Karangan

Implikasi Penggunaan Kad Kredit Kepada Masyarakat

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Setiap proses pembelajaran memerlukan ujian sebagai kayu pengukur kepada pemahaman pelajar terhadap pembelajaran yang dijalankan. Justeru, bagi menguji kemampuan pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, ujian berbentuk penulisan karangan diadakan. Sebagai rujukan kepada para pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.

Contoh tajuk soalan yang dikongsikan dibawah, menunjukkan bahawa pelajar perlu mempunyai pengetahuan am yang baik bagi menjawab soalan yang diberikan. Sekiranya pelajar yakin dengan pengetahuan serta fakta yang akan digunakan untuk menghuraikan penulisan karangan anda, pastikan gaya bahasa yang digunakan adalah sesuai dan tiada kesalahan bahasa. Penulisan karangan pelajar akan mendapat markah yang baik serta dianggap cemerlang kerana dapat menjawab soalan yang agak sukar bagi pelajar sekolah.

peta minda implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat

Kesan-Kesan Penggunaan Kad Kredit Kepada Masyarakat (Kebaikan & Keburukan)

Isi-isi penting

  • Menjamin keselamatan wang pengguna
  • Mendapat rebat atau baucar
  • Sebagai alternatif jika berlaku kecemasan
  • Melahirkan masyarakat yang suka berhutang
  • Terdedah kepada penyalahgunaan dan penyelewengan data
  • Memberikan kesan kepada skor kredit pengguna

Baca juga: Cara Mengatasi Kesesakkan Jalan Raya

Contoh Karangan Implikasi Penggunaan Kad Kredit Kepada Masyarakat

Pendahuluan

Kad kredit boleh didefinisikan sebagai alat pembayaran secara elektronik yang membolehkan anda membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai. Mutakhir ini, pemilikan kad kredit semakin mudah telah menyebabkan ramai di antara ahli masyarakat yang memohon dan menggunakannya tanpa memikirkan kesannya kepada diri dan juga negara. Apa yang dilihat oleh mereka adalah kad kredit tidak memerlukan pengguna membawa wang yang banyak untuk membeli belah dan had penggunaan kad tersebut adalah tinggi serta boleh menjelaskan hutang sacra ansuran. Jikalau ditelusuri, kad kredit hanya digunakan mengikut kemampuan oleh mereka yang kaya dan berada pada masa dahulu tetapi kini, sesiapa pun boleh memilikinya dengan gaji serendah RM1500. Malahan ada sesetengah orang mempunyai beberapa keping kad kredit pada satu-satu masa. Hakikatnya, pelbagai kesan baik dan buruk yang perlu diketahui oleh segenap golongan masyarakat. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat supaya menjadi pengajaran kepada semua.

Isi 1

Sebagai pelajar berminda kelas pertama, penggunaan kad kredit memberikan implikasi yang baik kerana keselamatan pengguna terjamin berbanding menggunakan wang. Ciptaan kad kredit pada asalnya diperkenalkan bagi memudahkan transaksi wang yang tinggi jumlahnya. Masalah yang timbul pada ketika itu adalah keselamatan untuk membawa wang pada jumlah yang banyak untuk menyelesaikan sesuatu urusan jual beli. Maka, dengan adanya teknologi elektronik dan cip pintar, kad kredit atau wang plastik ini memudahkan urusan jual beli pada jumlah yang tinggi dan keselamatan pengguna terjamin tanpa perlu membawa wang tunai. Selain itu, jika kad kredit anda dicuri atau hilang, anda boleh terus membatalkan penggunaannya dengan menghubungi pihak kad kredit yang anda gunakan. Proses verifikasi dan pengesahan serta penggunaan nombor pin yang digunakan dapat menghalang daripada pencuri atau orang lain daripada menggunakan kad kredit anda. Natijahnya, penggunaan kad kredit sebagai pengganti wang tunai adalah lebih mudah berbanding penggunaan wang, serta keselamatannya adalah lebih terjamin jika hilang atau dicuri.

Isi 2

Kebaikan lain apabila menggunakan kad kredit adalah mendapat rebat dalam bentuk tunai atau baucar serta tawaran hadiah yang pelbagai dimana memberikan banyak keuntungan kepada pengguna. Untuk pengetahuan anda terdapat dua jenis kad yang diperkenalkan oleh bank kepada pengguna iaitu kad debit dan kad kredit. Kad debit adalah kad yang menggunakan simpanan yang dimiliki oleh pengguna dalan akaun masing-masing manakala kad kredit adalah hutang yang didahulukan oleh bank dan perlu dibayar oleh pengguna pada setiap hujung bulan mengikut kadar yang digunakan oleh pengguna. Bagi menarik pengguna menggunakan kad kredit, pihak bank menawarkan pelbagai rebat dan baucar. Sebagai contoh, jika anda telah menggunakan kad kredit sehingga mendapat kutipan mata mencecah 100,000 mata, anda layak untuk menebus hadiah seperti alatan elektronik dan sebagainya. Tambahan pula, kad kredit didatangkan dengan perlindungan insurans seperti insurans kemalangan dan insurans kemalangan. Bayangkan jika berlaku kemalangan ketika anda melancong ke luar negara dan perlu menjalani rawatan di hospital di sana. Dengan penggunaan kad kredit, ia dapat menyelamatkan anda jika berada dalam situasi terbabit. Intihannya, pelbagai manfaat yang ditawarkan oleh kad kredit jika digunakan sebaiknya oleh pengguna.

