Karangan
Langkah-langkah Meningkatkan Hasil Pertanian Negara
Panduan buat pelajar-pelajar yang bakal mengambil kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khusus untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Adakah anda mencari contoh penulisan karangan Bahasa Melayu? Sekiranya ya, berikut dikongsikan contoh karangan Langkah-Langkah Meningkatkan Hasil Pertanian Negara sebagai rujukan untuk pelajar.
Tajuk soalan yang terperinci seperti dibawah memerlukan pelajar memberikan isi-isi penting yang betul. Selain itu, huraian dalam penulisan karangan pelajar juga hendaklah menepati isi dan kehendak soalan. Jika anda mempunyai idea yang sesuai dan isi penting yang berkaitan, anda digalakkan untuk memberikan fakta dan statistik yang tepat berkaitan penulisan karangan anda. Kaedah ini memberikan keyakinan kepada pembaca dan mampu menjadikan penulisan karangan Bahasa Melayu pelajar cemerlang dan mendapat markah yang baik.
Isi Kandungan
Langkah-Langkah Untuk Meningkatkan Pengeluaran Hasil Pertanian Negara
Isi-isi penting
- Menghubungkan penyelidikan dengan penghasilan pertanian
- Meningkatkan kemudahan logistik
- Merangka strategi pemasaran terbaik
- Meningkatkan kadar kebergantungan negara terhadap hasil tempatan
- Memperkasa agensi kerajaan dan lembaga pertanian
- Menggunakan teknologi terkini
Baca juga: Peranan Ibu Bapa Untuk Menggalakkan Pembelian Barangan Tempatan
Contoh Karangan Langkah-Langkah Meningkatkan Hasil Pertanian Negara
Pendahuluan
Industri pertanian di Malaysia menyumbangkan lebih dua belas peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada hari ini. Pada peringkat dunia pula lebih enam puluh peratus daripada jumlah penduduk dunia bergantung kepada hasil pertanian yang menggerakkan ekonomi dunia secara amnya. Namun, masyarakat kita masih mempunyai stigma bahawa pertanian adalah industri yang kecil dan golongan petani terdiri daripada golongan yang miskin dan duduk di luar bandar. Marcapada ini, masyarakat konvensional perlu meluaskan horizon pemikiran supaya kemajuan dapat dijalankan dan kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sektor pertanian di negara kita yang merangkumi perladangan, penternakan dan penanaman secara besar dan kecil mempunyai potensi yang meyakinkan sekiranya hasil yang dituai menepati standard tertentu. Maka, apakah langkah-langkah yang harus disusun bagi memastikan mutu penghasilan pertanian negara berada di tahap terbaik?
Isi 1
Prakarsa utama dalam meningkatkan hasil pertanian negara adalah dengan menghubungkan institusi penyelidikan dengan pemain-pemain industri pertanian dalam negara. Kerajaan telah pun menubuhkan pelbagai agensi-agensi kerajaan untuk menguruskan industri pertanian di negara kita. Sebagai contoh Jabatan Pertanian ditubuhkan untuk menguruskan program-program pertanian manakala FAMA menguruskan hal ehwal pemasaran hasil pertanian dan MARDI menjalankan penyelidikan khusus pada pertanian negara. Tetapi kita tidak dapat melihat secara kasar sinergi antara agensi-agensi ini dalam meningkatkan hasil pertanian negara. Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan perlu bertindak lebih proaktif dengan mencari mekanisme yang simbiosis antara agensi yang terlibat dalam memastikan hasil pertanian negara ditingkatkan. Tambahan pula, kewujudan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lazimnya menjalankan penyelidikan sewajarnya dihubungkan dengan petani-petani tempatan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi terutamanya dari sudut kualiti pertanian yang disemai. Intihannya, kerjasama yang jitu akan membuahkan hasil yang lebih baik berbanding usaha yang dilaksanakan secara bersendirian.
