Karangan

Cara-Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah

Perhatian kepada pelajar yang ingin membuat latihan tambahan bagi penulisan karangan Bahasa Melayu. Adakah anda mencari contoh-contoh karangan Bahasa Melayu? Sekiranya ya, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara memanfaatkan cuti sekolah untuk panduan semua. Contoh dibawah terdiri daripada pendahuluan, isi-isi penting dan penutup.

Kepada pelajar, latihan tambahan dapat membantu untuk menghasilkan penulisan karangan yang baik. Di samping itu, penggunaan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana yang sesuai adalah digalakkan bagi menambah daya penarik terhadap penulisan karangan masing-masing. Bimbingan daripda guru-guru juga adalah mustahak bagi memastikan pelajar menjawab kehendak soalan yang diberikan.

Langkah Dan Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah

peta minda cara manfaat cuti sekolah Cara-Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah

Isi-isi penting

  • Melancong
  • Bergotong-royong membersihkan rumah dan kawasan sekitar
  • Menyertai kem motivasi diri atau ibadah
  • Mengulang kaji pelajaran
  • Melawat saudara-mara
  • Bersukan

Baca juga: Kesalahan Bahasa Yang Lazim Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu (BM)

Contoh Karangan Cara-Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah Dengan Aktiviti Berfaedah

Pendahuluan

Cuti sekolah merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar samada sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Mereka tidak perlu lagi mengikuti rutin harian yang memerlukan mereka untuk bangun di awal pagi dan bersiap untuk ke sekolah. Sebaliknya, mereka bebas untuk menyusun jadual harian mereka berbeza jika dibandingkan dengan norma hari persekolahan. Namun begitu, peribahasa Melayu berkata, masa itu emas. Justeru, ibu bapa dan adik-beradik yang telah dewasa wajar membimbing ahli keluarga yang masih bersekolah untuk memanfaatkan cuti persekolahan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Isi 1

Antara langkah untuk memanfaatkan cuti sekolah pelajar adalah dengan melancong secara domestik atau ke luar negara. Objektif utama cuti persekolahan adalah untuk memberi istirehat kepada pelajar dan guru-guru terutamanya yang telah berminggu-minggu berusaha memberikan yang terbaik dalam pembelajaran dan pengajaran. Oleh itu, cuti sekolah adalah masa untuk mereka berehat dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Melancong dapat mengalihkan perhatian pelajar khususnya yang akan menduduki peperiksaan awam kepada perkara yang lebih seronok seperti bermandi-manda di pantai atau air terjun. Bagi pelajar sekolah rendah pula, terdapat banyak tempat pelancongan yang menarik dan berfaedah bagi mereka seperti muzium, pusat sains dan zoo. Oleh itu, ibu bapa boleh merancang dengan bajet yang mengikut kemampuan masing-masing untuk membawa anak-anak melancong ke tempat yang belum pernah dikunjungi pada waktu cuti persekolahan.

Isi 2

Selain itu, cuti persekolahan boleh dimanfaatkan dengan bergotong-royong membersihkan rumah dan kawasan sekitar. Mutakhir ini, ibu dan bapa dalam keluarga mempunyai kerjaya atau perlu bekerja demi menampung keperluan diri dan keluarga. Maka, kerja-kerja di rumah kadang-kala terabai dek kerana kekangan masa dan keletihan setelah bekerja. Oleh itu, bagi membalas jasa dan kudrat yang telah diusahakan oleh ibu bapa, anak-anak seharusnya membantu mereka membuat kerja-kerja rumah seperti mengemop lantai, membersihkan tingkap dan kipas serta mengemas pakaian. Pada permulaan mungkin ibu bapa akan mendapati sukar untuk mengajar anak-anak dalam membuat kerja-kerja rumah kerana mereka leka dengan telefon dan gajet. Tetapi kalau bukan ibu bapa, siapa yang akan mengajar mereka untuk berdikari dan berdisiplin menjelang mereka dewasa kelak? Bak kata peribahasa Melayu, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Mula mengajar anak-anak kerja rumah yang mudah dan tingkatkan kemahiran mereka secara berperingkat. Pasti hasilnya akan memberi manfaat kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

Isi 3

Sebenarnya, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelajar semasa cuti persekolahan yang boleh mendatangkan manfaat kepada pelajar. Antaranya adalah dengan menyertai kem motivasi diri atau ibadah. Anak-anak ibarat kain putih yang memerlukan ibu bapa menggunakan strategi, kemahiran, kepakaran dalam mencorakkan jati diri mereka. Dengan menyertai kem motivasi, pelajar dapat membentuk dan meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan cabaran dunia yang kian menguji minda serta fizikal untuk kuat, pantas, cekal dan mampu bertahan dengan ujian yang akan datang. Di samping itu, menghantar anak-anak ke kem ibadah mampu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mereka tentang ilmu berkaitan solat, doa harian, zikir, bacaan dan hafazan Al-Quran. Maka, anak-anak akan mendapat sesuatu yang berharga dimana mereka tidak dapat di sekolah dan nilai jati diri serta ilmu keagamaan tersbut mampu melahirkan generasi yang lebih berjaya di masa hadapan.

Isi 4

Akhir sekali, cuti sekolah boleh dimanfaatkan dengan melakukan ulang kaji pelajaran khususnya untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Waktu terluang yang banyak memberikan kelebihan kepada pelajar untuk membuat latihan tambahan ataupun menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan oleh guru-guru di sekolah. Secara peribadi, mengulang kaji pelajaran di rumah adalah lebih efektif kerana pelajar boleh fokus dan belajar dalam keadaan yang lebih kondusif. Sebagai perbandingan, di sekolah pelajar berkongsi satu bilik darjah bersama lebih 20 ke 30 orang pelajar lain tetapi di rumah pelajar boleh menelaah buku atau membuat latihan secara bersendirian. Tambahan pula, kemudahan gajet dan telefon pintar hari ini memberikan kelebihan dimana pelajar boleh merujuk maklumat yang diinginkan secara dalam talian.

Penutup

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk mendapat manfaat sepanjang cuti persekolahan berlangsung. Ia bergantung kepada kesedaran diri atau ibu bapa yang ingin mencari aktiviti yang mendatangkan faedah kepada pelajar sepanjang tempoh tersebut. Cuti sekolah bukanlah bermaksud pelajar akan cuti daripada belajar. Sebaliknya, pelajar harus mengisi masa terluang itu dengan pelbagai aktiviti yang dicadangkan di atas bagi mendapatkan faedah yang berbeza. Jika mereka gagal menggunakan masa dengan baik sudah pasti diri mereka sendiri akan mengalami kerugiannya terutamanya dalam kalangan rakan sebaya. Semoga setiap ahli masyarakat cakna dan peka terhadap anak-anak kecil ini yang berpotensi menjadi pemimpin negara kita suatu hari nanti dengan memastikan masa cuti persekolahan mereka diisi dengan perkara yang memberi manfaat.