Karangan
Peranan Rakyat Dalam Menjaga Keselamatan Negara
Soalan berkaitan penulisan karangan Bahasa Melayu lazimnya adalah berkaitan dengan isu semasa. Oleh itu, pelajar perlu peka dengan sentiasa mengikuti berita dalam dan luar negara bagi memastikan anda mempunyai idea atau isi untuk diolah dalam penulisan karangan masing-masing. Antara soalan yang boleh dikeluarkan adalah berikan pandangan terhadap peranan rakyat untuk menjaga keselamatan negara. Di bawah adalah contoh karangan yang boleh dijadikan rujukan oleh pelajar.
Bagi membantu menghasilkan penulisan karangan yang baik, pelajar perlu meminimakan kesalahan bahasa seperti kesalahan ejaan dan penggunaan tatabahasa pada ayat yang tidak tepat. Selain itu, memasukkan frasa-frasa menarik seperti penanda wacana dan simpulan bahasa mampu menjadikan penulisan karangan pelajar lebih cemerlang berbanding rakan sekelas anda. Oleh itu, latihan tambahan adalah cara yang baik bagi memastikan pelajar sentiasa bersedia untuk mengolah setiap jenis soalan karangan yang diberikan dengan cemerlang.
Isi Kandungan
Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Dan Mengekalkan Kedaulatan Negara
Isi-isi penting
- Mengaktifkan rukun tetangga
- Melaporkan kepada pihak berkuasa
- Mempelajari, menghormati dan bertoleransi sesama masyarakat
- Memilih pemimpin yang betul dan tepat
- Menanam sifat patriotisme dalam kalangan rakyat
- Kempen kesedaran tentang keselamatan negara
Baca juga: Cara Mengira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan
Contoh Karangan Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Negara
Pendahuluan
Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu keselamatan negara yang mudah terancam dek kerana kemajuan teknologi hari ini. Keselamatan negara boleh didefinisikan sebagai cara atau kaedah yang digunakan oleh sebuah kerajaan atau negara mempertahankan hak dan milikan negara tersebut daripada ancaman. Selain itu, kemampuan negara dalam mengekalkan nilai teras negara sebagai contoh di Malaysia di mana masyarakat hidup berbilang kaum, agama dan bangsa. Tanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara bukan sahaja bergantung kepada pemimpin dan anggota keselamatan seperti tentera dan pegawai polis sahaja. Sebaliknya, rakyat adalah tunjang yang akan memastikan keselamatan negara berada di tahap yang baik dan aman. Oleh itu, mari kita senaraikan peranan sebagai seorang rakyat yang cinta akan negara bagi menjaga keselamatan tanah air ini.
Isi 1
Peranan utama rakyat dalam memastikan keselamatan negara berada di tahap yaang baik adalah dengan menjaga keselamatan kawasan berdekatan masing-masing seperti kawasan perumahan dan perkampungan. Pihak kerajaan telah memperkenalkan satu model yang diberi nama sebagai Rukun Tetangga di mana keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar dipantau oleh jawatankuasa yang terdiri daripada penduduk sendiri. Rukun tetangga merupakan inisisatif bagi penduduk atau rakyat bekerjasama dengan jirang tetangga untuk memastikan keselamatan masing-masing. Bagi menutup ruang yang tidak dapat diisi oleh pegawai polis dalam memantau semua kawasan dalam negara, penubuhan rukun tetangga adalah mustahak bagi membantu pihak berkuasa mengesan sebarang ancaman keselamatan terhadap penduduk sekitar mahupun negara secara amnya. Justeru, pengaktifan jawatankuasa Rukun Tetangga hendaklah dilaksanakan dengan cara yang memudahkan penduduk seperti penggunaan aplikasi telefon pintar. Segala info dan maklumat boleh dikongsi secara cepat dan ringkas melalui telefon pintar serta sampai kepada semua orang yang mungkin terkena kesan atau akibat daripada maklumat tersebut.
