Nota

Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Komponen sastera merupakan salah satu cabang mata pelajaran Bahasa Melayu, di mana menguji kemampuan pelajar untuk menganalisis dan memahami karya-karya yang diberikan. Dengan bimbingan daripada guru, pelajar mampu untuk menguasai dan menjawab soalan di dalam peperiksaan dengan cemerlang. Berikut dikongsikan nota-nota yang terdapat dalam Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran untuk rujukan semua.

Cerpen yang menarik ini telah ditulis oleh Maskiah Haji Masrom, seorang penulis yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sarjana Kesusasteraan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain cerpen, penulis juga telah menghasilkan pelbagai karya kesusasteraan lain seperti penulisan novel Nyanyi Sunyi dan Jalan Seribu Liku. Oleh itu, wajar untuk pelajar mempelajari salah satu karya kesusasteraan daripada penulis yang tersohor ini.

Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran

Di bawah dikongsikan nota penting yang terkandung dalam cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran.

Selain itu, turut disertakan nota berkenaan plot, teknik plot, gaya bahasa serta watak dan perwatakan.

Sinopsis

Cerpen ini menceritakan Aku yang melancong ke negara Turki. Aku telah merancang perbelanjaan kewangan apabila di sana untuk membeli cenderahati kepada kenalan dan keluarganya. Bagi dirinya pula, Aku lebih tertarik dengan buku-buku terbitan Turki sebagai cenderahati. Aku telah diberi penerangan dan panduan oleh pemandu pelancong tentang pantang larang ketika berbelanja di Istanbul. Aku dan rakannya berasa sukar untuk tawar menawar harga di sana kernaa tiada tanda harga dipaparkan dan akan diberitahu jika ditanya. Di sebuah kedai yang menjual jaket kulit, Aku terpaku dengan sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam dan membayangkan abangnya memakai apabila menunggang motosikal.

Pekedai turki yang menjual jaket itu menarik Aku ke dalam kedai dan melayannya dengan penuh ramah. Pekedai itu tidak putus asa melayan Aku dan memujuk untuk membeli jaketnya. Demi menjaga hati pekedai tersebut, Aku menyarung sehelai jaket dan terkejut dengan harga jaket tersebut. Aku dengan penuh budi bahasa bertindak untuk tidak membeli jaket tersebut. Pekedai Turki itu kelihatan marah dan mengeluarkan kata-kata kesat. Selepas peristiwa itu, Aku berjalan bersama rakannya di Egyptian Market. Aku didatangi seorang remaja kurus dan berbisik seolah-olah menjual sesuatu. Tidak lama selepas itu, datang seorang polis yang telah menangkap remaja tersebut kerana cuba menjula barangan di Black Market.

Ketika beratur untuk menaiki feri di Selat Bhosporus, seorang lelaki tua ingin menjual sehelai jaket kepada Aku. Shahmeem rakannya menunjukkan minat dan bertindak membeli jaket tersebut. Namun saiznya kecil dan Aku telah membeli jaket tersebut daripada Shahmeem bagi menggembirakan hati Shahmeem. Akhirnya, Aku menjual semula jaket tersebut di sebuah kedai pakaian terpakai dan menderma hasil jualan kepada zoo yang memelihara kijang.

Tema 

Novel ini mengutarakan tema seorang pelancong yang terjerat dengan pembelian jaket kulit kijang yang tidak disengajakan demi menjaga hati penjual jaket tersebut. Selain itu, dia berbuat demikian untuk kegembiraan rakannya serta diri sendiri demi mengelakkan pembunuhan haiwan-haiwan yang dilindungi demi kelangsungan gaya hidup moden.

