Karangan

Faedah Dan Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Kepelbagaian kaum, bangsa dan agama dalam masyarakat Malaysia menjadi satu perkara yang sering menjadi isu untuk dibincangkan. Pelbagai soalan yang boleh dijadikan tajuk dalam penulisan karangan yang berkaitan dengan kepelbagaian kaum, bangsa dan agama. Berikut adalah contoh karangan kebaikan amalan rumah terbuka uang diadakan di kalangan masyarakat Malaysia sebagai rujukan pelajar-pelajar. Karangan yang baik adalah bergantung kepada pelajar untuk menghuraikan isi-isi penting yang dikongsi mengikut penulisan anda sendiri.

Amalan rumah terbuka adalah salah satu persoalan yang boleh diberikan kepada para pelajar. Guru atau sekolah ingin menguji pengetahuan am murid-murid dan apakah budaya serta amalan yang melibatkan seluruh kaum dan bangsa di Malaysia. Apakah kebaikan perpaduan antara kaum, bangsa dan agama jika dicapai dengan melakukan rumah terbuka pada hari perayaan?

Kepentingan Dan Kebaikan Amalan Rumah Terbuka Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

peta minda kebaikan amalan rumah terbuka Faedah Dan Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Isi-isi penting

  • mengeratkan perpaduan kaum dan hubungan sesama masyarakat
  • mengenali dan memahami budaya kaum lain
  • menjadi produk pelancongan yang unggul
  • dapat menjamah pelbagai juadah
  • merapatkan silaturrahim antara ahli keluarga
  • model keamanan kepada dunia

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu serta Maksudnya

Contoh Karangan Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Pendahuluan

Sejak negara menikmati arus kemerdekaan, penganjuran rumah terbuka telah menjadi amalan sejak zaman datuk dan nenek moyang kita. Rumah terbuka adalah acara tidak kira kecil atau besar untuk menyambut hari perayaan dan semua lapisan masyarakat dijemput untuk hadir. Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan perayaan yang banyak sudah sinonim dengan aktiviti rumah terbuka. Perayaan utama di Malaysia seperti hari raya, tahun baru Cina dan Deepavali akan disemarakkan dengan aktiviti kunjung mengunjung rumah terbuka dan menjadi antara acara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Malaysia amnya. Keseronokan dan kebaikan yang diperoleh semua golongan menjadikan amalan rumah terbuka tidak pernah lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Isi 1

Antara kebaikan amalan rumah terbuka adalah ia membantu mengeratkan perpaduan antara kaum dan hubungan sesama masyarakat. Hal ini kerana, semua ahli masyarakat bebas untuk menyertai rumah terbuka tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan etnik. Selain di sekolah, aktiviti rumah terbuka ini dapat mengumpulkan semua golongan dalam satu acara di mana kita dapat mengenali antara satu sama lain dan bersama-sama bergembira menyambut perayaan yang dirai. Lebih-lebih lagi dalam era kepantasan penyebaran berita palsu yang sering menggunakan polemik kaum dan bangsa untuk menjatuhkan sesetengah pihak tetapi kesannya melibatkan satu negara tanpa disedari. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh yang bermaksud kita seharusnya bermuafakat dalam masyarakat agar visi dan misi negara dapat dilaksanakan seterusnya menjadikan negara kita konsisten dan berdaya saing dalam kemajuan sejagat.

Isi 2

Selain itu, amalan rumah terbuka merupakan satu medium untuk kita mengenali dan memahami budaya kaum-kaum di dalam Malaysia. Apabila kita menghadiri rumah terbuka kita dapat lihat pelbagai jenis juadah dan adat yang diamalkan dalam perayaan kaum tersebut. Sebagai contoh, penganut Hindu yang meraikan Deepavali akan menghiasi rumah mereka dengan sebuah “Kolam”. Ia dibuat daripada tepung beras yang tidak diwarnakan sebagai makanan untuk semut dan serangga lain kerana agama Hindu percaya bahawa Tuhan atau Atman wujud di dalam setiap ciptaan Tuhan di dunia ini. Maka, aspek mendalam ialah “kolam” merupakan cara termudah untuk memberi sedekah atau pun dilihat sebagai cara berkongsi sumber alam dengan benda hidup yang lain. Pengenalan dan pemahaman sesuatu adat itu penting kerana ia membuka mata mereka yang tidak tahu dan akan merasa lebih rapat serta gembira untuk hidup dalam masyarakat yang aman majmuk.

Isi 3

Amalan rumah terbuka juga mampu menjadi produk pelancongan negara yang unggul kerana keunikan dan keindahan amalan rumah terbuka wajar dikongsikan dan dipaparkan ke mata dunia. Selain menikmati keindahan alam semula jadi di Malaysia, para pelancong asing hendaklah di perkenalkan budaya dan keunikan adat setiap kaum dan etnik di negara kita. Penyertaan pelancong asing dalam rumah terbuka memebolehkan mereka mencuba juadah perayaan yang disambut serta meraikan keharmonian masyarakat kita yang bersama-sama menikmati keseronokan beraya di rumah terbuka. Misalnya, rumah terbuka bersempena Hari Gawai oleh kaum dayak yang menyambut pengakhiran musim menuai dimana pelancong dapat melihat semua adat dan kepercayaan yang dilakukan oleh mereka. Izharnya, penganjuran rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum menyertainya di bawah payung keharmonian.

Isi 4

Di samping itu, amalan rumah terbuka membolehkan kita untuk menikmati pelbagai jenis juadah dari pelbagai kaum. Rumah terbuka merupakan peluang emas bagi kita untuk merasai hidangan perayaan yang disambut mengikut kaum masing-masing. Daripada kampung hingga ke peringkat negeri malah kebangsaan penganjuran rumah terbuka dijalankan saban tahun bagi menjamu juadah perayaan. Rendang dan ketupat diwaktu hari raya aidilifitri, buah limau dan yee sang pada perayaan hari raya Cina serta muruku pada perayaan Depaavali. Juadah ini akan dihidangkan dan mereka akan memasak dengan cara dan bahan yang halal supaya orang yang beragama Islam juga dapat menikmati juadah ini bersama-sama. Bak kata peribahasa Melayu, biar mati anak, jangan mati adat. Berakar umbi daripada amalan inilah masyarakat dapat melihat serta merasai kepelbagaian aneka masakan daripada latar masyarakat yang berbeza. Hal ini menyebabkan tradisi bangsa terus kukuh dan harmoni.

Penutup 

Kesimpulannya terdapat banyak manfaat dan kebaikan yang kita akan peroleh sekiranya menganjurkan amalan rumah terbuka ini. Tidak peliklah amalan ini kekal segar dalam masyarakat kita kerana ia adalah punca ataupun akar yang menyokong kesepaduan rakyat kita yang berbilang kaum. Semua pihak terutamanya kerajaan hendaklah sentiasa peka dan bertindak dalam menambah baik dan mengekalkan amalan rumah terbuka di setiap perayaan yang disambut oleh rakyat di Malaysia agar tiada pembaziran dan ketidak adilan berlaku dalam amalan mulia ini. Ikan dilaut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat. Muafakat antara ahli masyarakat akan menjamin kebolehan negara dalam mencapai kemajuan dan wawasan yang ingin dikecapi.