Karangan

Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Sikap Saling Hormat Menghormati

Bagi membantu pelajar menulis karangan Bahasa Melayu dengan mudah, guru akan memberikan tajuk karangan yang mudah difahami oleh mereka. Sebagai contoh, tajuk karangan yang bertemakan kekeluargaan, negara atau sekolah. Di bawah dikongsikan contoh karangan peranan ibu bapa memupuk sikap hormat menghormati dalam kalangan anak-anak untuk rujukan semua.

Tema kekeluargaan adalah antara tema karangan yang lazim disoal kepada pelajar kerana ia mampu membantu pelajar memberikan isi penting dan huraian yang terbaik. Sekiranya tajuk karangan seperti ini menjadi pilihan pelajar, sila pastikan anda menulis dengan tatabahasa yang betul, contoh yang berkaitan dan peribahasa yang menarik. Penanda kertas pastinya akan membaca dengan penuh teliti huraian pelajar sama ada ia menjawab soalan yang diberikan atau tidak.

peta minda peranan ibu bapa pupuk nilai hormat menghormati Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Sikap Saling Hormat Menghormati

Peranan Ibu Bapa Memupuk Sikap Hormat Menghormati Dalam Kalangan Anak-Anak

Isi-isi penting

  • Menjadi suri tauladan kepada anak-anak
  • Memberikan didikan agama dan moral
  • Membawa anak-anak melawat saudara-mara
  • Menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong
  • Menonton filem atau drama yang bertemakan kekeluargaan

Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Sikap Hormat Menghormati

Pendahuluan

Mutakhir ini, generasi muda semakin hari semakin galak untuk mengekpresi diri mereka terutamanya di dalam sosial media. Kemajuan sains dan teknologi pada hari ini telah membuka ruang yang perlu diberikan had dan bimbingan khususnya dalam kalangan remaja atau kanak-kanak. Kita boleh lihat dimana guru-guru dilayan seperti rakan sebaya oleh pelajar hanya kerana mereka tidak meminati subjek atau cara pengajaran guru tersebut. Situasi ini seharusnya menjadi topik perbincangn dalam kalangan pemimpin negara, masyarakat dan ibu bapa kerana pembentukan generasi muda yang saling menghormati tanpa mengira usia atau latar belakang dapat direalisasikan. Oleh itu, wajar untuk dihuraikan apakah sebenarnya peranan ibu bapa memupuk sikap hormat menghormati dalam kalangan anak-anak.

Isi 1

Prakarsa utama dalam perbincangan ini adalah ibu dan bapa seharusnya menjadi suri tauladan terbaik kepada anak-anak. Setiap insan yang dilahirkan di dunia ini dianugerahkan ahli keluarga sebagai makhluk yang paling rapat. Justeru, ibu dan bapa perlu mengelak menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan kerana sejak mereka kecil sehingga mereka membesar, insan yang paling rapat dan banyak mereka perhati adalah ibu dan bapa mereka sendiri. Dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan untuk menjaga zuriat yang dikurniakan, ibu dan bapa hendaklah sentiasa menjaga budi dan pekerti di rumah atau di mana-mana sahaja. Seperti peribahasa Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tegasnya, dalam membentuk generasi muda yang menunjukkan nilai hormat, ia hendaklah dimulakan oleh ibu dan bapa mereka sendiri.

Isi 2

Peranan lain ibu dan bapa boleh laksanakan dalam memupuk sifat hormat dalam anak-anak adalah dengan memberikan didikan agama dan moral. Jika ditelusuri, setiap agama menggalakkan kita sebagai manusia untuk melakukan kebaikan antara satu sama lain. Begitu juga dengan nilai hormat-menghormati kerana dengan menjaga hubungan yang baik sesama manusia, pasti hubungan dengan Tuhan juga akan terjaga. Misalnya, agama Islam menggalakkan kita untuk saling mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sebagai permulaan sebuah perbualan atau ucapan. Ia bukan sahaja sekadar ucapan tetapi juga doa yang kita berikan kepada mereka yang supaya sejahtera hendaknya. Tambahan pula, sebagai masyarakat yang hidup dalam berbilang kaum dan agama, nenek dan moyang kita telah berjaya menunjukkan sifat hormat-menghormati mampu menghasilkan negara yang aman sentosa.

Isi 3

Selain itu, kaedah alternatif yang dapat memupuk nilai hormat-mennghormati adalah dengan membawa anak-anak melawat saudara-mara. Sebagai medan ujian untuk melihat perangai dan sikap anak-anak, melawat ahli keluarga atau saudara-mara adalah cara terbaik. Ibu dan bapa boleh melihat dengan mata kasar sama ada anak-anak anda mempraktikkan nilai hormat-menghormati khususnya terhadap mereka yang lebih tua. Malahan warga tua seperti datuk dan nenek pasti akan menghargai kunjungan tersebut dan cuba untuk berinteraksi dengan generasi muda dan menyemai nilai-nilai murni.  Secara tidak langsung, kita juga dapat melihat didikan yang diberikan oleh ahli keluarga kita yang lain kepada anak-anak mereka. Ibarat sambil menyelam, minum air. Sekiranya sikap hormat-menghormati tersebut tidak disemat dalam keluarga atau saudara-mara anda, lawatan ke rakan-rakan sekerja atau rumah kebajikan pasti dapat membantu.

Isi 4

Akhir sekali, menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong oleh anak-anak pasti dapat membantu ibu dan bapa untuk memupuk sikap hormat-menghormati dalam diri mereka. Hal ini kerana, aktiviti ini memerlukan mereka mendengar arahan yang diberikan oleh ketua untuk menyelesaikan tugasan. Situasi sama yang akan berlaku dalam setiap peringkat kehidupan mereka. Dengan nilai hormat kepada ketua dan juga sebaliknya, mereka pasti dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan efektif dan berkesan. Interaksi sosial yang berlaku apabila mereka sertai program kemasyarakatan dapat menambah pelbagai nilai murni dalam diri mereka agar berguna untuk masa hadapan. Begitu juga dengan aktiviti kesukanan yang dapat memupuk sifat hormat dalam diri generasi muda. Misalnya dalam sukan seperti bola sepak dan badminton dimana melibatkan dua pasukan yang bertanding untuk mendapatkan kemenangan. Namun, setiap ahli pasukan perlu saling menghormati pasukan lawan serta meraikan kemenangan atau menerima kekalahan dengan hati terbuka kerana ia merupakan adat pertandingan.

Penutup

Konklusi daripada perbincangan diatas, kita dapat lihat bahawa ibu dan bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai hormat-menghormati dalam anak-anak mereka. Obligasi yang perlu ditanggung oleh ibu dan bapa adalah mustahak bagi melahirkan anggota masyarakat yang kaya dengan pelbagai budi pekerti. Oleh sebab yang demikian, tindakan yang wajar perlu dipraktikkan sejak peringkat kanak-kanak kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bagi mencapai kemajuan di peringkat nasional dan antarabangsa, pembentukan generasi muda yang berketrampilan tinggi adalah penting supaya setiap cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi oleh negara dapat diselesaikan dengan solusi yang terbaik. Semoga nilai hormat-menghormati menjadi antara nilai murni yang selalu diamalkan oleh setiap peringkat umur anggota masyarakat di dalam negara agar masyarakat dunia memandang tinggi keperibadian negara serta mencapai kemakmuran bersama.

Related : untuk mendidik, memberi impak, golongan tua, menyebabkan anak anak, mendidik anak anak, kasih sayang, orang tua, kerana anak, untuk memahami, salah satu, ibu bapa mestilah,