Karangan

Cara-Cara Untuk Menghargai Warga Tua

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Bagi menghasilkan penulisan karangan Bahasa Melayu yang cemerlang, pelajar perlu cakna terhadap semua jenis tema yang akan menjadi soalan pilihan. Dengan latihan tambahan dan rujukan yang dibuat secara atas talian, pelajar mampu mempersiapkan diri sebelum menduduki kertas peperiksaan yang melibatkan penulisan karangan Bahasa Melayu. Sebagai panduan kepada para pelajar, berikut adalah contoh karangan cara-cara menghargai warga tua.

Warga tua boleh dikategorikan sebagai golongan manusia yang berumur 50 tahun dan ke atas. Makanya, mereka adalah golongan ibu, bapa, datuk dan nenek yang telah bersara dan tidak bekerja. Oleh itu, pelajar pasti dapat memberikan idea-idea yang bernas berkenaan soalan ini kerana pasti terdapat warga tua dalam kalangan keluarga dan masyarakat sekeliling pelajar. Diharapkan perkongsian di bawah membantu pelajar untuk menghasilkan penulisan karangan yang terbaik.

peta minda cara menghargai warga tua

Cara-Cara Menghargai Warga Tua/ Menghormati Orang Lebih Tua

Isi-isi penting

  • Meluangkan masa bersama warga tua
  • Menjaga hal ehwal kebajikan
  • Merencana program persaraan yang menyeluruh
  • Menerbitkan kandungan media menghargai warga tua
  • Menyambut hari warga emas
  • Melaksanakan kempen penghargaan warga tua

Baca juga: Cara Menangani Stress

Contoh Karangan Cara-Cara Menghargai Warga Tua

Pendahuluan

Dasawarsa ini, pembangunan ekonomi dunia telah menyumbang kepada pertumbuhan populasi manusia. Begitu juga dengan populasi golongan warga tua yang semakin bertambah kerana perkembangan industri kesihatan yang mengurangkan kadar kematian di dunia secara amnya. Warga tua dikenali sebagai warga emas adalah kerana mereka diibaratkan seperti golongan yang telah banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat mahupun negara. Mereka telah melalui pelbagai liku kehidupan dalam memberikan yang terbaik demi keluarga tercinta. Oleh itu, wajar untuk masyarakat kita khususnya anak-anak menghargai warga tua bukan sahaja dalam keluarga kita tetapi jiran dan juga masyarakat sekeliling. Persoalannya, apakah cara-cara untuk menghargai warga tua yang boleh diamalkan oleh masyarakat madani?

Isi 1

Manhaj utama yang boleh dipraktikkan oleh ahli keluarga dalam menghargai warga tua adalah dengan meluangkan masa bersama mereka. Jika ditelusuri, golongan tua terdiri daripada ibu yang melahirkan zuriat serta menguruskan hal ehwal rumah tangga dan bapa yang membanting tulang bekerja bagi menampung kehidupan keluarga. Jasa dan pengorbanan mereka wajar dihargai dan kita sebagai anak-anak yang soleh dan solehah seharusnya meluangkan masa bersama mereka. Senario masyarakat hari ini adalah dimana kesibukan mengejar urusan duniawi dan kerjaya menyebabkan mereka tidak balik atau berkunjung melawat ibu dan bapa di kampung. Bagi mengelakkan kita bersikap seperti kacang lupakan kulit, setiap di antara kita wajar berusaha untuk meluangkan masa bersama warga tua sebagai tanda menghargai mereka. Hanya dengan panggilan telefon sama ada audio atau visual, kita dapat berkomunikasi, berkongsi masalah dan mendengar cerita daripada mereka. Kehadiran cucu-cucu melawat datuk dan nenek juga mendapat dapat memberikan keceriaan kepada mereka kerana gelagat kanak-kanak yang lucu dan seronok. Intihannya, warga tua akan rasa dihargai dan disayangi apabila kita meluangkan masa bersama mereka.

