Karangan
Punca Remaja Terjebak Dengan Dadah (Contoh Karangan)
Pendidikan secara langsung dan tidak langsung adalah elemen yang baik bagi mendidik pelajar di sekolah. Elemen ini dapat kita lihat pada penulisan karangan Bahasa Melayu di mana pelajar akan diuji tahap penguasaan Bahasa Melayu disamping pengetahuan mengenai tajuk atau soalan yang dibincangkan. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan punca remaja terjebak dengan dadah.
Tajuk berkaitan dadah mungkin sudah menjadi kebiasaan atau kelaziman oleh guru atau semasa peperiksaan dijalankan. Namun begitu, pelajar seharusnya berusaha untuk mendapatkan isi-isi penting atau idea yang lebih menarik supaya lebih menonjol di mata penanda kertas anda. Tambahan pula memberikan contoh-contoh yang berkaitan juga dapat membantu anda untuk menambah kefahaman pembaca kepada isi penting yang cuba diutarakan dalam penulisan karangan anda.
Isi Kandungan
Faktor Remaja Terjebak Dengan Penyalahgunaan Dadah
Isi isi penting
- Sikap ingin tahu
- Kurang mendapat perhatian dan kasih sayang
- Pengaruh buruk daripada rakan dan masyarakat
- Kurang mendapat pendidikan am dan rohani
- Pengaruh media massa khususnya media antarabangsa
- Latar belakang keluarga yang juga terjebak dalam salah guna dadah
Baca juga: Faktor Utama Bagaimana Menjadi Murid Yang Cemerlang Dalam Akademik
Contoh Karangan Punca Remaja Terjebak Dengan Gejala Dadah
Pendahuluan
Mutakhir ini, pelbagai masalah sosial yang membelenggu masyarakat terutamanya dalam kalangan para remaja. Ia memberikan gambaran buruk terhadap masyarakat kerana golongan remaja merupakan generasi yang bakal mengganti pemimpin dan penggerak masa hadapan negara. Jika polemik ini tidak diselesaikan maka buruklah padahnya kepada masyarakat dan juga negara ibarat sudah terhantuk baru terngadah. Antara masalah sosial yang popular dan sukar diatasi adalah penglibatan remaja dalam ketagihan dadah. Masalah ini bukan perkara baharu di negara kita malah di negara lain juga. Hakikatnya dadah dicipta sebagai bahan perubatan yang digunakan dalam arena perubatan tetapi diberi pada kadar atau dos yang tidak membahayakan. Masalah mula timbul apabila segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan dadah untuk tujuan hiburan serta kepuasan diri. Sehingga hari ini, kita masih lagi melihat berita yang menunjukkan percubaan menyeludup masuk dadah ke dalam negara. Persoalannya, apakah punca-punca remaja terjebak dengan dadah khususnya di dalam negara kita?
Isi 1
Antara punca remaja mula terjebak dengan penyalah gunaan dadah adalah kerana sikap ingin tahu yang tidak boleh dinafikan apabila usia kita menjelang keremajaan. Semakin meningkat usia kita, semakin banyak perkara yang kita tahu dan pelajari. Ada perkara yang memberi manfaat dan kebaikan, ada juga perkara yang mendatangkan mudarat dan keburukan. Justeru itu, remaja seharusnya sentiasa dipantau dan dibimbing oleh orang sekeliling terutamanya ahli keluarga akan tindak-tanduk serta tingkah laku mereka. Pastikan golongan remaja disibukkan dengan perkara-perkara yang memanfaatkan diri mereka di waktu lapang seperti bersukan, menyertai aktiviti sukarelawan atau menghabiskan masa bersama keluarga. Remaja masa kini berbeza dengan remaja zaman dahulu di mana ledakan teknologi dan informasi tanpa tapisan telah membuka ruang kepada perkara yang tidak baik mempengaruhi diri serta kehidupan mereka. Ibarat peribahasa Melayu, turutkan rasa binasa, turutkan hati mati. Izharnya, remaja perlu berfikir dahulu akan kebaikan atau keburukan terhadap perlakuan mereka supaya kelak tidak menyesal di kemudian hari.
