Nota

Berbuat Istana Zaman Dahulu : Tema, Maksud, Bentuk, Persoalan, Nilai

Karya penulisan sastera melayu wajar dipelajari dan dihargai oleh pelajar di sekolah. Selain dapat menguasai penggunaan Bahasa Melayu, kompenen sastera ini juga akan diingati oleh pelajar dan pengajaran yang diperoleh adalah mustahak untuk membentuk jati diri pelajar. Berikut dikongsikan nota ringkas Berbuat Istana Zaman Dahulu : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran untuk rujukan semua.

Untuk pengetahuan, seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak. Antara ciri penting dalam sebuah seloka adalah membawa maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah laku dan sifat negatif supaya ia memberi pengajaran dan panduan kepada masyarakat.

Nota Seloka : Berbuat Istana Zaman Dahulu

Berikut dikongsikan nota ringkas komponen sastera Berbuat Istana Zaman Dahulu yang merangkumi maksud, tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, nilai dan pengajaran

Maksud Seloka

Rangkap

Gurindam

Maksud

1Baginda menitahkan orang besar empat, Membuat istana puri berkota;
Lalu dipanggil Pawang raja.
Pawang mengerah orang bekerja, Empat puluh empat tukang dan utas, Siang malam tidak berhenti.
Seorang raja memerintah empat orang pembesar untuk mendirikan istana sebagai mercu tanda kotanya. Raja tersebut memanggil Pawang Raja untuk mengerahkan empat puluh empat tukang yang pakar, bekerja siang dan malam untuk membina istana tersebut
2Tujuh bulan tujuh purnama, Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang, Sepuluh dengan rembat guntung, Sebelas dengan pancung serong, Dua belas dengan anjung tinggi.
Istana yang dibina siap dalam masa tujuh bulan dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Ia dilengkapi sembilan ruang tamu, sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong dan dua belas anjung tinggi
3Tiga sudut menteri delapan, Tiang panjang maharaja lela, Tiang tengah syukur menanti; Galang-galangnya ular berang, Kasau kecil puteri menyembah, Kasau lentik helang berbega.Di istana juga mempunyai tiga sudut untuk lapan orang menteri, Sudut itu dibina dengan reka bentuk yang unik iaitu bertiang panjang dan bertiang tengah. Galang-galang istana bercorak ular berang, kasau kecil bercorak puteri menyembah dan ukiran helang terbang
4Berbunga sawa mengelempai, Bertakuk bersedelinggam, Berjenang berbatu kawi, Berselimpat ukir Jawa, Lilit-melilit akar Cina; Garam sebuku sisa jeragan, Bunga kenanga dimakan ular, Layang-layang di pintu ular.Seni ukir istana dihias indah dengan pelbagai corak yang menarik. Terdapat ukiran seni bina Jawa dan Cina. Selain itu, terdapat juga motif haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti ular, layang-layang dan sebuku garam
5Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru:
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri.
Setelah istana siap dibina, semua tukang dibunuh supaya tiada orang lain yang dapat meniru kecantikan corak dan keunikan seni bina istana tersebut. Istana yang tersergam indah dipersembahkan kepada raja dan permaisuri.

Tema

Seloka ini mengutengahkan tema kesetiaan kepada raja dimana jurubina istana dibunuh hanya kerana pemerintah tersebut mengutamakan diri untuk kegemilangan peribadi.

Persoalan

Terdapat beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam seloka di atas seperti berikut:

  1. Persoalan kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah
  2. Persoalan kegigihan jurubina yang bekerja dari siang hingga malam untuk menyiapkan istana atau kerja yang ditugaskan
  3. Persoalan keunikan seni bina dan seni tukang masyarakat dahulu
  4. Persoalan fungsi istana yang dibina untuk menjadi tempat kepada pelbagai aktiviti

Bentuk/ Ciri-ciri Seloka

Bentuk dan ciri seloka pula adalah:

  • Seloka ini terdiri daripada lima rangkap
  • Bilangan baris dalam rangkap adalah tidak sama
  • Bilangan suku kata antara lapan hingga tujuh belas suku kata
  • Setiap baris mengandungi dua hingga enam patah perkataan
  • Rima akhir berakhir dengan abbbcd untuk rangkap pertama, aabdce untuk rangkap kedua, abcdeb untuk rangkap ketiga, abcddefa untuk rangkap keempat dan aba untuk rangkap kelima

Gaya Bahasa

Gaya bahasa yang digunakan dalam karya penulisan sastera ini adalah:

  • responsi – sepuluh dengan rembat guntung
  • repetisi – empat puluh empat tukang dan utas
  • personafikasi – tiang tengah syukur menanti
  • metafora – anjung tinggi, tiang tengah
  • inversi – garam sebuku sisa jerangan
  • kata arkaik – berbega, utas

