Karangan

Kesan-Kesan Akibat Pemanasan Global Kepada Alam Sekitar

Perhatian kepada pelajar yang akan mengambil kertas peperiksaan yang melibatkan penulisan karangan Bahasa Melayu. Adakah anda mencari contoh karangan Bahasa Melayu untuk dijadikan rujukan? Sekiranya ya, berikut adalah contoh karangan kesan pemanasan global terhadap alam sekitar sebagai rujukan untuk semua. Contoh di bawah merangkumi pendahuluan, penutup dan isi-isi penting.

Karangan Bahasa Melayu yang bertemakan alam sekitar adalah sebagai medium penyampai kepada pelajar untuk sedar terhadap isu tersebut. Sebagai contoh, pelajar tidak pernah tahu kesan-kesan pemanasan global dan apabila diberikan latihan yang sebegini, secara langsung pelajar akan mencari isi-isi penting dan menambah pengetahuan am masing-masing.  Justeru, pelajar digalakkan untuk merujuk contoh-contoh karangan secara atas talian bagi meluaskan skop persediaan anda dalam menjawab penulisan karangan Bahasa Melayu.

peta minda kesan pemanasan global terhadap alam sekitar Kesan-Kesan Akibat Pemanasan Global Kepada Alam Sekitar

Kesan-Kesan Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar

Isi-isi penting 

  • Pencairan ais kutub, kenaikan paras laut
  • Pembakaran hutan
  • Kemarau
  • Perubahan iklim
  • Ekosistem terganggu

Baca juga: Cara Memelihara Kebersihan Sungai

Contoh Karangan Kesan Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar

Pendahuluan

Pemanasan global adalah peningkatan secara beransur-ansur dalam suhu keseluruhan atmosfera bumi. Fenomena ini berlaku disebabkan oleh kesan rumah hijau yang terjadi akibat peningkatan tahap karbon dioksida dan bahan pencemar lain yang dikenali sebagai gas rumah hijau. Pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya kejadian pemanasan global seperti perindustrian dan pembangunan. Ahli pemikir dan saintis telah melakukan kajian dan banyak alternatif yang telah dibentangkan bagi mengurangkan dan mengelakkan fenomena peningkatan suhu ini berterusan. Namun, perkara ini dipandang enteng oleh sesetengah pihak yang mengaut keuntungan atas angin dimana kepentingan kendiri lebih utama berbanding kepentingan manusia sejagat. Oleh itu, wajar untuk kita kupas, apakah kesan pemanasan global terhadap alam sekitar yang merupakan satu-satunya habitat kehidupan manusia.

Isi 1

Antara kesan yang dapat dilihat dengan mata kasar setiap individu adalah berlakunya pencairan ais di kedua-dua kutub, kutub utara dan kutub selatan. Kenaikan suhu dunia telah menyebabkan litupan salji dan glasier di kawasan-kawasan pergunungan mencair pada kadar yang drastik serta membimbangkan. Kejadian ini secara langsung mengakibatkan kenaikan paras air laut-laut dari tahun ke tahun. Sekiranya fenomena ini berterusan pelbagai kawasan yang kini menjadi habitat popular kawasan manusia akan ditenggelami. Saintis telah membuat ramalan bahawa bandar seperti New York di Amerika Syarikat dan Osaka di Jepun akan berdepan ancaman banjir akibat kenaikan paras laut. Hal ini demikian kerana kedudukan geografi mereka yang rendah dan terbuka kepada lautan yang besar akan mengakibatkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan juga pekerjaan mereka. Alam sekitar juga akan terjejas apabila kawasan pertanian yang menggunakan saliran air seperti sungai atau tasik berdekatan akan ditenggelami air.

Isi 2

Seterusnya, pemanasan global telah pun menyebabkan pembakaran terbuka berlaku di sesetengah tempat yang berisiko tinggi. Sebagai contoh kejadian di Australia pada Januari tahun 2020, apabila pembakaran hutan secara semula jadi membakar hampir keseluruhan kawasan hutan simpan yang merupakan habitat haiwan koala. Lebih 5000 ekor koala telah mati akibat kebakaran hutan yang berlaku dan ia merupakan sesuatu yang diluar kawalan kita sebagai manusia. Haiwan ini yang merupakan ikon kepada negara Australia hampir diancam kepupusan akibat kejadian pembakaran hutan tersebut. Intihannya, pemanasan global yang berterusan akan mengakibatkan habitat kehidupan terutamanya haiwan akan terancam dan pupus.

Isi 3

Pemanasan global juga akan menyebabkan berlakunya kemarau di kawasan-kawasan tertentu. Walaupun berlaku perubahan kecil pada suhu, taburan hujan dan sinaran matahari, fenomena ini boleh menyebabkan hasil pertanian terjejas teruk. Tamsilnya, tanah-tanah yang subur menjadi tandus dan tidak sesuai bagi aktiviti pertanian. Pokok-pokok tanaman juga tidak dapat hidup dengan subur seterusnya mengurangkan hasil pertanian sekaligus mengancam bekalan makanan dunia. Tambahan pula, kekeringan sumber air permukaan bumi atau kejadian kemarau menyebabkan proses sejatan tidak mempunyai wap-wap air untuk membentuk awan yang tebal bagi menurunkan hujan. Perubahan cuaca ini mengakibatkan kemarau panjang dan meningkatkan suhu bumi. Maka, kadar hujan berkurangan, udara menjadi kering dan persekitaran menjadi bertambah panas.

Isi 4

Kesan yang paling utama akibat pemanasan global adalah perubahan iklim dunia. Akibat daripada pemanasan yang berterusan, iklim akan berubah dan menghasilkan corak cuaca baru yang kekal untuk jangka masa yang lama. Misalnya, kejadian gelombang haba di kawasan Eropah telah terjadi dan mungkin akan menjadi cuaca yang kekal sekiranya tiada tindakan diambil untuk melawan perubahan iklim daripda terjadi. Ia juga akan mengakibatkan kejadian migrasi haiwan yang besar bagi mencari habitat baru untuk mereka meneruskan kehidupan. Taburan kawasan pertanian juga perlu dipindahkan bagi mendapatkan suhu atau iklim yang sesuai untuk melakukan pertanian. Perubahan iklim dunia bukan sahaja mengakibatkan ekosistem alam sekitar terjejas, ia juga memberikan kesan yang besar kepada manusia sejagat.

Penutup

Konklusinya, pelbagai kesan yang buruk akan dan telah pun berlaku terhadap alam sekitar akibat pemanasan global. Kejadian banjir besar dan kemarau panjang tidak boleg dijangka. Kesedaran ini perlu diperluaskan dan tindakan yang wajar wajib dilaksanakan pada saat yang getir ini. Aktiviti mengorek bahan api fosil yang menghasilkan gas karbon monoksida harus dikurangkan begitu juga aktiviti yang menghasilkan karbon monoksida. Golongan dewasa mungkin tidak memahami tetapi mereka perlu berubah dan menerima hakikat bahawa generasi muda akan datang yang akan memimpin dan memerlukan alam sekitar sebagai sumber untuk meneruskan kelansungan hidup. Pemimpin dunia seharusnya meluaskan horizon pemikiran dan melakukan anjakan paradigma bagi mencari mekanisme terbaik dalam menghalang pemanasan global daripada terus mengancam alam sekitar seantero dunia.

Related : peningkatan aras,