Isi 2
Selain itu, rakyat perlu sedar bahawa mereka adalah mata-mata kepada setiap pihak berkuasa di negara ini. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita sewajarnya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya kita menjumpai atau menyaksikan perkara yang mencurigakan berlaku di hadapan mata. Masyarakat hari ini lebih gemar untuk merakam dan menularkan perkara yang mereka rasa salah disisi undang-undang dan membiarkan perkara tersebut berlaku. Sebaliknya, golongan ini perlu melaporkan kesalahan undang-undang yang berlaku kepada pihak polis dan meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menjalan siasatan atau tugas mereka. Tambahan pula, pelbagai cara yang mudah untuk msyarakat berhubung dengan pihak berkuasa hari ini hanya dengan menggunakan hujung jari. Kemudahan ini wajar dimanfaatkan jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang memerlukan kita melaporkan di kaunter pejabat dan memakan masa yang lama. Oleh itu, sekiranya masyarakat prihatin bekerjasama dengan pihak berkuasa yang komited dan tegas dalam melaksanakan tugas, pasti keselamatan dan keamanan negara secara domestik dapat dicapai dengan lebih baik.
Isi 3
Seterusnya, rakyat di negara Malaysia terutamanya yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan bangsa perlu memahami, bertolak ansur dan berfikiran terbuka dengan setiap anggota masyarakat. Polemik ini tiap kali menjadi perbualan dalam masyarakat dimana ia akan mencetuskan perkara yang berakhir dengan kerugian semata-mata. Rakyat hari ini sepatutnya lebih berfikiran matang dan mengelak daripada menggunakan anasir-anasir yang berbaur perbezaan agama dan kaum demi mencapai kepentingan diri masing-masing. Perpaduan antara masyarakat adalah penting bagi melahirkan generasi yang progresif dan mengejar kemajuan pada masa kini dan akan datang. Jika ada diantara kita yang masih mempertikaikan perkara yang telah diselesaikan dahulu dengan kemerdekaan dan pengenalan Rukun Negara, golongan tersebut perlu sedar bahawa kejayaan bersama adalah hasil usaha bersama-sama. Maka jika kita ingin melihat negara kita mengecapi kemajuan dan bersaing dengan negara-negara lain terutamanya dari segi keselamatan negara, kita perlu berganding bahu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Bak kata peribahasa Melayu, bersatu teguh, bercerai roboh.
Isi 4
Akhir sekali, keselamatan negara juga sebenarnya menjadi kuasa atau pertimbangan daripada pemimpin negara yang menjadi hak rakyat untuk memilih individu yang paling berkelayakan untuk membuat keputusan-keputusan penting demi negara. Amalan demokrasi di negara kita adalah baik dan diterima oleh rakyat di mana hak asasi rakyat menjadi tunjang pemilihan blok kerajaan setiap kali pilihan raya berlangsung. Oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya meletakkan individu yang paling berkelayakan dengan kedudukannya untuk mengurus hal ehwal keselamatan negara. Pemimpin tersebut hendaklah mempunyai latar belakang yang berkaitan dengan portfolio yang dipegang serta mempunyai imej, iltizam dan wawasan yang jelas untuk dicapai. Pemimpin yang berkhidmat untuk rakyat adalah pemimpin yang memastikan kesejahteraan penduduk terjamin dan masyarakat berasa selamat untuk menikmati kehidupan di tanah air ini. Selain itu, individu yang bertanggungjawab untuk mengemudi barisan pertahanan negara juga wajar bertrampilan tinggi dan pandai untuk menjaga hubungan dengan negara asing di mana hubungan multilateral yang sihat akan menjamin keselamatan dan ekonomi negara dalam tahap yang baik.
Penutup
Konklusinya, rakyat memainkan peranan yang mustahak dalam memastikan keselamatan negara terjamin daripada ancaman-ancaman yang mendatang. Pihak berkuasa dan masyarakat hari ini perlu sedar ancaman yang mampu mengancam keselamatan negara bukan sahaja datang dari segi peperangan sahaja malahan serangan siber dan penularan wabak penyakit berjangkit juga berpotensi melumpuhkan keselamatan sesebuah negara. Oleh itu, kerjasama multilateral dengan pelbagai negara harus dijalankan sepanjang masa bagi memastikan negara kita tidak ketinggalan daripada langkah keselamatan untuk masa akan datang. Sebagai rakyat, kita harus sentiasa cakna dan melaksanakan tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan negara sentiasa berada di tahap terbaik supaya anak dan cucu kita dapat menjalani kehidupan yang sejahtera dan aman seperti di zaman kita sekarang.