Karangan
Punca Berlakunya Jerebu dan Kesan Kepada Persekitaran
Beberapa tahun sebelum ini, fenomena pencemaran udara melanda beberapa kawasan di negara kita. Pelbagai punca dan akibat boleh disenaraikan kesan daripada berlaku pencemaran udara. Rakyat dan pihak berkuasa mula cakna akan isu ini dan mengambil langkah tertentu bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku dan cara menghadapinya kelak. Maka berikut adalah contoh karangan punca-punca berlakunya jerebu dan kesan-kesannya untuk rujukan pelajar.
Kesempatan ini digunakan oleh sekolah atau guru dalam memberikan latihan atau soalan kepada para pelajar kerana isu ini menjadi topik utama yang dibincangkan. Para pelajar boleh merujuk contoh dan isi-isi penting di bawah. Kemudian pelajar hendaklah menggunakan daya pemikiran kreatif dan kritis untuk menghuraikan penulisan karangan masing-masing supaya mendapat markah yang cemerlang.
Isi Kandungan
Punca Berlakunya Jerebu, Kesan Jerebu Dan Langkah Mengatasi Jerebu
Isi-isi penting
- pembakaran hutan secara besar-besaran
- pembakaran terbuka tanpa kawalan
- perkembangan perindustrian dan jumlah kenderaan yang menambah jumlah karbon
- masalah kesihatan
- menjejaskan perniagaan kecil
- persekolahan ditutup dan ditangguh
Baca juga: Kelebihan Menggunakan Pengangkutan Awam
Contoh Karangan Punca-punca Berlaku Jerebu dan Kesan-kesannya
Pendahuluan
Kebelakangan ini, negara kita sering dilanda jerebu saban tahun kerana puncanya daripada negara jiran dan juga negara kita sendiri. Jerebu adalah fenomena pencemaran udara yang berlaku akibat debu pembakaran atau karbon yang tidak dapat dimusnahkan dan menjejaskan kualiti udara sesebuah kawasan. Keindahan langit biru yang menampakkan bangunan-bangunan di bandaraya akan hilang dan matahari menjadi kemerah-merahan membuatkan suasana suram dan ketakutan dalam kalangan rakyat. Jadi, persoalannya adalah apakah punca-punca berlakunya jerebu dan apakah kesan kepada kita?
Isi 1
Punca utama kejadian jerebu yang merentas sempadan negara ini adalah akibat daripada pembakaran hutan secara besar-besaran. Ketamakkan dalam melaksanakan tugas dengan menggunakan kos yang minima untuk membersihkan hutan untuk aktiviti perladangan telah menyebabkan kaedah pembakaran hutan digunakan. Syarikat atau mereka yang ingin berusaha membangunkan kawasan perladangan seharusnya memikirkan akibat jika mereka membakar hutan. Pasti ada kaedah lain supaya perladangan dapat dijalankan disamping ekosistem dan habitat flora dan fauna di kawasan tersebut dipelihara. Pihak kerajaan juga seharusnya memperkasa penguatkuasaan dalam memastikan tiada pembakaran hutan secara besar-besaran akan berlaku.
Isi 2
Selain itu, jerebu ini juga berpunca daripada pembakaran terbuka yang tidak terkawal. Sebagai contoh, faktor cuaca yang kering dan panas boleh memulakan pembakaran kecil di kawasan semak atau hutan yang kemudian merebak dan kebakaran hutan yang besar terjadi. Jadi, sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita sewajarnya melaporkan sekiranya ternampak pembakaran di hutan atau kawasan terbiar agar pihak bomba dapat mengawal pembakaran tersebut sebelum ia merebak dengan lebih besar. Tambahan pula, pembakaran terbuka di kebun atau padang sekolah contohnya hendaklah dikurangkan kerana ia juga menyumbang kepada pencemaran udara. Sebaliknya, tukang kebun boleh menggunakan sisa daun dan pokok sebagai kompos untuk membaja tanaman yang dijaga.
Isi 3
Antara kesan utama fenomena jerebu ini adalah kesihatan seseorang akan terjejas jika terdedah kepada kualiti udara yang teruk. Individu yang mempunyai lelah atau asma akan mudah sensitif kepada jerebu dan melemahkan mereka. Maka, mereka terpaksa bercuti dan pekerjaan atau aktiviti mereka akan tergendala. Begitu juga dengan kanak-kanak di mana ketahanan diri mereka masih dalam fasa perkembangan jika dibandingkan dengan orang dewasa. Jadi, bahaya untuk kanak-kanak didedahkan dalam keadaan udara yang tidak baik supaya mereka tidak terkena penyakit yang berkaitan dengan pernafasan dan sebagainya. Mencegah lebih baik daripada merawat di mana pencegahan masalah kesihatan diperingkat awal akan menguntungkan kita kerana merawat masalah kesihatan menelan kos yang banyak dan kesakitan yang menguji kestabilan spiritual dan fizikal.
Isi 4
Kesan lain akibat daripada fenomena jerebu adalah perniagaan kecil dan sederhana akan terjejas. Peniaga-peniaga pisang goreng, keropok lekor dan minuman manis yang menjadi kegemaran rakyat kita di waktu petang akan sukar untuk berniaga kerana cuaca yang tidak baik. Pelanggan mereka akan beralih kepada kedai makanan segera atau kedai di dalam pusat membeli belah kerana ianya tertutup dan bebas daripada pencemaran udara. Peniaga kecil ini selalunya berniaga di tepi jalan kerana ia memudahkan kita untuk membeli dan mendapat makanan dengan harga yang murah. Fenomena jerebu ini akan merugikan peniaga-peniaga kecil ini yang mungkin merupakan periuk nasi mereka dalam menjalani kehidupan di kotaraya yang penuh cabaran dan dugaan.
Penutup
Natijahnya, pelbagai punca yang mengakibatkan kejadian jerebu berlaku di negara kita dan kesan-kesan yang diperoleh daripada kejadian jerebu. Semua pihak hendaklah menyusun langkah holistik dengan tegas dan berkesan dalam menangani masalah ini yang kian menjadi-jadi setiap tahun. Kemampanan fikiran golongan pemimpin diperlukan agar penyelesaian dalam masalah berkaitan alam sekitar dan pencemaran ini dapat diurus dan memberi faedah bukan keburukan kepada rakyat dan negara. Bak kata peribahasa Melayu, Gajah berjuang sama gajah, pelanduk yang mati ditengah-tengah yang bermaksud orang atasan hendaklah menggembleng tenaga dan bukannya bertelagah dalam mencari penyelesaian agar rakyat dibawah tidak menerima kesannya yang membawa kepada perkara yang negatif. Semoga langkah memelihara kekayaan alam semula jadi kita dapat dilaksana di samping mengejar perkembangan ekonomi sejagat.