Isi 3

Jika dilihat pada sudut yang berlainan, penggunaan kad kredit meninggalkan implikasi yang buruk kerana melahirkan masyarakat yang suka berhutang. Menurut laporan daripada Bank Dunia, lebih 60 peratus golongan yang diisytihar Bankrap adalah terdiri daripada golongan muda. Hal ini demikian kerana golongan ini bersikap boros dalam berbelanja dan ingin mengecapi kehidupan mewah yang sama seperti orang yang kaya dan berada. Mereka seharusnya mengukur baju di badan sendiri supaya dapat mengelak daripada menjadi boros dan berhutang keliling pinggang mereka. Dengan proses yang mudah untuk mendapatkan kad kredit, sesetengah daripada membutakan mata dengen terus berbelanja tanpa sedar. Malahan ada yang menggunakan kad kredit ibarat menggali lubang, menutup lubang yang bermaksud berhutang untuk membayar hutang. Jika pengguna kad kredit telah dikesan oleh pihak bank kerana tidak membayar tunggakan untuk tempoh yang tertentu, mereka akan diisytiharkan sebagai bankrap. Maka mereka akan kehilangan kelayakan untuk melakukan pelbagai urusan yang melibatkan institusi kewangan seperti bank dan merumitkan keadaan untuk meneruskan kehidupan seperti masyarakat umum. Izharnya, kad kredit akan memberikan kesan yang buruk jika tidak diuruskan dengan baik dan digunakan secara berhemah.

Isi 4

Kesan negatif yang lain sekiranya kita menggunakan kad kredit adalah terdedah kepada penyalahgunaan dan penyelewengan data. Seperti yang kita ketahui, penggunaan kad kredit menggunakan transaksi secara elektronik dan perkakasan komputer. Urusan kad kredit yang dibuat secara atas talian lazimnya terdedah kepada salah guna data yang dikutip oleh pengusaha kedai atau pihak ketiga yang lain. Selain itu, terdapat juga kad kredit yang diklonkan dan menyebabkan kerugian kepada pihak kedai dan juga pengguna kad kredit yang diklonkan. Hal ini disebabkan kerana kos dan kesan yang ditanggung adalah pengguna kad kredit yang diklonkan tersebut. Justeru, pemilik kad kredit perlu sentiasa melihat dengan teliti setiap transaksi yang dilakukan adalah betul dan bertepatan dengan apa yang dibelanjakan oleh anda. Setiap hari, pelbagai inovasi yang dicipta, begitu juga dengan pencuri data yang tidak jemu mencari jalan untuk menipu dan mencuri data peribadi seseorang. Pihak bank dan pengeluar kad kredit juga terus berusaha untuk meningkatkan tahap keselamatan data pengguna supaya penyalah gunaan dan penyelewengan yang telah berlaku tidak akan berulang. Sebagai pengguna yang bijak, kita pula seharusnya mendapatkan maklumat dan informasi terkini berkaitan kad kredit yang digunakan supaya tidak ketinggalan daripada usaha menambah baik penggunaannya dari semasa ke semasa.

Penutup

Bagi menyimpulkan kepada perbincangan di atas, pelbagai implikasi terhadap penggunaan kad kredit kepada masyarakat hari ini. Sebagai masyarakat yang inteligensia, kita perlu memanfaatkan kemudahan kad kredit dengan sebaiknya serta belajar mengurusnya dengan berhemah.  Disiplin dalam menjelaskan baki-baki kad kredit pada masanya adalah mustahak supaya tidak menjadi seperti peribahasa Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Dengan adanya agensi swasta seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), golongan yang ingin menggunakan kad kredit khususnya golongan muda wajar mendapatkan khidmat nasihat butir-butir untuk menggunakan dan menjadi pemegang kad kredit daripada agensi tersebut. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada bersikap seperti kerbau dicucuk hidung. Semoga inisiatif dalam melahirkan masyarakat nir tunai dapat direalisasikan pada masa terdekat di mana keselamatan data dan wang setiap ahli masyarakat terjamin sebaiknya dan tiada penyelewengan yang berlaku. Akhir sekali, memudahkan urusan jual beli antara satu sama lain tanpa perlu merisaukan keselamatan serta transaksi yang pantas dan selamat.