Karangan

Faedah Dan Kebaikan Buah-Buahan Tempatan

Sebagai pelajar, tahukah anda bahawa penulisan karangan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu mempunyai pelbagai tema dan tajuk soalan? Sekiranya tidak, anda seharusnya memulakan inisiatif untuk melakukan latihan tambahan secara kendiri atau membaca contoh-contoh karangan secara atas talian. Di bawah dikongsikan contoh karangan kelebihan dan kebaikan buah-buahan tempatan sebagai rujukan buat para pelajar.

Bagi tajuk penulisan karangan berkaitan buah-buahan tempatan, pelajar pasti dapat memberikan isi-isi penting yang bernas dan huraian yang menarik. Hal ini disebabkan kerana ia melibatkan situasi yang berlaku disekeliling pelajar, misalnya pelajar gemar memakan buah-buahan tempatan seperti buah durian, rambutan dan sebagainya. Maka berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang ada, pelajar mampu menjawab soalan berkaitan dan menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang.

peta minda kelebihan dan kebaikan buah buahan tempatan Faedah Dan Kebaikan Buah-Buahan Tempatan

Faedah Makan Buah-Buahan Tempatan

Isi-isi penting

  • Berkhasiat dan berkualiti tinggi
  • Harga yang berpatutan
  • Membantu pertumbuhan ekonomi
  • Keselamatan makanan terjamin
  • Mengurangkan kadar perlepasan karbon
  • Membuka pasaran produk berasaskan buah-buahan tempatan

Baca juga: Koleksi Peribahasa Dan Simpulan Bahasa Serta Maksud

Contoh Karangan Kelebihan Dan Kebaikan Buah-Buahan Tempatan

Pendahuluan

Sebagai warganegara Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana dikurniakan dengan pelbagai hasil sumber alam yang boleh dinikmati. Kesuburan kawasan tanah-tanih dan sumber perairan yang mencukupi telah memberikan kita pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang sedap lagi menyelerakan. Menjelang musim buah-buahan tempatan, seluruh rakyat Malaysia pasti akan berasa gembira dan memenuhi ruangan pasaraya atau warung yang menjual buah-buahan tersebut. Selain buah durian dan rambutan, kemunculan buah harum manis daripada negeri Perlis semakin mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan. Kita dapat lihat bahawa buah-buahan tempatan sebenarnya digemari oleh penduduk setempat berbanding buah-buahan import. Persis peribahasa Melayu,  hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Persoalannya, apakah kelebihan dan kebaikan buah-buahan tempatan kepada kita sebagai konsumer utama komiditi tersebut?

Isi 1

Antara kebaikan yang akan diperoleh sekiranya kita membeli buah-buahan tempatan adalah dapatan khasiat dan kualiti terbaik daripada buah tersebut. Seperti sedia maklum, buah-buahan tempatan ditanam, tumbuh dan dituai secara lokal. Makanya, ia mudah untuk didapati dan dapat dimakan secara segar dari ladang-ladang petani. Jika dibandingkan dengan buah-buahan dari negara luar, faktor logistik yang memakan masa yang lama menjejaskan kualiti dan kondisi buah tersebut. Kita sebagai pengguna akan kerugian kerana kandungan vitamin dan nutrien dalam buah terbabit sudah berkurangan dan tidak memberikan manfaat. Sebagai contoh, buah betik yang digelar sebagai “buah bidadari” merupakan buah-buahan iklim tropika yang mengandungi vitamin A, C, E dan K. Selain itu, buah ini juga mengandungi ciri-ciri antioksidan yang baik untuk tubuh badan kita serta bagus untuk kesihatan kulit dan rambut. Berdasarkan kajian saintifik, enzim yang terkandung dalam buah betik mampu menghilangkan tanda-tanda penuaan, mengurangkan jerawat, meransang pertumbuhan dan kekuatan rambut. Terbuktilah bahawa buah-buahan tempatan juga mempunyai kualiti dan khasiat yang tinggi, bak kata pepatah diam-diam ubi berisi.

