Karangan
Kepentingan Riadah Dalam Kehidupan Seharian
Banyak perkara yang boleh seseorang individu tersebut lakukan untuk mendapat manfaat yang berguna dalam kehidupan. Pelajar mampu menjawab soalan sebegini kerana ia merupakan antara subjek yang dipelajari di sekolah iaitu pendidikan jasmani. Penulisan karangan yang baik hendaklah menggunakan peribahasa melayu dan simpulan bahasa agar menarik minat guru yang membaca.
Riadah adalah aktiviti yang mempunyai pelbagai kepentingan kepada diri, masyarakat dan negara tanpa kita sedari.Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan kepentingan riadah dalam kehidupan. Ianya terdiri daripada pendahuluan, empat isi penting dan penutup.
Isi Kandungan
Kebaikan Dan Kepentingan Beriadah Dan Berekreasi Dalam Kehidupan Seharian
Isi-isi penting
- mengisi masa lapang
- memastikan kesihatan diri terjaga
- mengeratkan hubungan sesama keluarga atau rakan
- menjadi medium penyatuan rakyat
- mencabar kemampuan diri
- Menambah keyakinan dan motivasi diri
Contoh Karangan Kepentingan Riadah Dalam Kehidupan
Pendahuluan
Seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita ada yang terlalu taksub dengan mengejar kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Riadah adalah senaman atau menggerakkan semua anggota tubuh badan dengan cara-cara tertentu. Banyak aktiviti riadah yang boleh diamalkan seperti berjoging dan menyertai senam robik yang tidak memakan masa yang lama dan mudah untuk dilakukan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang bermaksud jika kita berusaha untuk memberikan masa melakukan aktiviti riadah nescaya kita akan berbangga dengan hasil usaha kita diwaktu kelak.
Isi 1
Aktiviti riadah atau senaman ini adalah penting kerana ia wajar diamalkan dalam mengisi masa lapang seseorang. Jika di bandingkan dengan aktiviti lain seperti bermain permainan video atau melepak di kedai mamak, beriadah adalah aktiviti yang sihat untuk diamalkan. Kemudahan untuk melakuakan aktiviti rekreasi telah berkembang dan tidak memerlukan kos yang banyak untuk menggunakannya. Jadi, lebih baik kita melabur wang dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan manfaat pada fizikal dan mental kita berbanding menghabiskan duit kepada aktiviti yang membuang masa dan sia-sia. Bak kata peribahasa Melayu, tepuk dada, tanya selera di mana sesuatu pekerjaan yang akan kita lakukan hendaklah difikirkan baik-baik menurut keyakinan diri kita sendiri.
Isi 2
Riadah adalah penting kerana ia merupakan aktiviti yang dapat memastikan kesihatan diri kita terjamin. Apabila kita beriadah, peluh yang dihasilkan mempunyai toksik-toksik yang tidak diperlukan dalam badan dan kadar lemak dalam badan akan berkurangan. Kita hanya perlu konsisten dalam melakukan aktiviti riadah seperti berjoging atau menunggang kuda dalam tempoh masa paling kurang 30 minit sehari. Sistem kardiologi dan stamina kita akan menjadi lebih baik dan terhindar daripada penyakit-penyakit seperti obesiti dan darah tinggi. Sebelum nasi menjadi bubur, adalah rasional untuk kita mengamalkan aktiviti riadah kerana mencegah lebih baik daripada merawat.
Isi 3
Selain itu, aktiviti-aktiviti rekreasi mampu menjadi medium perhubungan silaturrahim antara keluarga dan rakan-rakan. Jika kita imbas kembali pada zaman kanak-kanak kita, setibanya waktu petang kita akan keluar rumah untuk bermain di padang atau taman permainan bersama sesiapa sahaja yang ingin bermain bersama dan dari situ kita akan berkenalan dan menjadi rapat dengan rakan sepermainan kita. Aktiviti seperti bermain boling pada hujung minggu bersama keluarga dan rakan-rakan dapat merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain di samping berhibur dan mengeluarkan peluh yang sihat. Bagi golongan pekerja pula, syarikat atau pejabat selalunya menganjurkan aktiviti rekreasi bersama sekurangnya setahun sekali bagi menambah nilai kekitaan antara rakan sekerja yang sekaligus menyumbang pada prestasi kerja yang lebih baik.
Isi 4
Menyingkap dari sudut lain, aktiviti riadah dapat menyatukan rakyat kita yang terdiri daripada berbilang kaum. Bagi mengelakkan sentimen perkauman yang selalunya dijadikan isu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kita sebagai warganegara Malaysia seharusnya melibatkan diri dengan aktiviti riadah tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Bak kata peribahasa melayu bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Sebagai contoh, skuad bola sepak kebangsaan yang terkenal dengan nama harimau malaya pernah mengharumkan nama negara di peringkat Komanwel dan pasukan tersebut terdiri daripada pelbagai kaum. Jadi marilah kita berganding bahu dalam menepis sentimen yang sensitif ini dengan beriadah bersama-sama kerana kekuatan kita pada penyatuan bukan perpecahan.
Penutup
Secara tuntas, banyak kepentingan beriadah yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan oleh masyarakat kita secara tersurat dan tersirat. Kita seharusnya bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merencana sesuatu untuk kita meluangkan masa beriadah dan menyebarkan kesedaran tentang faedahnya kepada khalayak umum. Media massa dan agensi kerajaan mampu menjadi tunjang dalam menggalakkan rakyat Malaysia beriadah kerana badan yang sihat menjamin otak yang cerdas. Bersama-sama kita ke arah melahirkan generasi yang berfikiran waja, sihat jasmani dan rohani serta hidup dalam harmoni.
Related : perpaduan kaum menyihatkan tubuh badan kasih sayang kementerian kesihatan kesimpulannya aktiviti ahli keluarga hubungan kekeluargaan, anak anak