Karangan

Berjimat Cermat Amalan Mulia

Bagi pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Adakah anda bersedia untuk mengambil kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu yang melibatkan penulisan karangan? Sekiranya tidak, anda digalakkan untuk melakukan latihan tambahan atau merujuk kepada contoh karangan di atas talian. Sebagai panduan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan berjimat cermat amalan mulia.

Pelajar perlu mendedahkan diri kepada pelbagai jenis tema dan tajuk soalan yang berpotensi menjadi soalan kepada penulisan karangan. Selain itu, anda juga boleh memasukkan frasa-frasa menarik seperti penanda wacana dan peribahasa bagi menambah daya penarik dalam penulisan karangan masing-masing. Namun, bimbingan dan panduan daripada guru juga mustahak supaya pelajar menepati kehendak soalan yang diberikan.

peta minda berjimat cermat Berjimat Cermat Amalan Mulia

Berjimat Cermat Amalan Yang Mulia

Isi-isi penting

  • Merancang perbelanjaan harian
  • Mendahulukan keperluan daripada kemahuan
  • Membandingkan harga
  • Membawa bekalan makanan sendiri
  • Meminimakan barangan elektronik
  • Menabung di bank atau institusi kewangan

Baca juga: Senarai Kesalahan Inbuhan Dan Ejaan BM

Contoh Karangan Berjimat Cermat Amalan Mulia

Pendahuluan

Pada era globalisasi ini, kerancakan pertumbuhan ekonomi negara dan dunia menjadi agenda utama dalam mengecapi kejayaan. Namun, kita sering kali tersentak dengan isu-isu yang menyebabkan ekonomi terpaksa direncatkan dan mengakibatkan gelombang inflasi berlaku secara domestik dan global. Ketidak tentuan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup telah mendorong masyarakat konvensional hari ini mengamalkan amalan berjimat cermat untuk keluar daripada kepompong inflasi. Pihak kerajaan pula memberikan bantuan pada kadar yang tidak mencukupi dan rakyat perlu melakukan inisiatif kendiri bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi hari ini. Persoalannya, apakah amalan berjimat cermat yang boleh dipraktikkan oleh seluruh ahli masyarakat? Usaha yang istiqamah dan menyeluruh pasti akan membuahkan hasil jika setiap di antara kita mengimplimentasikannya dalam kehidupan seharian kerana berjimat cermat adalah amalan yang mulia.

Isi 1

Amalan yang digalakkan bagi berjimat cermat adalah melakukan rancangan perbelanjaan. Langkah pengurusan kewangan ini adalah untuk memastikan aliran wang yang dibelanjakan berbaloi dan tidak merugikan kita. Sebagai seorang yang dewasa, kita seharusnya menetapkan matlamat kewangan yang menggambarkan perkara yang ingin dikecapi dengan wang sendiri dalam jangka masa tertentu. Misalnya jika kita ingin membeli rumah atau kereta, berapa peratus daripada jumlah gaji yang perlu  disimpan untuk memiliki rumah pada masa akan datang? Persoalan ini menjadi suatu polemik dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Jika tiada bimbingan dan panduan yang betul dalam merancang perbelanjaan, kelak nanti beban kewangan akan memakan diri sendiri. Selain menetapkan matlamat kewangan dalam jangka masa yang diingnkan, kita perlu menyenaraikan semua jenis perbelanjaan anda. Hal ini demikian kerana rekod kewangan adalah bukti tabiat perbelanjaan dan mudah untuk kita menganalisis perbelanjaan yang betul dan yang salah.

