Karangan

Langkah Melaksanakan Pembangunan Secara Lestari

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Soalan atau tajuk pilihan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu sering kali berkait dengan masyarakat atau negara. Kepekaan para pelajar terhadap polemik di sekeliling mereka akan diuji di samping pemikiran kreatif dan kritis diperlukan dalam mengarang penulisan yang terbaik. Maka, berikut adalah contoh karangan berkenaan langkah-langkah pembangunan secara lestari .

Tajuk soalan di bawah menyentuh kesedaran pelajar-pelajar tentang kepentingan alam sekitar dan kepentingan pembangunan ekonomi negara. Untuk makluman pelajar, penulisan yang baik adalah penulisan yang seimbang dari segi isi tiada kesalahan tatabahasa dan terdapat frasa yang menarik yang mampu menarik minat penanda atau pembaca. Latihan dan rujukan tambahan diperlukan agar mendapat rentak penulisan yang baik dan menepati soalan.

Cara-Cara Melaksanakan Pembangunan Yang Lestari

peta minda langkah pembangunan lestari

Isi-isi penting

  • Melaksana dasar polisi yang mendokong pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar
  • Memperkasa penguatkuasaan undang-undang
  • Menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui
  • Memperkenalkan pendidikan alam sekitar
  • Mewartakan Taman Negara
  • Menyemarakkan ekopelancongan

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Sertaa Maksudnya

Contoh Karangan Langkah-Langkah Pembangunan Secara Lestari

Pendahuluan

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah melahirkan pembangunan yang mengabaikan kelestarian alam sekitar. Dalam mengejar kemodenan negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk, kegiatan ekonomi dan projek-projek pembangunan sesebuah negara sering mengabaikan masalah-masalah alam sekitar yang timbul akibat pelaksanaan aktiviti ekonomi. Berlaku kemerosotan kualiti air dan udara, peningkatan bencana alam dan wabak penyakit disebabkan pencemaran alam sekitar. Demi mengurangkan kesan-kesan negatif pembangunan ke atas alam sekitar, setiap aktiviti ekonomi dan pembangunan mestilah diseimbangkan dengan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam. Justeru, Kita akan membincangkan konsep pembangunan lestari bagi mewujudkan suasana kemajuan yang seimbang dan mapan.

Isi 1

Pihak kerajaan selaku badan pelaksana utama negara hendaklah melaksana dasar polisi yang mendokong pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam pembangunan. Deklarasi Langkawi dan Agenda 21 di Sidang Kemuncak Bumi Rio De Janeiro telah dilangsungkan hampir berdekad lalu tetapi tiada pelaksanaan secara menyeluruh daripada semua pihak. Maka, kerajaan kita seharusnya mengambil anjakan paradigma dalam merangka undang-undang yang memastikan alam sekitar kita terjaga. Misalnya, pengharaman penggunaan polystyrene dan plastik akan mengurangkan sisa sampah dan juga menyelamatkan alam sekitar di mana ia memakan masa bertahun untuk terurai dan mengancam hidupan laut yang sering menjadi mangsa. Pembangunan residensi atau pusat membeli belah pula sepatutnya membangunkan kawasan rekreasi di mana penduduk dapat menikmati keindahan alam sekitar disamping beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat. Natijahnya, kerajaan berperanan penting dalam menggubal dasar pembangunan supaya ia dirancang dan dilaksanakan secara lestari.

Isi 2

Pada waktu yang sama, penguatkuasaan undang-undang haruslah diperkasakan dengan kerjasama pegawai-pegawai kerajaan yang amanah dan komited dengan tugas masing-masing. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah seperti melepaskan batuk di tangga akan merencatkan usaha kita dalam mencapai pembangunan lestari. Hal ini kerana terdapat individu yang menawarkan rasuah sebagai jalan penyelesaian mereka untuk lari daripada tindakan undang-undang. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit yang mencemarkan dan memusnahkan alam dengan menarik lesen perusahaan dan mengharamkan mereka daripada aktiviti ekonomi yang berkaitan. Amalan korupsi ini merupakan satu penyakit yang boleh menjatuhkan sesebuah masyarakat ke landasan yang buruk dan tidak menguntungkan.  Maka, pihak kerajaan sewajarnya mengambil berat tentang kebajikan pegawai-pegawai kerajaan agar terhindar daripada korupsi dan amanah dalam memastikan undang-undang dikuatkuasa dengan menyeluruh.

Isi 3

Seterusnya, langkah yang boleh diambil dalam memastikan pembangunan lestari dalam negara adalah dengan memperkenal dan menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Antara sumber tenaga yang boleh diperbaharui adalah tenaga hidroelektrik, tenaga solar dan tenaga angin. Penggunaan tenaga seperti ini akan mengurangkan kadar pelepasan karbon yang menyumbang kepada penurunan kualiti udara dan pencemaran lain. Kontradiksi dengan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui dimana sumber akan habis di suatu masa dan meninggalkan kesan yang buruk terhadap alam sekitar. Pelepasan cukai atau pemberian subsidi kepada penggunaan teknologi berteraskan sumber tenaga yang boleh diperbaharui harus dilaksanakan sebagai langkah mendorong pembangunan yang tidak mencemarkan alam sekitar dan berpotensi cerah untuk masa hadapan.

Isi 4

Langkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang berkesan dapat dilaksanakan. Aktiviti seperti penanaman pokok di sekolah atau kawasan komuniti akan memberi impak kepada mereka. Penayangan akibat melakukan pembangunan secara rakus dan kemusnahan alam sekitar dalam bentuk video boleh menambah kefahaman mendalam tentang rasionalnya pembangunan secara lestari. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti kerana alah bisa tegal biasa. Langkah ini akan melahirkan generasi yang dapat menguruskan pembangunan negara yang lestari dan mapan. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mewujudkan pembangunan yang lestari.

Penutup

Tuntasnya, pelbagai langkah perlu diatur dan dilaksana dengan penuh dedikasi untuk mencapai pembangunan lestari yang bakal memberikan faedah secara simbiosis kepada manusia dan alam sekitar. Justeru itu, kita hendaklah meletakkan pengurusan alam sekitar dalam perspektif pembangunan kerana ia menjanjikan banyak kelebihan. Ia boleh ditempatkan sejajar dengan pembangunan bandar, industri dan pertanian. Negara perlu mengiktiraf pembangunan alam sekitar demi menyediakan perkhidmatan ekologi, memulihara warisan dan penggunaan sumber asli secara lestari. Bagaimanapun, jika ada di kalangan kita, masih berfikiran tamak dan hanya mengaut kekayaan, alam sekitar bakal menjadi mangsa utama kerakusan manusia. Seterusnya, generasi masa hadapan tidak dapat menikmati pembangunan negara yang diselimuti  kehijauan alam semula jadi dan hidup dalam pencemaran yang memburukkan serta merbahaya.