulan bahasa dan penanda wacana mampu menambah daya tarikan terhadap penulisan karangan para pelajar. Contoh karangan di bawah terdiri daripada pendahuluan, empat isi penting dan penutup.
Isi Kandungan
Kepentingan sektor pelancongan kepada ekonomi negara dan rakyat
Isi-Isi Penting
- ekonomi – sosio-ekonomi masyarakat, pelancongan kesihatan
- infrastruktur – lapangan terbang antarabangsa, jaringan jalan raya
- budaya dan alam semulajadi dihargai – taman negara dan taman laut
- menarik pelabur asing – taman tema antarabangsa
- wujud kesan berganda dalam pelbagai industri
- menjadi wakil perpaduan antarabangsa
Contoh Karangan Kepentingan sektor industri pelancongan kepada rakyat dan negara
Pendahuluan
Industri pelancongan merupakan antara sektor utama dalam ekonomi negara Malaysia. Pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998 telah membuka mata dunia terhadap negara Malaysia. Sejak dari tahun itu, kerajaan Malaysia bersama-sama sektor swasta telah menyemarakkan industri pelancongan negara dengan jayanya. Kedudukan Malaysia yang terletak di garisan khatulistiwa dan beriklim panas dan lembap telah membentuk pelbagai kekayaan alam semulajadi yang menjadi penarik utama para pelancong. Daripada puncak Gunung Kinabalu kepada keindahan terumbu karang di Pulau Tioman, Malaysia menerima kunjungan yang amat ramai saban tahun, maka adalah penting untuk mengekalkan konsistensi dalam pembangunan dan pelaksanaan industri pelancongan negara.
Isi 1
Antara kepentingan ulung industri pelancongan adalah ekonomi. Ekonomi negara bergantung kepada industri pelancongan. Sebagai contoh, sosio-ekonomi di luar bandar dapat berkembang apabila mendapat peluang pekerjaan seperti pemandu pelancong atau membuka rumah inap dan restoran untuk menampung kehadiran pelancong. Dalam kawasan bandar pula, pelancongan kesihatan dapat dijana oleh hospital-hospital swasta sekaligus menambah bilangan pengunjung dan hotel di kawasan sekitar. Hal ini kerana perkhidmatan kesihatan di negara adalah berpatutan berbanding di negara asal pelancong dan mereka melakukan aktiviti pelancongan kesihatan untuk menjimatkan kos perkhidmatan yang mereka inginkan.
Isi 2
Selain itu, industri pelancongan secara tidak langsung telah menggalakkan penambah-baikan infrastruktur di dalam negara kita di mana rakyat juga mendapat tempias manfaatnya. Hari ini, hampir setiap negeri sudah mempunyai lapangan terbang dan beberapa diantaranya menawarkan penerbangan antarabangsa seperti di Lapangan Antarabangsa Langkawi. Pelancong mendapat akses yang mudah untuk ke tempat yang ditujui tanpa perlu mengharungi perjalanan yang jauh seperti dahulu kala. Infrastruktur seperti jalan raya dan pengangkutan awam juga menjadi semakin baik apabila kawasan luar bandar yang mempunyai kawasan tarikan pelancong seperti pantai atau air terjun dan gua memerlukan tahap ketersampaian oleh pelancong-pelancong.
Isi 3
Kepentingan industri pelancongan yang lain adalah keunikan budaya dan alam semula jadi negara dapat dikongsi serta dihargai. Eko-pelancongan merupakan antara pendekatan yang berjaya dan diraikan oleh semua dimana pelancong akan melawat kawasan-kawasan semula jadi seperti Taman Negara Endau- Rompin dan Taman Laut Terengganu di samping usaha pemeliharaan kawasan tersebut berjalan seiring. Pelancong dapat menyaksikan pusat konservasi gajah atau menikmati keindahan hidupan laut dengan menyelam di sekitar pulau-pulau di Malaysia. Seperti peribahasa Melayu berkata,”Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran” yang bermaksud kita perlulah menyelaraskan usaha pembangunan seiring dengan memelihara apa yang kita miliki.
Isi 4
Tambahan pula, industri pelancongan telah menarik pelbagai pelabur asing untuk melabur di dalam negara kita. Antaranya adalah dari segi hospitaliti dimana pelabur berminat untuk mengusahakan hotel, pusat membeli belah dan juga membina taman tema. Sebagai contoh, pembukaan Legoland di negeri Johor telah menarik minat ramai pelancong terutamanya dari negara luar kerana ia merupakan taman tema berjenama Lego yang pertama di Asia tenggara. Kehadiran pelabur asing dapat membantu kerajaan mengurangkan kos yang digunakan dalam sektor pelancongan sekaligus memberi lebih faedah kepada rakyat dan negara khususnya.
Penutup
Konklusinya, pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh rakyat serta negara sekiranya industri pelancongan di Malaysia berjaya dan diuruskan dengan efisien. Justeru, penggubal undang-undang dan polisi negara seharusnya mnyusun rangka terbaik dalam membentuk formula dalam industri pelancongan negara supaya dapat memberi pulangan maksima kepada rakyat dan negara. Industri pelancongan adalah industri yang sihat dan wajar untuk diteruskan dan disandarkan pada ekonomi negara sekiranya diurus dengan baik. Maka, promosi pelancongan negara perlu dilaksanakan dengan lebih jitu dan berkesan agar seluruh pelusuk dunia tahu dan berminat untuk melawat negara kita suatu hari nanti. Bak kata pepatah,”tidak kenal maka tidak cinta” yang bermaksud kita perlulah memperkenalkan negara kita sehingga perasaan minat dan cinta akan Malaysia itu timbul kelak.