Karangan
Sebab-sebab Memilih Malaysia Sebagai Tempat/ Destinasi Pelancongan
Semua pelajar yang bersekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pasti akan mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu. Salah satu soalan yang akan dijawab oleh pelajar dalam peperiksaan untuk menguasai Bahasa Melayu adalah penulisan karangan. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan sebab-sebab pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Tajuk soalan yang berkaitan pelancongan telah menjadi kelaziman di sekolah atau semasa peperiksaan. Oleh itu, anda seharusnya mengutarakan idea atau isi-isi penting yang berbeza serta mampu menarik perhatian pembaca. Sebagai pelajar, anda boleh merujuk contoh-contoh secara atas talian dan melakukan latihan tambahan supaya terdedah kepada pelbagai idea dan bentuk penulisan yang cemerlang dan menarik.
Isi Kandungan
Mengapakah Malaysia Menjadi Tumpuan Destinasi Pelancongan
Isi-isi penting
- Kekayaan alam semula jadi
- Dikelilingi pulau dan pantai-pantai
- Kemudahan infrastruktur yang kondusif
- Kekayaan budaya dan sejarah masyarakat
- Sikap rakyat yang ramah dan berbudi bahasa
- Nilai matawang yang berpatutan
Baca juga: Bangsa Yang Berjaya Adalah Bangsa Yang Membaca
Contoh Karangan Keistimewaan Malaysia Sebagai Tempat/ Destinasi Pelancongan
Pendahuluan
Salah satu sektor yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi di Malaysia adalah sektor pelancongan. Saban hari, jumlah pelancong yang masuk ke dalam negara semakin meningkat dari tahun ke tahun. industri pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014 berdasarkan petikan akhbar Berita Harian Online bertarikh 17 Oktober 2015. Angka tersebut telah melebihi jangkaan 8.1 juta orang pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia pada tahun tersebut. Statitik tersebut menunjukkan bahawa pelancongan mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan dan kekal menjadi penyumbang kepada ekonomi negara. Persoalannya, apakah sebab-sebab para pelancong memilih malaysia sebagai tempat atau destinasi pelancongan mereka?
Isi 1
Antara sebab utama Malaysia menjadi pilihan dalam kalangan pelancong khususnya pelancong asing adalah kerana kekayaan alam semula jadi yang terdapat di serata negara. Tanah air kita terletak di garisan khatulistiwa yang memberikan iklim berbeza berbanding negara-negara di Eropah, Amerika dan Asia Barat. Kebanyakan mereka gemar mengunjungi Malaysia pada musim sejuk atau musim panas kerana cuaca di Malaysia memberikan suasana yang disukai oleh mereka. Kerajaan Malaysia bertindak proaktif dengan mewartakan taman-taman negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi serta menjadi penyumbang kepada industri pelancongan. Pengunjung dari luar negara akan melancong di taman-taman negara seperti Taman Negara Pahang yang merangkumi hutan belantara, gunung-ganang, sungai serta pelbagai flora dan fauna. Di samping menikmati keindahan alam yang tidak didapati di negara lain, pelancong dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti mendaki gunung, memancing, berkhemah dan pelbagai lagi. Pengalaman menghabiskan masa dikelilingi alam semula jadi menjadi antara tarikan utama pelancong ke Malaysia.
Isi 2
Sebab lain pelancong memilih Malaysia sebagai negara yang ingin dikunjungi adalah dikelilingi pulau-pulau serta pantai yang indah. Kekayaan alam semula jadi di tanah air kita bukan sahaja terletak di daratannya sahaja malah di kawasan laut juga memberikan pelbagai kecantikan alam semula jadi yang kita boleh nikmati. Misalnya, Pulau Tioman di Pahang dan Pulau Sipadan di Sabah yang menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan pantai serta terumbu karang yang menjadikan aktiviti menyelam atau skuba lebih menarik. Bahkan di Malaysia, mereka bukan sahaja boleh mengunjungi dua atau tiga pulau tetapi mereka boleh melawat hampir 30 buah pulau yang memberikan suasana pelancongan yang menarik. Selain itu, pantai-pantai di sekeliling Semenanjung Malaysia juga tidak kurang cantiknya. Pelancong dapat menikmati angin sepoi-sepoi bahasa sambil memakan juadah tradisional masyarakat Malaysia seperti Ikan Celup Tepung dan Sata yang popular di negeri pantai timur.
Isi 3
Dari sudut pandang yang lain, Malaysia menjadi pilihan pelancong adalah kerana kemudahan infrastruktur yang kondusif. Sebelum memilih destinasi pelancongan, mereka tentunya mencari kaedah pengangkutan yang selesa dan menawarkan perkhidmatan yang terbaik. Pujian harus diberi kepada industri pengangkutan negara seperti syarikat-syarikat penerbangan yang berjaya menjadi ejen keunikan negara di mata dunia. Dengan perkhidmatan mereka yang bertaraf dunia, pelancong berasa selesa melancong dan sampai ke destinasi yang ditujui dengan selamat. Jaringan lebuh raya dan rel seperti sistem transit aliran ringan (LRT), komuter, dan monorel juga menyenangkan mobiliti para pelancong. Tambahan pula, jaringan komunikasi yang menyediakan perkhidmatan Internet di kawasan tumpuan pelancong juga memberikan nilai tambah kepada kawasan tersebut. Pelancong boleh berehat dan juga tidak ketinggalan dengan urusan kerja dimana Internet merupakan sumber utama jaringan komunikasi ke seluruh pelusuk dunia. Hasil infrastruktur yang kondusif dan bertaraf dunia, lebih ramai pelancong akan datang berkunjung ke kawasan-kawasan pelancongan di seluruh negara.
Isi 4
Pelancong-pelancong gemar melancong di Malaysia adalah kerana kekayaan budaya dan sejarah masyarakat berbilang kaum yang kita miliki. Umum sedia maklum, kemajmukan masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain hidup bersama menjadi satu tarikan kepada para pelancong kerana banyak budaya yang dikongsi bersama. Tamsilnya, penganjuran rumah terbuka pada hari perayaan menjadi simbol perpaduan masyarakat di Malaysia di mana pelbagai hidangan tradisional dihidangkan. Daripada hidangan kaum Melayu seperti ketupat, rendang, hidangan kaum India seperti kari, tosei sehingga hidangan Cina seperti yee sang dan kuih bulan. Pelancong juga dapat mengunjungi muzium dan memorial untuk mengenali dengan lebih dalam tentang sejarah, budaya dan tradisi masyarakat tempatan. Tidak dinafikan keramahan serta budi bahasa yang tinggi yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia juga menjadi sebab pelancong gemar untuk berkunjung ke negara ini. Bak kata peribahasa, yang elok itu budi yang indah itu bahasa.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak sebab Malaysia menjadi pilihan pelancong khususnya daripada pelancong asing. Siapa sangka aktiviti makan angin yang ditawarkan di kawasan perkampungan mamapu menjadi penyumbang utama ekonomi negara. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya menyusun dasar dan strategi terbaik dalam mengembangkan industri pelancongan di samping memelihara kekayaan alam semula jadi. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia merupakan anatar inisiatif yang baik untuk dianjurkan kerana ia menggalakkan setiap pemain industri untuk turut bersama menaikkan nama negara di persada dunia. Ibarat peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Semoga segala usaha berjaya dimanifestasikan dan menjadikan nama Malaysia sebagai pilihan utama destinasi pelancong dari seantero dunia.
Related : pulau redang kementerian pelancongan saban tahun malaysia mempunyai hutan keistimewaan tersendiri