Isi 2

Di samping itu, buah-buahan tempatan mempunyai kelebihan berbanding buah-buahan import kerana harganya yang berpatutan. Buah-buahan import lazimnya dijual pada harga yang agak mahal disebabkan kos logistik yang perlu ditampung oleh pembekal. Kos ini termasuk kos tuaian, kos pembungkusan dan kos penghantaran. Tetapi, buah-buahan tempatan tidak memerlukan kos logistik yang banyak kerana bekalan boleh didapati secara dekat dan pasaraya sudah mempunyai ruangan khas bagi buah-buahan tempatan. Golongan usahawan tani dan peniaga juga lazimnya akan menjual secara terus dari ladang kerana masyarakat gemar untuk mendapat buah-buahan yang segar dan mudah didapati. Secara tidak langsung, harga akan menjadi lebih murah dan pembeli dapat menikmati buah yang segar dan berkualiti tanpa perlu berbelanja lebih. Kesannya, masyarakat konvensional akan memilih buah-buahan tempatan berbanding import kerana mendapat harga yang murah serta kesegaran dan kualiti yang terbaik.

Isi 3

Pada masa yang sama, kebaikan buah-buahan tempatan adalah ia dapat membantu pertumbuhan ekonomi domestik. Hal ini demikian kerana kadar kebergantungan bekalan makanan negara secara amnya mempunyai peratusan yang banyak terhadap bekalan import. Andainya berlaku bencana atau pandemik dunia di mana aktiviti import dan eksport terpaksa dihentikan, bekalan makanan negara akan berkurangan. Justeru, bagi mencapai satu tahap keberdikarian bekalan makanan dalam negara, pemerkasaan bidang pertanian dan pembuatan makanan perlulah dilaksanakan. Oleh itu, kita hendaklah menyokong segala usaha meningkatkan bekalan makanan dengan mewujudkan permintaan yang banyak. Bak kata pepatah, di mana ada gula, di situ ada semut. Tamsilnya, membeli buah-buahan tempatan dapat membantu perkembangan usahawan tempatan dan melonjak produk keluaran tempatan. Mutakhir ini, buah yang dikenali sebagai raja segala buah semakin mendapat permintaan daripada negara luar. Izharnya, buah-buahan yang dahulunya menjadi hidangan setempat kini sudah mempunyai nilai komersial dan berpotensi besar dalam pasaran antarabangsa.

Isi 4

Akhir sekali, kelebihan yang ada pada buah-buahan tempatan adalah keselamatannya yang terjamin. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu-menahu bahawa terdapat penggunaan bahan kimia seperti natrium yang diaplikasikan kepada buah-buahan import. Hal ini demikian kerana ia adalah bahan kimia yang dapat membantu mengekalkan kualiti buah-buahan yang terpaksa disimpan lama sebelum sampai ke ruangan jualan di pasaraya dan kedai. Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa orang yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan bahan kimia secara berlebihan dan tidak menepati piawai yang ditetapkan bagi mendapatkan keuntungan semata-mata. Akibatnya, pengguna akan mendapat kesan dari segi kesihatan sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Masyarakat kita mungkin tidak lagi mempunyai kesedaran akan kepentingan keselamatan makanan tetapi pihak berkuasa seharusnya bersikap proaktif dalam mengekang bahaya yang mengancam kesihatan rakyat. Intihannya, wajar untuk kita mengelakkan diri daripada risiko makanan yang tidak selamat dengan memilih produk atau buah-buahan tempatan kerana ingat antara belum kena, hemat antara belum habis.

Penutup

Konklusinya, pelbagai kelebihan dan kebaikan buah-buahan tempatan yang akan diperoleh sekiranya kita kekal membeli dan mencipta permintaan yang tinggi. Masyarakat kita masih mumpunyai stigma bahawa produk keluaran negara luar mempunyai kualiti dan khasiat yang lebih tinggi berbanding produk keluaran tempatan. Sebagai generasi muda, kita seharusnya mengubah pemikiran tersebut dan bersikap lebih terbuka dan seterusnya menyahut cabaran dalam membuktikan kebolehan usahawan tempatan. Semoga pihak berkenaan sedar akan potensi buah-buahan tempatan serta mencari mekanisma terbaik dalam mengembangkan jumlah permintaan serta menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk petani dalam membekal permintaan yang semakin bertambah. Peribahasa Melayu berkata, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Berbekalkan ilmu dan usaha untuk memajukan industri tani tempatan kita pasti dapat merencana sesuatu yang terbaik demi pembangunan negara dan kesejahteraan hidup masyarakat setempat.

Related search : assalamualaikum dan salam sejahtera harga buah buahan tempatan buah buahan yang diimport baik untuk kesihatan harga buah tempatan juga mudah didapati terutama pada musim buahan tempatan juga mudah luar negara bahan pengawet mengandungi khasiat tuan pengerusi majlis harga buah tempatan juga mudah didapati terutama pada musim buah buahan