Isi 2

Sejajar dengan cara di atas, warga tua seharusnya dihargai dengan mengutamakan hal-ehwal kebajikan mereka. Umum mengetahui bahawa apabila dimamah usia, kesihatan diri akan semakin diancam pelbagai jenis penyakit. Dengan membangunkan industri kesihatan negara serta memperkenalkan pakej kesihatan seperti PeKa B40 perlindungan kesihatan yang menyeluruh akan diperoleh. Kos-kos rawatan kesihatan yang di luar kemampuan rakyat marhaen dapat dibiayai oleh kerajaan dengan memberikan insentif kesihatan kepada warga tua. Selain itu, pihak yang berkenaan dengan rumah penjagaan orang tua seharusnya diselia dan dikawal oleh organisasi kerajaan. Hal ini demikian supaya piawaian tertentu dapat ditetapkan dan dikuatkuasakan sekaligus menjamin sumber kewangan yang kukuh dalam menyelenggara rumah-rumah penjagaan orang tua. Jika dilihat, usaha membantu rakyat di negara asing lebih ditumpukan berbanding kebajikan di negara sendiri hanya kerana mengejar pengiktirafan antarabangsa. Elakkanlah bersikap seperti, anak di pangkuan dibiarkan, kera dihutan disusui di mana kebajikan orang asing diutamakan tetapi kebajikan rakyat yang lahir dan menyumbang bakti kepada negara disisihkan.

Isi 3

Jika dipandang pada sudut yang berlainan, golongan yang berumur 50 tahun dan ke atas seharusnya mempunyai pelan persaraan yang kukuh dan menyeluruh. Ketidak tentuan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup masa kini telah meneybabkan masyarakat semakin sedar akan kepentingan pengurusan kewangan. Kebanyakan warga tua pada hari ini mempunyai wang persaraan yang tidak mencukupi kerana  tidak timbul isu kewangan jika difikirkan pada masa dahulu. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya bersikap prihatin dengan merencana dasar atau polisi yang membantu golongan warga tua mempunyai simpanan yang cukup sepanjang persaraan mereka. Dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja seharusnya dikukuhkan dan menjadi medium utama wang persaraan masyarakat yang berkerja secara sendirian atau swasta. Sesungguhnya pengurusan kewangan yang cekap adalah lebih baik berbanding memberikan bantuan kewangan seperti Bantuan Sara Hidup Rakyat. Bak kata pepetah Melayu, sediakan payung sebelum hujan. Izharnya, kebebasan kewangan menjadi tujuan dan objektif setiap individu menjelang kedewasaan maka jika masih dibelenggu beban kewangan apabila sudah bergelar warga tua, pasti ia akan menimbulkan masalah dan keresahan yang membimbangkan.

Isi 4

Di samping itu, warga tua juga boleh dihargai dengan menerbitkan filem atau drama yang menyentuh isu-isu tentang kehidupan mereka. Media massa memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat konvensional hari ini. Dengan kesempatan yang ada, filem dan drama yang mempunyai unsur hormat-menghormati dan menghargai keringat warga tua wajar mendapat tempat di siaran perdana. Sebagai contoh, drama Keluarga Iskandar yang menunjukkan rutin harian sebuah keluarga yang mempunyai pelbagai ragam dan kisah yang boleh menjadi pengajaran buat kita. Persis peribahasa Melayu, buang yang keruh ambil yang jernih. Media elektronik atau media cetak merupakan medium perantara utama masyarakat dalam apa sahaja isu yang membelenggu fikiran dan keadaaan disesebuah tempat. Justeru dengan adanya penerbitan yang menyentuh isu mengenai penghargaan terhadap warga tua, ia pasti dapat disampaikan kepada masyarakat yang melanggan setiap jenis media. Kementerian Wanita, Keluarga Dan Masyarakat perlu memainkan peranan dengan lebih efektif dalam mendekati masyarakat dan membuat maklum balas akan perkara-perkara yang perlu dititik-beratkan dalam golongan warga emas di Malaysia. Kesannya, kebajikan masyarakat dapat dipenuhi secara menyeluruh dan menjamin kesejahteraan rakyat sejagat.

Penutup

Secara tuntas, jasa dan pengorbanan warga tua boleh dihargai dengan cara-cara yang dibincangkan di atas. Golongan yang sudah lama makan garam ini wajar mendapat perhatian yang sama rata seperti golongan kanak-kanak dan wanita. Janganlah kita bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana tanpa mereka, siapalah kita. Sebagai masyarakat madani, kita perlu menunjukkan tauladan terbaik sepanjang kehidupan kita agar menjadi contoh yang ulung buat generasi muda. Lambat laun kita juga akan menjadi warga tua dan semestinya suasana yang selesa dan aman adalah menjadi impian setiap individu. Oleh itu, inisiatif-inisiatif yang akan membentuk corak kehidupan warga tua yang lebih baik haruslah disokong supaya suatu hari nanti kita sendiri akan menikmatinya. Negara yang progresif menjamin kesejahteran kehidupan rakyatnya serta meningkatkan tahap keselesaan setiap golongan masyarakat yang menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan negara.