Persoalan

  1. Persoalan kasih sayang terhadap haiwan yang juga merupakan makhluk yang berkongsi kehidupan di muka bumi ini
  2. Persoalan berbudi bahasa sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan negara
  3. Persoalan kebijaksanaan seseorang dalam meguruskan perbelanjaan kewangan
  4. Persoalan sikap murni sesebuah masyarakat di negara asing yang tidak pernah dilihat
  5. Persoalan memberikan layanan yang terbaik serta bersikap ramah mesra dengan pelanggan atau pelancong

Watak Dan Perwatakan

Aku ( Mas)

  • Merupakan watak utama dalam cerpen ini
  • Seorang yang gemar membaca, baik dan murah hati
  • Pandai menguruskan perbelanjaan kewangan dan sentiasa bersikap sederhana
  • Sayang terhadap haiwan

Pekerja Kedai di Turki

  • Seorang pemuda yang berkulit putih dan mempunyai kumis
  • Peramah dan fasih berbahasa Inggeris
  • Pandai mengambil hati pelanggan dan tidak berputus asa

Polis Turki

  • Lelaki dewasa yang bertubuh tegap dan mempunyai wajah yang serius

Shahmeem

  • Kawan kepada Aku
  • Seorang yang murah hati dan mudah terpengaruh

Latar

Latar tempat 

  • Hotel Senator – hotel penginapan aku dan rombongannya ke Turki
  • Gunung Bolu – Aku bersedekah kepada seorang kanak-kanak bersama datuknya yang buta
  • Masjid Biru – Aku telah menunaikan solat jamak
  • Egyptian Market – Sebuah pusat membeli belah yang dikerumuni burung merpati yang jinak-jinak
  • Terminal Feri Selat Bosphurus – Shahmeem membeli jaket kulit hitam daripada seorang lelaki tua

Latar masa

Malam – Aku dan teman sebiliknya Kak Chah tidur awal kerana kepenatan selepas berjalan mengelilingi kota bersejarah

Siang – Aku, Kak Chah dan Shahmeem berada di dalam kedai menjual jaket kulit

Latar masyarakat 

  • Masyarakat yang suka melancong – Aku serta 30 ahli rombongan lain yang melawat ke negara Turki.
  • Masyarakat yang tidak menyayangi haiwan – Kijang yang telah dibunuh untuk menjadi bahan kepada jaket kulit bagi golongan yang hidup mewah
  • Masyarakat yang hidup mewah – Sepasang suami dan isteri yang telah membeli sebanyak empat helai jaket kulit
  • Masyarakat yang tidak bernasib baik – Di negara asing juga terdapat pengemis, orang kurang upaya yang meminta bantuan
  • Masyarakat yang bekerjaya untuk menampung kehidupan seharian – Pemandu pelancong dan pekedai Turki yang menjual barangan kulit

Plot

Permulaan – Aku yang mengikuti rombongan yang dikendalikan Passage Tours and Travel ke Turki. Berbekalkan wang bernilai RM1,800, setiap senarai barang yang ingin dibeli telah disenaraikan termasuk cenderamata untuk keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat. Dia juga berhasrat untuk membeli beberapa buah buku terbitan Turki.

Perkembangan – Pada hari kelima lawatannya di Istanbul, Aku telah terbeli jaket kulit kijang walaupun tidak berniat untuk membelinya. Ahli rombongan dibenarkan untuk membeli belah di Grand Bazaar. Sebelum tiba di Istanbul, Aku telah melawat beberapa pusat pelancongan seperti di Bursa, Pamukkale, Konya, Cappadocia dan Bolu. Dan pada setiap persinggahan, dia pasti akan mendapatkan cenderamata yang popular dan unik

Klimaks – Aku telah disapa oleh seorang lelaki berwajah tampan dari sebuah kedai jaket kulit. Aku melayan keramahan lelaki tersebut dan terpaku pada sepasang sarung tangan kulit. Tanpa sedar aku telah masuk ke kedai jaekt kulit dan mencuba sehelai jaket kulit berwarna hitam namun tidak berniat untuk membeli jaket tersebut kerana harganya di luar kemampuannya. Aku berbalah dengan pekedai tersebut dan berasa terkilan kerana tertipu dengan layanan mesra pekedai tersebut

Peleraian – Apabila Aku beratur untuk menaiki feri ke Selat Bhosporus, seorang lelaki tua telah meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di atas lengannya. Shahmeem berminat untuk membeli jaket tersebut tetapi saiznya kecil menjual jaket tersebut kepada Aku. Aku gembira membayangkan shahmeem yang berjaya menjualkan jaket tersebut dan menghangatkan badannya sepanjang perjalanan di Selat Bhosporus. Akhirnya jaket kijang itu dijual ke kedai pakaian terpakai dan wang yang diperoleh didermakan kepada mana-mana zoo yang mempunyai kijang sebagai tanda muhibah terhadap haiwan yang dibunuh demi gaya hidup moden.