Isi 2

Dalam masa yang sama, kita juga hendaklah mementingkan keperluan daripada kehendak. Senario ini dilihat menjadi kelaziman anak muda hari ini apabila kehendak diri diutamakan sehingga sanggup berhutang keliling pinggang hanya untuk mendapat kepuasan atau pujian daripada orang lain. Pengaruh media sosial oleh golongan berharta dan selebriti yang riak dalam menunjukkan kemewahan menjadi antara penyebab ramai di antara anak muda yang berbelanja untuk mendapatkan kehidupan yang mewah seperti selebriti. Sebaliknya, golongan muda khususnya yang baru mendapat pekerjaan perlu berjimat cermat dengan membeli barang keperluan dan menyimpan atau melabur wang bagi kemudahan di masa hadapan. Utamakan keperluan seperti mencarum insurans kesihatan kerana malang tidak berbau. Sekiranya kita terlibat dengan kemalangan dan sebagainya, caruman insurans sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos perubatan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pakaian berjenama, percutian ke luar negara dan kereta mewah bukanlah keperluan sebaliknya ia adalah bonus kepada sesetengah orang yang mampu untuk memilikinya tetapi tanpa perlu berhutang.

Isi 3

Seterusnya, amalan berjimat-cermat yang boleh diamalkan oleh setiap ahli masyarakat adalah dengan melakukan perbandingan harga sebelum membeli-belah. Mutakhir ini, terdapat pasaraya yang menjual secara borang dan pasaraya yang menjual barangan import berkualiti tinggi. Maka, pengguna perlulah bersikap bijak dengan membeli produk yang berbaloi dari segi kualiti dan juga berpatutan pada harganya. Pengguna masa kini juga mempunyai pilihan yang lebih baik berbanding waktu dahulu kerana kita boleh memilih untuk membeli di pasaraya atau membeli secara maya di atas talian. Kehadiran aplikasi perniagaan secara atas talian bukan sahaja memudahkan pengguna malah mampu memberikan harga yang lebih murah berbanding harga produk yang dikehendaki di pasaran. Tambahan pula promosi dan baucer yang pelbagai ditawarkan oleh aplikasi-aplikasi perniagaan atas talian seharusnya menjadi rebutan setiap orang kerana ia memberikan penjimatan yang berbaloi. Kesannya, perbandingan harga produk sebelum membeli adalah amalan yang tepat bagi meringankan beban kewangan kita hari ini.

Isi 4

Di samping itu, amalan berjimat cermat boleh diimplementasikan dengan menyediakan bekalan makanan sendiri ke tempat kerja dan juga kepada anak-anak di sekolah. Membawa bekalan makanan secara sendiri dari rumah memberikan pelbagai manfaat kepada kita antaranya adalah menjimatkan wang. Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, harga makanan di restoran semakin meningkat terutamanya di rangkaian restoran makanan segera. Oleh itu, dengan membeli bahan masakan dan barang mentah sendiri serta memasak juadah yang diinginkan, kita dapat meneliti jumlah perbelanjaan yang digunakan. Seterusnya, kita boleh membandingkan perbelanjaan makan di restoran atau menyediakan makanan sendiri yang lebih menguntungkan. Penyediaan bekalan makanan secara sendiri juga membantu kita dalam mengamalkan makanan berkhasiat dan secara tidak langsung memberikan manfaat kesihatan kepada diri dan juga keluarga tersayang. Kekangan masa mungkin menjadikan amalan ini sukar untuk dilakukan namun pepatah melayu ada berkata hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Penutup

Tuntasnya, pelbagai amalan berjimat cermat yang boleh dilaksanakan oleh setiap ahli masyarakat dalam mendepani ketidak tentuan ekonomi masa kini. Kesedaran tentang pengurusan kewangan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak. Kerajaan seharusnya bersikap proaktif dengan menjadikan pengurusan kewangan sebagai subjek yang perlu dipelajari oleh semua ahli masyarakat. Tindakan seperti ini dapat melahirkan masyarakat yang cakna dan sentiasa berusaha ke arah memajukan ekonomi diri, masyarakat dan negara. Setiap agama dan kepercayaan pasti mengetengahkan nilai kesederhanaan yang sepatutnya menjadi iltizam setiap penganutnya. Namun, kuasa dan harta mengaburi nilai kemanusiaan yang merupakan elemen penting dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, aman dan damai. Semoga setiap di antara kita sedar dan mula mengamalkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan harian masing-masing agar kemuliaan yang tersembunyi disebalik amalan ini menjadi pendorong kepada lahirnya masyarakat yang progesif dan konservatif.