Nilai

Nilai yang diperoleh daripada seloka di atas ialah:

  1. Ketaatan kepada pemimpin – Orang Besar berempat dan Pawang Raja taat akan perintah raja untuk membina istana
  2. Kegigihan – empat puluh empat orang tukang gigh bekerja menyiapkan istana
  3. Ketelitian – Galang-galangnya ular berang, kasau kecil puteri menyembah dan kasau lentik helang berbega

Pengajaran

Pengajaran yang didapati dalam penulisan di atas adalah:

  1. Sebagai pemerintah, kita hendaklah berlaku adil dan tidak mengorbankan rakyat hanya demi mencapai cita-cita sendiri
  2. Sebagai rakyat pula, kita seharusnya memeberikan taat dan setia kepada pemimpin yang tidak berlaku zalim terhadap rakyatnya.
  3. Kita sewajarnya melakukan kerja atau tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita dengan gigih dan sungguh-sungguh
  4. Kita perlulah mengekalkan keunikan budaya dengan memelihara seni bina dan ukiran yang dimiliki oleh masyarakat kita
  5. Kita hendaklah bekerjasama dalam melaksanakan tugas supaya tugasan tersebut berjaya dilaksana dengan cemerlang

Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang setia kepada pemerintah / patuh pada perintah raja
  • Masyarakat yang rajin / gigih dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan
  • Masyarakat yang pakar dalam seni ukiran dan seni bina Melayu
  • Masyarakat yang bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan

Soalan KBAT

1. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mengekalkan seni binaan seperti dalam syair tersebut

P1 Mewujudkan kelas / sekolah / institut kemahiran pertukangan
P2 Melantik pakar yang sedia ada sebagai jurulatih / penasihat
P3 Kemahiran seni bina didokumentasikan / dibukukan
P4 Mengadakan pertandingan berkaitan dengan kemahiran pertukangan

2. Ciri-ciri rumah yang selesa

P1 kemudahan asas yang lengkap
P2 mempunyai ruang yang luas
P3 persekitaran yang bersih
P4 mudah memperoleh capaian Internet

3. Sesebuah istana dibina dalam keadaan yang mewah dan indah.

P1 Untuk membezakan taraf/status antara raja dengan rakyat
P2 Untuk menunjukkan kekukuhan ekonomi negara
P3 Menjaga imej/maruah raja
P4 Sebagai lambang/mercu tanda sesebuah negara
P5 menunjukkan kepada kerajaan lain / raja lain akan kehebatan baginda / supaya negara lain kagum akan kehebatan baginda

4. Apakah kepentingan-kepentingan memelihara bangunan lama

P1 Dapat dijadikan bukti yang kukuh tentang peristiwa yang berlaku / sejarah bangunan lama
P2 Dapat menjadi teladan/iktibar kepada masyarakat tentang jasa para pejuang
P3 Banyak memberi manfaat dari sudut pelancongan
P4 Sebagai sumber rujukan seni bina bangsa

5. Punca-punca seni ukir kurang diminati oleh generasi muda:

P1 Kurang / tiada pendedahan sejak kecil
P2 terpengaruh oleh gaya hidup moden
P3 kurang penganjuran pertandingan seni ukir
P4 tiada bantuan daripada pihak kerajaan

6. Selain mementingkan aspek kesenian dan keunikan seni bina, apakah aspek lain yang perlu diambil kira oleh seseorang raja dalam pembinaan sesebuah istana?

P1 Aspek keselamatan – bangunan yang kukuh dan bebas daripada ancaman musuh serta lokasi yang strategik
P2 Kos perbelanjaan pembinaan – membeli bahan binaan dan upah pekerja
P3 Keselesaan – saiz yang luas dan peralatan yang lengkap
P4 Penggunaan teknologi canggih dalam pembinaan

7. Pada pendapat anda, mengapakah istana dibina dengan memuatkan elemen-elemen ukiran dari negara luar?

P1 menunjukkan mempunyai perhubungan diplomatik dengan negara-negara terbabit
P2 sebagai tanda kemegahan mempunyai hubungan dengan kuasa-kuasa besar
P3 menarik pedagang-pedagang negara terbabit untuk berdagang
P4 kelainan untuk mengelakkan persamaan dengan ciri-ciri bangunan tempatan/rakyat tempatan

8. Setiap orang mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri. Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri sebuah rumah yang selesa?