Isi 2
Punca lain yang menyebabkan remaja terjebak ke dalam kancah penagihan dadah adalah kerana mereka kurang mendapat perhatian dan kasih sayang. Punca ini boleh dikaitkan dengan keluarga yang datang daripada golongan yang kurang bernasib baik atau miskin. Akibat kekurangan wang untuk menanggung keluarga, ibu dan bapa perlu bekerja sehingga tiada masa untuk bertemu dengan anak-anak. Apatah lagi untuk memberikan anak-anak hiburan setelah habis waktu persekolahan dan sebagainya. Maka, golongan remaja daripada keluarga tersebut banyak menghabiskan masa lapang mereka melepak dan melakukan perkara-perkara yang sia-sia hanya untuk mendapatkan keseronokan yang tidak kekal lama. Intihannya, setiap ibu dan bapa serta ahli keluarga bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak diberikan perhatian yang secukupnya supaya mereka sedar dan tahu kasih sayang daripada keluarga memberikan makna yang lebih besar berbanding keseronokan yang tidak kekal bak kata pepatah ingat antara belum kena, hemat antara belum habis.
Isi 3
Pada masa yang sama, penglibatan golongan remaja dalam salah guna dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan dan masyarakat. Hal ini kerana ramai di antara mereka yang telah terjebak cuba untuk mempengaruhi rakan-rakan untuk melakukan perkara tersebut bersama-sama. Bahkan terdapat stigma yang mengatakan seorang remaja itu tidak seronok untuk berkawan kerana tidak menyertai rakan-rakannya yang lain melakukan aktiviti yang kononnya seronok tetapi sebaliknya. Tambahan pula, faktor media massa yang kini boleh diakses oleh sesiapa sahaja telah menyebabkan golongan remaja melihat budaya dan masyarakat luar yang berhibur dengan menggunakan dadah. Dalam era milenium ini, rasa terpinggir oleh rakan-rakan atau masyarakat boleh menyebabkan depresi dan kemurungan khususnya dalam kalangan remaja. Oleh itu, penting untuk mengingatkan dan menasihati golongan remaja supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara buruk seperti penyalah gunaan dadah. Sebaliknya, gunakan kelebihan yang ada pada hari ini untuk mempelajari perkara-perkara baharu yang mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri tetapi juga kepada negara, masyarakt dan juga negara. Persis peribahasa Melayu, buang yang keruh ambil yang jernih.
Isi 4
Di samping itu, saya berpandangan bahawa remaja-remaja yang terjebak dengan penagihan atau salah guna dadah adalah kerana mereka kurang mendapat pendidikan am dan rohani. Kalau masyarakat kita dididik sejak kecil lagi tentang perihal ubat-ubatan dan keburukan terhadap salah guna pasti mereka memahami akan akibatnya serta pengajaran jika terlibat dengan perkara seperti penagihan dadah. Apabila masyarakat cakna dengan perkara ini, pastinya ramai yang menjauhkan diri dan tidak berlaku penyeludupan dadah kerana tiada permintaan. Selain itu, jika remaja mempunyai didikan agama dan moral yang kukuh, pastinya mereka tidak mudah untuk terjebak ke dalam gejala yang memburukkan diri mereka. Hal ini demikian kerana setiap agama melarang manusia untuk memudaratkan diri dengan perkara yang sia-sia malah menggalakkan kita untuk sentiasa bermuhasabah diri dan melahirkan kebaikan kepada sesiapa sahaja sepanjang kehidupan kita. Bak kata peribahasa Melayu, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tegasnya, pintu taubat dan perubahan ke arah yang lebih baik sentiasa dibuka dan sebagai masyarakat yang penyayang, kita wajar menyokong dan membimbing mereka yang terjebak dengan masalah dadah untuk keluar dan meninggalkannya secara langsung.
Penutup
Sebagai konklusi kepada perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa pelbagai punca yang mendorong remaja untuk terlibat dalam penagihan atau salah gunaan dadah. Kita seharusnya melihat masalah berkaitan dadah ini sebagai satu penyakit dan bukannya jenayah kerana ia melibatkan emosi dan faktor-faktor asing yang mempengaruhi pesalah laku. Diharapkan dengan adanya jabatan kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), usaha untuk membendung gejala tidak sihat ini dapat diatasi. Sesungguhnya golongan remaja merupakan pewaris generasi nusa bangsa pada masa akan datang dan tidakkah kita bimbang akan masa hadapan yang diidam-idamkan hancur dek kerana kegagalan kita membentuk pemimpin negara, masyarakat mahupun keluarga pada hari ini. Semoga kenyataan tersebut menikam sanubari masyarakat konvensional dan mula untuk bertindak dalam memastikan orang-orang sekeliling kita tidak terjebak dalam perkara yang tidak memanfaatkan. Akhir kata, remaja harus tahu dan menghayati peribahasa Melayu, berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali.