Karangan

Kebaikan Dan Faedah Menggunakan Laman Sosial

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Perkembangan teknologi semasa adalah topik yang boleh diketengahkan oleh guru atau sekolah dalam soalan berkaitan penulisan karangan. Pelbagai jenis soalan boleh ditujukan kepada para pelajar maka pelajar seharusnya bersedia dengan baik dalam mengetahui perkembangan teknologi semasa supaya dapat menjawab soalan yang diberikan dengan baik dan cemerlang. Berikut adalah isi-isi penting dan contoh karangan dalam faefdah-faedah menggunakan laman sosial.

Isi-isi dan huraian di bawah boleh dijadikan panduan buat para pelajar dalam mencari ilham untuk menulis karangan anda. Latihan dan bimbingan daripada guru adalah penting agar penulisan karangan pelajar-pelajar mengikut tahap yang dikehendaki dan difahami oleh guru terutamanya. Penanda wacana, peribahasa Melayu dan frasa-frasa menarik digalakkan dalam penulisan karangan pelajar agar dapat menarik perhatian pembaca atau penanda kertas.

Baca juga: Kesalahan Lazim Dalam Karangan Bahasa Melayu

Faedah-Faedah Menggunakan Laman Media Sosial

peta minda faedah menggunakan media sosial

Isi-isi penting

  • menambah kenalan baru
  • menambah pengetahuan dan maklumat semasa
  • medium pengiklanan produk
  • perkongsian hobi
  • menjana pendapatan
  • meningkatkan kemahiran ICT

Contoh Karangan Faedah-Faedah Menggunakan Laman Media Sosial

Pendahuluan

Pada era globalisasi ini, kemajuan teknologi yang merentas masa dan jarak yang dahulunya mustahil tetapi kini tidak lagi telah mewujudkan pelbagai teknologi yang berkait rapat dengan kehidupan kita. Antaranya adalah laman media sosial di mana kita boleh bersosial atau berhubung dengan seseorang dengan hanya menggunakan teknologi seperti telefon pintar dan jalur lebar pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Corak perhubungan manusia sudah tiada penghalang kerana kita mampu menghubungi secara “real time” atau bermaksud masa sebenar hasil daripada kemajuan aplikasi yang dibangunkan bagi memudahkan komunikasi dan perhubungan antara manusia. Pewujudan aplikasi-aplikasi sosial media ini telah memberi pelbagai faedah kepada pengguna-penggunanya.

Isi 1

Faedah utama menggunakan laman sosial adalah kita dapat berhubung dengan kenalan kita dan juga mendapat kenalan baru. Laman sosial seperti Facebook telah memberikan satu dimensi baru dalam bersosial antara manusia di mana kita boleh berkawan dengan rakan kita dan boleh berkongsi apa yang kita merasakan sesuai seperti gambar ketika di hari raya. Ia boleh menjadi tempat di mana satu hari atau detik istimewa dalam hidup kita untuk dikongsikan di laman sosial dan boleh disimpan serta dilihat semula kelak sebagai memori kita. Panggilan video melalui aplikasi seperti Whatsapp juga telah membolehkan kita berinteraksi secara bersemuka dengan kenalan kita tidak kira di mana kita berada selagi kita mempunyai sambungan jalur lebar. Oleh itu, laman sosial telah memudahkan cara komunikasi antara kita tidak kira ahli keluarga, rakan-rakan sekolah atau rakan sekerja kita.

Isi 2

Selain itu, laman sosial amat berfaedah kepada kita kerana ia mampu menambah pengetahuan kita dari segi pelbagai perkara. Pengguna dapat bertukar pandangan, cadangan dan berkongsi ilmu baru melalui rangkaian alam maya ini. Agensi wartawan atau berita juga telah menggunakan laman sosial di mana berita-berita terkini atau isu terkini dapat disampaikan secara terus tanpa menunggu siaran berita di televisyen. Tambahan pula, perkongsian ilmu di laman sosial tidak terhad kepada penulisan sahaja, pendekatan seperti video telah menjadikan laman sosial lebih interaktif dan bermanfaat kepada kita. Laut ditimba tak akan kering, begitulah perumpamaan peribahasa Melayu di mana pengajian ilmu pengetahuan itu tidak akan habis selagi hayat dikandung badan.

Isi 3

Laman sosial juga telah memberikan dimensi baru dalam bidang perniagaan di mana promosi dan produk dapat diketengahkan kepada golongan sasaran menggunakan kos yang lebih rendah dan mudah. Jika dahulu kos pengiklanan di televisyen atau papan tanda di jalan raya boleh mencecah ribuan ringgit tetapi kemudahan teknologi hari ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya pengusaha-pengusaha dalam menguasai cara atau ilmu mempromosi produk menggunakan laman sosial. Pengusaha hendaklah kreatif dalam menyampaikan imej produk mereka dan boleh berkongsi testimoni-testimoni daripada pelanggan terdahulu tentang produk anda sebagai strategi mempromosi produk di laman sosial media.

Isi 4

Melalui laman media sosial juga, kita boleh mencari kenalan baru yang berkongsi hobi atau minat yang sama. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyertai kumpulan atau aktiviti seperti berbasikal yang dianjurkan oleh kelab atau persendirian di laman sosial media. Mereka boleh mengikuti perkembangan anak-anak mereka yang berbasikal dengan perkongsian gambar atau video oleh penganjur kelab tersebut di mana ibu bapa akan menjadi lebih tenang dalam memastikan anak-anak mereka meluangkan masa dalam perkara yang bermanfaat. Sekiranya minat anak-anak dalam hobi yang sihat menjadi semakin berkembang maka ibu bapa wajar menyokong dan menggunakan platform media sosial ini untuk berkongsi bakat mereka kerana ia mampu menjana pendapatan sampingan atau menarik minat penaja.

Penutup

Kesimpulannya, penggunaan laman media sosial dengan bijak mampu memberikan faedah yang berganda kepada kehidupan kita. Penerapan etika yang baik dan mempelajari pendekatan interaktif dalam aplikasi-aplikasi media sosial adalah perkara utama dalam memanfaatkan laman media sosial. Maka, setiap pihak terutamanya ibu bapa hendaklah bersama-sama celik ilmu dalam menggunakan laman sosial media agar anak-anak juga memanfaatkan penggunaannya dengan sebaik mungkin. Seperti peribahasa Melayu, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi yang membawa maksud jika ibu bapa menunujukkan teladan baik maka baiklah perangai anak-anak mereka jika sebaliknya maka buruklah akibatnya. Marialah kita bersama-sama mengatur langkah menjadi rakyat yang bijak dalam menggunakan teknologi agar dapat melahirkan negara yang berdaya saing dan kompetitif dalam era kemajuan globalisasi ini.