P1 Mempunyai pelbagai ruang seperti ruang tamu, ruang makan, dapur, dan bilik tidur serta tandas.
P2 Ruang pengudaraan yang bebas dan tidak tertutup.
P3 Rumah dibina di kawasan yang banyak mempunyai jiran tetangga.
P4 Mempunyai tahap keselamatan yang tinggi

9. Pada pendapat anda, apakah manfaat jika tukang yang membina istana raja tersebut tidak mati selepas istana tersebut siap dibina? (3 markah)

– Raja boleh menggunakan kepakaran tukang tersebut untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih bangunan istana sekiranya mengalami kerosakan
– Raja juga boleh mendapatkan keuntungan dengan menawarkan kepakaran tukang tersebut kepada negara lain / raja lain yang ingin membina istana
– Kepakaran tukang-tukang tersebut juga boleh digunakan untuk membina bangunan yang diperlukan oleh raja pada masa hadapan
– Tenaga pakar itu juga boleh menurunkan kepakaran mereka kepada generasi muda agar bilangan tenaga profesional bertambah dalam negara tersebut untuk memajukan negara tersebut

10. Pada pendapat anda, mengapakah istana tersebut tidak mampu ditiru seni binanya?

P1 tiada tukang baharu yang semahir tukang lama
P2 kemahiran dan kepakaran tukang lama tidak sempat diperturunkan/diwariskan

Soalan KOMSAS

1. Kemukakan dua nilai yang terdapat pada seloka tersebut tersebut. (4 markah)

– Antara nilai murni yang terdapat dalam seloka tersebut ialah nilai kesetiaan. Contohnya Orang Besar Empat setia menjunjung titah perintah raja untuk membina sebuah istana yang indah, cantik dan unik. Contohnya, semua rakyat setia pada raja sehingga sanggup melaksanakan perintah raja tanpa membantah dan bekerja siang dan malam tanpa henti.
– Nilai murni berikutnya ialah nilai bekerjasama. Contohnya, 44 orang tukang dan utas saling bekerjasama untuk menyiapkan istana raja. Orang Besar Empat, Pawang dan tukang istana yang pakar itu sanggup bekerjasama bekerja siang dan malam sehingga akhirnya berjaya menyiapkan istana raja lam tempoh tujuh bulan.
– Nilai bertanggungjawab – orang besar berempat bertanggungjawab untuk menguruskan pembinaan istana seperti yang dititahkan oleh raja.
– Nilai ketaatan – Contohnya, pembesar, Pawang raja dan semua tukang taat pada perintah raja dan menjalankan tugas mereka masing-masing.
– Nilai kerajinan/ kegigihan dalam melakukan sesuatu pekerjaan agar hasil kerja berkualiti dan siap tepat pada waktunya. – Contohnya, 44 orang tukang dan utas yang gigih dan rajin melakukan kerja-kerja membina istana raja.

3. Jelaskan dua latar masyarakat yang terdapat dalam seloka tersebut. (4 markah)

– Masyarakat yang setia kepada pemerintah / patuh pada perintah raja
– Masyarakat yang rajin / gigih dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan.
– Masyarakat yang pakar dalam seni ukiran dan seni bina Melayu.
– Masyarakat yang bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan

4. Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam seloka tersebut. (4 markah)

– Persoalan kesetiaan rakyat kepada pemerintah.
– Persoalan kerajinan / kegigihan dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan.
– Persoalan keunikan seni ukiran dan seni bina Melayu.
– Persoalan kerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan

5. Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam seloka di atas. [4 markah]

– Dua persoalan yang terdapat dalam seloka di atas ialah persoalan kesetiaan rakyat terhadap arahan dan perintah raja. Selain itu, kehalusan seni ukiran dan keunikan seni bina istana.
– Persoalan lain ialah persoalan ketaatan rakyat kepada pemerintah. Contohnya, apabila arahan diberikan untuk membina istana semua rakyat taat untuk melaksanakannya
– Persoalan bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya, setiap orang yang mempunyai kemahiran membangunkan istana secara bekerjasama.
– Persoalan ketekunan masyarakat tradisional. Contohnya, sanggup bekerja untuk membangunkan istana siang dan malam serta membahayakan membahayakan mereka sendiri.

5. Kemukakan dua pengajaran yang terdapat dalam gurindam tersebut. (4 markah)

– kita haruslah patuh pada perintah raja.
– kita haruslah rajin/ gigih dalam melakukan sesuatu pekerjaan agar hasil kerja berkualiti dan siap tepat pada waktunya.
– kita haruslah berkerjasama dalam menyiapkan sesuatu pekerjaan agar dapat disiapkan dengan mudah dan pantas.
– kita haruslah taat setia kepada pemerintah / pemimpin negara

Sumber Soalan

Semoga perkongsian berkaitan seloka Berbuat Istana Zaman Dahulu : Tema, Maksud, Persoalan, Nilai dapat memberikan manfaat kepada pelajar semua.

Related : pawang raja telah mengerah, rangkap 2,