Teknik Plot

  1. Dialog – ” Dah beli ke? Ok tak harganya?”
  2. Monolog – Aku terpaku seketika. Apakah jawapan yang lebih baik pada saat itu selain dapat menggenbirakan Shahmeem?
  3. Imbas Muka – Aku tidak dapat membayangkan jika aku menjadi wanita tua yang menjual makanan burung di situ
  4. Imbas Kembali – Entah mengapa aku tiba-tiba teringat akan Abang Long yang menunggang motosikal pergi balik kerja
  5. Saspens – Perbalahan antara aku dan pekedai Turki membuatkan aku ingin melangkah keluar tetapi dihalang oleh pekedai Turki dengan wajah yang kelihatan marah.

Gaya Bahasa

  • Sinkope – Eh, lawanya jaket tu! Macam yang kita tengok kat Grand Bazaar semalam. Murah ke?
  • Bahasa Asing – Hello lady, Please, Assalamualaikum, solat jamak

Nilai

  1. Prihatin – Aku yang prihatin dengan pembunuhan haiwan seperti kijang kerana kulitnya digunakan untuk membuat jaket
  2. Ikhlas – Aku yang menderma dengan ikhlas kepada pengemis dan orang yang kurang upaya
  3. Berjimat Cermat – Aku mempunyai perancangan perbelanjaan kewangan yang mampu membantunya berjimat cermat
  4. Jujur – Aku sepatutnya bersikap jujur dan terus terang untuk tidak membeli jaket tersebut
  5. Gigih – Pekedai Turki yang gigih menjual dan meyakinkan pelanggannya untuk membeli barangannya

Pengajaran

  1. Kita seharusnya mempunyai sikap kasih dan sayang terhadap haiwan kerana mereka juga merupakan makhluk yang mempunyai kepentingan di muka bumi ini
  2. Kita hendaklah bersikap sederhana dengan tidak mengorbankan segala sumber alam semula jadi demi gaya hidup yang mewah
  3. Kita digalakkan untuk berjimat cermat supaya perbelanjaan kewangan tidak merugikan diri kita pada masa hadapan
  4. Kita sepatutnya tidak berputus asa dan gigih dalam mencapai kejayaan dalam pekerjaan
  5. Kita seharusnya bersikap ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira tarah kehidupan seseorang

Soalan KBAT

1. Langkah-langkah pihak kerajaan untuk mengatasi masalah warga emas yang hidup gelandangan?

P1 Menyediakan rumah / tempat penginapan
P2 Memberikan pekerjaan yang sesuai
P3 Memberikan bantuan perubatan / makanan
P4 Memberikan bantuan kewangan

2. Cara untuk menaikkan nama negara dalam bidang pelancongan

P1 Meningkatkan perpaduan agar tiada berlaku pergaduhan kaum
P2 Tambah baik infrastruktur untuk kemudahan kepada pelancong
P3 Kempen Tahun melawat Malaysia agar banyak yang datang ke Malaysia
P4 Jaringan pengangkutan untuk memudahkan pelancong ke destinasi

3. Langkah-langkah yang patut dilakukan sebelum melancong ke luar negara.

P1 Kenal pasti tahap keselamatan negara tersebut.
P2 Mengetahui adat resam dan budaya
P3 Mempelajari sedikit bahasa negara tersebut.
P4 Menukar mata wang negara tersebut.

Semoga perkongsian nota cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul dapat memberikan manfaat kepada pelajar.

Related : tanda muhibah terhadap kijang, membeli jaket kulit kijang,