Karangan

Faktor-Faktor Berlakunya Krisis Makanan Global

Kemahiran kritis dan kreatif diperlukan oleh pelajar dalam menghasilkan penulisan karangan Bahasa Melayu yang baik dan cemerlang. Ia juga bergantung kepada cara pengutaraan isi-isi penting yang sesuai dan seimbang. Selain itu, penggunaan tatabahasa yang betul dan tiada kesalahan ejaan. Maka berikut adalah contoh karangan berkenaan faktor-faktor berlakunya krisis makanan di sesebuah negara sebagai rujukan pelajar.

Tajuk soalan ini akan menguji pengetahuan am para pelajar dalam krisis antarabangsa. Justeru, pelajar perlu peka dan sentiasa ambil tahu akan isu-isu terkini yang melanda negara kita mahupun negara asing. Panduan dan bimbingan daripada guru masing-masing adalah mustahak. Oleh itu, latihan yang banyak harus dilakukan pelajar-pelajar bagi membiasakan diri menulis karangan dengan menggunakan bahasa yang betul dan menarik.

Faktor-Faktor Berlakunya Krisis Makanan di Sesebuah Negara

peta minda faktor krisis makanan 1 Faktor-Faktor Berlakunya Krisis Makanan Global

  • jurang ekonomi yang semakin jauh menyebabkan harga pasaran makanan dunia naik
  • pertambahan jumlah penduduk yang naik secara drastik
  • bencana alam merosakkan proses pembuatan makanan
  • sumber makanan dieksploitasi sebagai sumber lain
  • tiada kajian atau persediaan dalam menghadapi bencana

Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Faktor-Faktor Berlakunya Krisis Makanan Di Sesebuah Negara

Pendahuluan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh krisis yang mengancam kemajuan tamadun manusia hari ini. Makanan merupakan satu perkara asas dalam kehidupan seorang manusia sama seperti tempat tinggal dan pakaian. Adalah tidak wajar apabila krisis kekurangan bekalan makanan boleh berlaku di beberapa negara di dunia disebabakan oleh pelbagai faktor. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini adalah ia melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu. Sebelum mengorak langkah dalam menyelesaikan masalah ini, kita perlu mengetahui faktor-faktor berlakunya krisis makanan di sesebuah negara itu boleh terjadi.

Isi 1

Antara faktor utama yang menyebabkan krisis makanan berlaku di beberapa buah negara adalah disebabkan kenaikan harga makanan di pasaran dunia. Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun lalu. Negara yang mempunyai daya jual beli yang rendah di peringkat antarabangsa akan mengalami kesukaran untuk membeli sumber makanan bagi menampung keperluan makanan negara mereka. Sebagai contoh, kita masih mengimport pelbagai jenis sayur dan buah dalam pasaran tempatan seperti cili dan apabila berlaku kekurangan bekalan, harga sayur tersebut naik secara mendadak. Oleh itu, langkah merapatkan jurang ekonomi antara semua negara merupakan langkah terbaik dalam menangani masalah kenaikan harga makanan sekaligus memperkasa ekonomi dunia supaya berdaya saing dengan sihat.

Isi 2

Selain itu, faktor yang menyumbang kepada berlakunya krisis makanan adalah pertambahan jumlah penduduk di muka bumi amnya dan di sesebuah negara khususnya. Lantaran itu sehingga kini berlaku ketidak seimbangan dalam kadar pengeluaran makanan dan pertambahan jumlah penduduk. Pengeluaran makanan pula dipengaruhi pelbagai faktor seperti sumber bahan mentah, sumber kewangan ataupun sumber tanah untuk peladangan yang semakin terhad hari ini. ‘Mogok Tempe’ selama tiga hari oleh para peniaga pula telah berlaku di Indonesia apabila harga bahan asas pembuatan tempe iaitu kacang soya meningkat dari sekitar Rp3,000 pada tahun 2007 kepada Rp7,400 pada tahun 2008. Hal ini kerana permintaan yang terlalu banyak dan tidak sejajar dengan pengeluaran makanan ruji tersebut. Pembiakan manusia tidak boleh dihalang tetapi boleh di kawal agar kesama rataan dalam pelbagai aspek dapat dicapai bersama.

Isi 3

Seterusnya, faktor yang menyumbang kepada kejadian krisis makanan adalah disebabkan bencana alam. Kebanyakan makanan ruji seperti gandum, beras dan bijiran merupakan hasil tanaman di ladang-ladang dan berisiko terhadap bencana alam seperti banjir dan sebagainya. Australia dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun 2007 menyebabkan hasil gandum negaranya telah menyusut sebanyak 60%. Hasil tuaian dari China juga telah menyaksikan penyusutan sebanyak 10% sepanjang 7 tahun yang lalu. Faktor-faktor ini dikatakan menjadi sebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yang boleh diperolehi oleh penduduk dunia. Justeru, kaedah baru perlu digunakan dalam pembuatan makanan bagi mengelak daripada terjejas akibat bencana alam, pencemaran mahupun perubahan iklim dunia. Pakar teknologi dan pakar agronomi perlu berganding bahu dalam mencari solusi terbaik untuk memastikan pengeluaran makanan dapat dikembangkan tanpa risiko kerugian seperti musnah akibat bencana alam.

Isi 4

Di samping itu, antara sebab berlakunya krisis makanan adalah sumber makanan dieksploitasi menjadi sumber lain yang mendatangkan hasil kewangan yang lebih lumayan. Misalnya, pada tahun 2007, suku daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan etanol yang merupakan antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan api bio yang mana jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 60% pasaran jagung dunia. Penghasilan bahan api bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekali gus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan pemakanan. Perkara ini hendaklah dielakkan kerana pelbagai alternatif lain seperti minyak sawit yang berpotensi untuk dijadikan sumber bahan api bio. Maka, setiap negara seharusnya mempunyai dasar atau peraturan dalam memastikan bekalan dan pengeluaran makanan tidak diganggu dengan agenda lain supaya krisis makanan dapat dielakkan.

Penutup

Secara tuntas, kita telah meneliti faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya krisis makanan di sesebuah negara. Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan hanya sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi semakin kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkat dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Intihannya, masyarakat dunia harus sedar dan bersifat madani dalam mendepani masalah ini agar kemampuan kita dalam mempunyai bekalan makanan yang cukup dapat dikecapi bersama-sama negara yang menghadapi krisis makanan. Persis kata mutiara, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang membawa maksud kita seharusnya bersama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya kebaikan dan kelangsungan masa hadapan dapat dinikmati bersama.