Karangan

Langkah & Cara Menangani Masalah Penyakit Berjangkit

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Contoh-contoh karangan yang dikongsikan merangkumi pelbagai jenis topik dan tema. Variasi soalan ini adalah untuk menguji kemampuan para pelajar untuk memberikan isi-isi penting dan huraian yang menarik agar dapat menjawab soalan dengan tepat serta penggunaan bahasa yang betul. Berikut adalah contoh karangan cara-cara menangani masalah penyakit berjangkit yang menjadi isu penting untuk dibincangkan dan dipertimbangkan oleh para pelajar.

Topik yang seringkali diberikan adalah bertemakan masyarakat atau isu yang berlaku dalam dan luar negara. Justeru, bimbingan dan panduan guru dalam merujuk contoh dibawah diperlukan agar penulisan karangan pelajar menepati kehendak soalan. Karangan yang menarik juga terdapat peribahasa dan frasa-frasa menarik yang mampu memukau pembaca.

Langkah Dan Cara Menangani Masalah Penyakit Berjangkit

peta minda cara tangani masalah penyakit berjangkit

Isi-isi penting

  • memastikan kebersihan diri dan persekitaran terjamin
  • mengamalkan gaya hidup sihat
  • mengawal kemasukan pelancong dan buruh asing
  • memeriksa bahan-bahan import
  • sentiasa membuat penyelidikan tentang penyakit berjangkit
  • melupuskan ancaman penyakit berjangkit dengan segera

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksudnya

Contoh Karangan Cara-Cara Menangani Masalah Penyakit Berjangkit

Pendahuluan

Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini kita dapat menyaksikan peningkatan kes-kes penyakit berjangkit di dalam negara mahupun di seluruh pelusuk dunia. Penyakit berjangkit  dikategorikan sebagai subset penyakit-penyakit yang boleh ditularkan dan berjangkit kepada orang lain. Ia mampu merebak melalui laluan udara dan juga melalui hubungan fizikal. Polemik yang semakin membimbangkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya ini umpama duri dalam daging. Rentetan itu, kita wajar untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menangani masalah penyakit berjangkit ini. Persis kata mutiara, mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 1

Prakarsa utama dalam menghadapi masalah penyakit berjangkit adalah tindakan setiap individu dalam masyarakat untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Kebersihan diri adalah nilai penting yang wajib diamalkan oleh semua manusia kerana kekotoran adalah punca kepada penularan penyakit. Setiap ahli masyarakat perlu mengutamakan kebersihan diri dengan membuang sampah di tempat yang betul, sentiasa mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan memilik restoran yang memiliki tahap kebersihan terbaik. Aktiviti bergotong-royong dalam membersihkan kawasan perumahan dan tempat-tempat awam perlu sentiasa dianjurkan agar kebersihan dijaga di samping hubungan kemasyarakatan dapat dieratkan. Maka, kita perlu sentiasa mengingatkan diri dan orang sekeliling supaya menitik beratkan aspek kebersihan diri dan persekitaran dalam kehidupan seharian.

Isi 2

Cara lain dalam mencegah penyakit berjangkit adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Masyarakat yang inteligensia adalah masyarakat yang mempraktikkan gaya hidup sihat kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja pada diri malahan berfaedah untuk negara. Gaya hidup sihat merangkumi pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti riadah atau bersukan. Aktiviti ini yang dilakukan pada waktu lapang ini akan memanfaatkan diri individu tersebut. Mereka akan terhindar dari penyakit dan tahap imunisasi badan lebih kuat berbanding individu yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Tambahan pula, pemakaian kondom dalam pelakuan seks suka sama suka juga adalah penting sebagai langkah kebersihan dan mengelakkan penyakit yang tiada penawar sehingga hari ini iaitu penyakit HIV dan AIDS. Justeru, pendidikan dan kempen kesedaran perlu digiatkan dalam melibatkan semua lapisan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah menangani masalah penyakit berjangkit.

Isi 3

Selain itu, penyakit berjangkit ini juga berpotensi dibawa oleh pelancong atau buruh asing. Pihak berkuasa bertanggungjawab untuk memperketatkan kawalan kemasukan pelancong dan buruh asing ke dalam negara. Pelancong asing mempunyai risiko rendah berbanding buruh asing yang akan menetap lebih lama dan berisiko bergaul dengan masyarakat tempatan. Oleh itu, saringan kesihatan perlu diwajibkan dan penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu diperkasakan. Amalan kebersihan mereka mungkin berbeza daripada kita jadi, pihak yang bertanggungjawab membawa buruh asing ini perlu memastikan kebajikan pekerja mereka dijaga dengan baik. Kesannya, kita dapat menjamin kesihatan kita di samping menyemarakkan ekonomi dengan kawalan yang baik ke atas kemasukan pelancong dan buruh asing.

Isi 4

Akhir sekali, cara-cara menangani masalah penyakit berjangkit adalah dengan memeriksa setiap bahan import yang masuk ke dalam negara. Hal ini kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti peristiwa yang telah berlaku dahulu di negara China dimana berlaku serangan penyakit selesema burung yang serius. Pihak berkuasa perlu memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Sumber makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan juga perlu disaring dan dipastikan kebersihannya daripada sebarang keracunan dan penyakit. Kerjasama antara agensi penguatkuasa dan kesihatan perlu dipereratkan agar tindakan ini dapat dijalankan dengan baik dan sekaligus memusnahkan ancaman penyakit berjangkit daripada luar.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak cara yang boleh diusahakan untuk menangani masalah penyakit berjangkit dalam negara ini. Tindakan secara holistik oleh semua pihak akan menyumbang kepada penurunan kes penyakit berjangkit ini seterusnya melahirkan negara yang bebas penyakit berjangkit. Media massa dan kerajaan berperanan besar dalam menyedarkan masyarakat kita akan kepentingan dan manfaat mencegah penularan penyakit berjangkit ini. Janganlah kita berfikiran jumud dalam perkara ini kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Peribahasa ini membawa maksud kita perlulah sedar dan mengambil tindakan segera ke atas perkara yang merbahaya ini agar tidak kesal akan akibatnya dikemudian hari.