Isi 2
Di samping itu, hasil pertanian negara dapat ditingkatkan dengan menambah baik kemudahan logistik di bawah rangkaian pemasaran dan penghasilan produk pertanian. Kualiti hasil pertanian dapat dikekalkan sekiranya proses daripada ladang ke pasaraya dititik berat dengan menggunakan kaedah terbaik. Sebagai contoh, kebanyakan ladang di Malaysia masih tidak mempunyai bilik sejuk beku yang mampu mengekalkan kualiti kesegaran sayur-sayuran dan buah-buahan setelah dituai sementara menunggu pemborong tiba. Seterusnya pemborong dan peruncit pula menggunakan pengangkutan yang kurang sesuai seperti lori dan van yang tiada ruangan sejuk beku. Apabila tiba di pasaraya dan dipamerkan kepada pengguna, tahap kualiti produk tersebut telah pun berkurangan seterusnya menyebabkan harga jatuh dan tidak diminati oleh pengguna. Oleh itu, kawalan kualiti terhadap produk pertanian secara menyeluruh dari ladang sehingga ke pengguna perlu diperkasa agar produk tempatan kita mampu memecah pasaran global suatu hari nanti. Kita boleh lihat negara jiran kita iaitu Thailand di mana petani tempatan mereka bekerjasama dengan jurutera tempatan untuk menghasilkan bilik sejuk beku menggunakan kos yang berpatutan pada saiz yang sesuai dengan kuantiti pengeluaran sesebuah ladang di sana. Peribahasa Melayu berkata, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Tindakan yang diambil hari ini walaupun memberi impak yang kecil pasti akan membuahkan hasil yang berbaloi di masa akan datang.
Isi 3
Setelah memastikan ekosistem pertanian daripada penanaman sehingga penuaian berada pada kualiti yang terbaik, langkah seterusnya adalah untuk merangka strategi pemasaran yang unggul. Penganjuran Malaysian Agriculture, Horticultur & Agrotourism (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) merupakan langkah yang baik dan wajar dilaksanakan dari tahun ke tahun. Hal ini demikian kerana ia merupakan satu medan bagi usahawan-usahawan tani tempatan untuk memasarkan produk mereka dan mendapat sambutan yang baik daripada seluruh rakyat Malaysia. Bahkan penganjuran karnival tersebut dilakukan selama dua minggu bagi memberi peluang seluruh rakyat di Malaysia untuk berkunjung dan membeli produk-produk tempatan. Jika produk yang berasaskan pertanian yang dihasilkan oleh tenaga tempatan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan rakyat tempatan, tidak mustahil untuk ia memecah pasaran global dengan panduan dan bimbingan oleh agensi kerajaan yang berkaitan. Di sini, pihak berkuasa juga seharusnya memainkan peranan dengan memberikan pengiktirafan seperti yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian yang memperkenalkan sijil MyGAP dan sijil myOrganic. Pengiktirafan ini merupakan standard yang menjamin hasil pertanian tersebut melepasi piawaian yang tinggi dan berkualiti untuk dipasarkan secara tempatan dan global.
Isi 4
Pada masa yang sama, hasil pertanian negara dapat ditingkatkan dengan meningkatkan tahap kebergantungan bekalan makanan negara terhadap hasil tempatan. Untuk makluman semua, bekalan makanan rakyat Malaysia secara keseluruhan masih bergantung pada produk import dan peratusannya adalah tinggi dan membimbangkan. Sekiranya berlaku sesuatu bencana atau pandemik yang menyebabkan aktiviti import tidak boleh dilaksanakan, negara kita tidak mampu untuk menampung bekalan makanan secara sendirian. Oleh itu, jika kerajaan kita berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdikari dalam bekalan makanan, ia perlu dilaksanakan dengan meningkatkan industri pertanian negara. Hasrat ini boleh dicapai apabila kita sebagai rakyat Malaysia membeli barangan tempatan dan hasil keuntungan yang diperoleh petani digunakan untuk menambah baik kualiti dan kuantiti pengeluaran mereka dengan bimbingan yang betul dan menyeluruh daripada agensi kerajaan. Kemudahan teknologi dalam industri pertanian juga menjadi pendorong kepada hasrat ini dimana sayur-sayuran boleh tumbuh tanpa tanah dan ikan boleh diternak tanpa air sungai ataupun air laut.
Penutup
Konklusinya, pelbagai langkah yang boleh digarap oleh setiap pihak jika ingin meningkatkan hasil pertanian negara. Pada hemah saya, industri pertanian di negara ini mempunyai potensi yang besar untuk ditambah baik dan dimanfaatkan sendiri oleh penduduk negara ini. Kekayaan sumber semula jadi seperti bekalan air, tanah tinggi dan tanah landai seharusnya menjadi kelebihan yang digunakan oleh kita dengan sebaiknya untuk mengusahakan pertanian yang berkualiti tinggi. Inisiatif ini boleh dijayakan sekiranya pengurusannya dilaksanakan dengan penuh hemah, telus dan menerima cadangan serta kritikan daripada pihak-pihak yang terbabit. Persepsi masyarakat juga harus diubah kerana bidang pertanian sebenarnya sangat menguntungkan. Bak kata pujangga Aminuddin Baki, ayam dikepuk mati kelaparan,itik di air mati kehausan. Kiasan tersebut boleh didefinisikan bahawa apa-apa bidang sekalipun jika tidak diusahakan dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak akan dapat mengubah hidup kita dan mendapat manfaat daripadanya.