Karangan

Langkah Memajukan Mutu Sukan Negara

Subjek Bahasa Melayu diuji kepada pelajar dalam bentuk penulisan karangan. Ujian berbentuk karangan dapat menunjukkan tahap penguasaan bahasa pelajar dari segi penggunaan tatabahasa, frasa-frasa menarik dan sebagainya. Oleh itu, pelajar harus berusaha membuat latihan bagi menambah baik kemahiran dalam penulisan karangan. Berikut dikongsikan contoh karangan langkah memajukan mutu sukan negara untuk rujukan pelajar-pelajar.

Pelajar bebas untuk memberikan isi-isi penting yang bernas disamping pengolahan yang menarik bagi mendapatkan penulisan karangan terbaik. Berkaitan topik yang dipilih, pelajar hendaklah memberikan cadangan yang logik dan mampu memberi perubahan supaya ia berbeza daripada idea biasa dan menonjol di mata pembaca atau penanda kertas. Jika pelajar berasa khuatir dengan penulisan karangan masing-masing, pelajar dinasihatkan untuk mendapatkan bimbingan daripada guru-guru bahasa di sekolah.

Langkah-Langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara

peta minda langkah memajukan sukan negara Langkah Memajukan Mutu Sukan Negara

Isi-isi penting

  • menyediakan infrastruktur sukan yang lengkap
  • mendedahkan atlet ke pertandingan antarabangsa
  • memperkasa peranan persatuan sukan
  • menggunakan sains dan teknologi dalam sukan
  • memastikan kebajikan atlet terjamin
  • memperbaiki program pembangunan atlet

Baca juga: Cara Kira Berapa Patah Perkataan Dalam Karangan BM

Contoh Karangan Langkah-Langkah Memajukan Mutu Sukan Negara

Pendahuluan

Sukan boleh didefinisikan sebagai segala jenis gerak badan yang memerlukan tenaga dan digunakan untuk permainan. Mutakhir ini, kita dapat melihat bahawa sukan mampu menjadi sebuah industri yang menjana ekonomi di peringkat tempatan dan juga global. Sebagai contoh, penganjuran Piala Dunia Bola Sepak 2018 di Rusia telah  mendapat jumlah keuntungan sebanyak 5 billion US Dollar hasil daripada hak penyiaran dan pelbagai lagi. Namun, sebelum melihat kepada potensi sukan secara global, adakah mutu sukan negara kita berada di tahap yang membanggakan? Apakah langkah-langkah yang perlu dilaksana bagi memajukan mutu sukan negara?

Isi 1

Langkah utama dalam memajukan industri sukan tempatan adalah dengan memastikan infrastruktur sukan yang lengkap disediakan di seluruh negara. Secara asasnya, setiap aktiviti sukan memerlukan gelanggang permainan seperti padang, kolam renang dan balapan. Cuba kita lihat di kawasan berdekatan kita, adakah setiap dearah mempunyai kolam renang, padang dan balapan yang cukup sifatnya dan diselenggara dengan baik? Sekiranya tidak maka kegagalan penyediaan infrastruktur sukan yang lengkap adalah perkara yang menyumbang kepada pembantutan kemajuan sukan negara.  Jika tiada infrastruktur sukan yang mudah untuk diakses oleh komuniti, maka pencarian bakat untuk atlet terbatas. Kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh bekerjasama dengan syarikat swasta bagi memastikan infrastruktur sukan dalam komuniti sentiasa ditambah baik dan diselenggara. Khidmat komuniti ini bukan sahaja menguntungkan komuniti setempat malah mampu mengangkat jenama syarikat swasta seperti CIMB Bank yang menaja industri sukan berbasikal negara.

Isi 2

Selain itu, mutu sukan negara boleh ditambah baik dengan mendedahkan atlet-atlet negara di peringkat antarabangsa. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menubuhkan Sekolah Sukan Malaysia bagi mencungkil bakat dan menghasilkan atlet professional bertaraf antarabangsa. Namun begitu, peratusan kejayaan atlet ini dilihat tidak memberansangkan. Pelbagai faktor yang menyebabkan atlet-atlet ini tidak berjaya antaranya adalah kerana kurangnya pendedahan di peringkat antarabangsa. Pendedahan diperingkat antarabangsa perlu dimulakan sejak usia muda agar mereka tidak mengalami kejutan budaya dan belajar untuk menyaingi tahap kompetitif di peringkat antarabangsa. Pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan dalam beberapa sukan seperti Akademi Bola Sepak Mohktar Dahari yang menganjurkan Piala Mokhtar Dahari. Penganjuran yang melibatkan pasukan daripada Jepun, China dan Eropah mampu memberikan pengalaman dan pengajaran yang berharga kepada pemain akademi yang berumur lingkungan 13 hingga 15 tahun. Maka, pendedahan yang berterusan pasti akan meningkatkan tahap prestasi atlet tempatan setaraf dengan atlet antarabangsa.

Isi 3

Sebagaimana yang kita maklum, setiap sukan di negara kita dinaungi oleh persatuan-persatuan sukan bagi menguruskan atlet dan perkembangan sesebuah sukan tersebut dalam negara mahupun luar negara. Tetapi kita seringkali melihat di dada akhbar dan televisyen tentang kepincangan persatuan sukan yang majoritinya dipimpin oleh ahli yang mempunyai kepentingan politik. Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat suara ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan oleh mereka. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang dalam bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata peribahasa, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Isi 4

Di samping itu, kemajuan sains dan teknologi hari ini juga wajar untuk diaplikasikan dalam sukan di negara kita. Kehadiran Institusi Sukan Negara adalah amat mustahak dalam menghubungkan sains dan teknologi dengan industri sukan tempatan. Tahap kompetitif sukan di peringkat antarabangsa lazimnya sukar untuk kita capai melainkan atlet tersebut mempunyai bakat yang besar. Tetapi, kita mampu membentuk atlet bertaraf antarabangsa dengan menggunakan kaedah saintifik dalam meningkatkan prestasi atlet tempatan kita. Antara kaedahnya adalah dari segi penjagaan nutrisi dan diet atlet, corak latihan dan fisioterapi yang sesuai untuk atlet agar mereka mampu menghasilkan prestasi tertinggi apabila bersaing di peringkat antarabangsa. Kemahiran ahli perubatan tempatan kita tidak wajar untuk disia-siakan dan sukan mampu menjadi cabang kepada kemajuan sains dan teknologi yang akan menaikkan nama negara di persada antarabangsa.

Penutup

Tuntasnya, pelbagai langkah yang boleh  digarap dalam memastikan kemajuan sukan negara meningkat dari semasa ke semasa. Kejayaan atlet-atlet seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Azizulhasni Awang sepatutnya membuka jalan kepada kelahiran atlet-atlet tempatan bertaraf antarabangsa yang lain. Semoga pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan sukan di negara kita tidak kira peringkat negara ataupun peringkat sekolah mampu melaksanakan tugas dengan komitmen dan dedikasi terhadap kemajuan sukan negara. Pelbagai formula dan langkah yang boleh diatur dan tidak semua berjaya untuk menghasilkan apa yang kita kehendaki tetapi sebaliknya apakah langkah seterusnya yang wajar untuk difikirkan oleh semua pihak bagi membawa sukan tempatan kita bersaing diperiingkat antarabangsa.