Karangan

Kesan Kemasukan Pendatang Asing Dan Cara Mengawalnya

Penulisan karangan Bahasa Melayu merupakan medan ujian penguasaan bahasa serta pengetahuan am pelajar berdasarkan soalan-soalan yang diberikan. Pelajar seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menulis karangan yang baik kerana Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Justeru, pelajar hanya memerlukan latihan tambahan bagi menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang. Berikut dikongsikan contoh karangan Kesan Kemasukan Pendatang Asing Dan Cara Mengawalnya untuk panduan semua.

Sebelum menjawab soalan yang diberikan, pelajar perlu memahami akan kehendak tajuk soalan karangan. Seperti contoh karangan di bawah, pelajar perlu menyatakan dua jenis isi iaitu isi berkaitan kesan dan isi berkaitan cara mengawalnya. Oleh itu, dengan latihan yang baik, pelajar pasti dapat membezakan isi yang dikehendaki serta memberikan penulisan karangan yang baik dan menarik untuk dibaca.

peta minda kesan pendatang asing Kesan Kemasukan Pendatang Asing Dan Cara Mengawalnya

Kesan-Kesan Kemasukan Pendatang Asing Di Negara Kita Dan Cara Mengawalnya

Isi-isi penting

  • Mengancam keselamatan, kesihatan dan sosial masyarakat
  • Menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan tersekat
  • Merugikan ekonomi negara kerana pengaliran wang keluar negara
  • Penguatkuasaan undang-undang
  • Mengehadkan kebergantungan kepada buruh asing
  • Memberi sokongan kepada syarikat yang menggunakan tenaga kerja tempatan

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksud

Contoh Karangan Kesan Kedatangan Pendatang Asing Di Malaysia Dan Cara Mengawalnya

Pendahuluan

Mutakhir ini, isu pendatang asing sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat akan kesan kemasukan mereka. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar yang membenarkan kemasukan pendatang asing untuk bekerja dalam sektor tertentu bagi menampung kerancakan pembangunan negara. Langkah tersebut adalah bagi menarik kehadiran pelabur asing untuk melabur dalam bidang perindustrian, perkilangan dan pembinaan di samping menyediakan tenaga kerja separa mahir pada kos yang menguntungkan. Disebabkan nilai mata wang negara yang lebih besar berbanding negara mereka, pekerja daripada Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja sanggup untuk bekerja di Malaysia yang menawarkan gaji yang lumayan. Namun begitu, kemasukan pendatang asing dilihat menjadi semakin tidak terkawal dan langkah-langkah pengawalan perlu dilakukan segara agar kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin.

Isi 1

Sejak dasar ini diperkenalkan, terdapat golongan yang menentang inisiatif ini kerana mereka berasa akan berlaku kesan yang negatif dalam jangka masa panjang terhadap negara. Kesannya adalah kemasukan pendatang asing akan mengancam keselamatan, kesihatan dan sosial masyarakat dalam negara. Pendatang asing yang tidak diawasi oleh majikan mereka bebas untuk bergerak dalam negara dan ia sedikit sebanyak telah menyebabkan kadar jenayah meningkat dalam negara. Kehadiran pendatang asing juga menimbulkan rasa kurang selesa diantara golongan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual di tempat-tempat awam seperti di dalam bas dan LRT. Selain itu, pendatang asing juga berpotensi membawa penyakit-penyakit berjangkit. Maka sekiranya kerajaan ingin meneruskan dasar ini, langkah kawalan harus diperketatkan agar kesejahteraan rakyat terjamin.

Isi 2

Selain itu, kemasukan pendatang asing menyebabkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan tersekat. Hal ini kerana, kos untuk menggaji pekerja asing adalah lebih murah berbanding pekerja tempatan. Implikasi ini menjejaskan pertumbuhan ekonomi tempatan di mana golongan muda atau pekerja separa mahir dalam negara ditindas hanya disebabkan syarikat-syarikat lebih gemar menggunakan pekerja asing berbanding pekerja tempatan. Hal ini amat tepat dengan peribahasa yang berbunyi, “kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan”. Kerajaan sepatutnya memikirkan dasar yang membantu mengurangkan kadar pengangguran rakyat yang meningkat dari hari ke hari. Penggubalan dasar yang mendukung kesejahteraan rakyat pasti mendapat sokongan yang padu serta mampu meningkatkan semangat cinta akan negara dalam kalangan masyarakat. Secara tidak langsung, masyarakat akan tinggal dan bekerja dalam negara dan menyuburkan lagi ekonomi negara secara sihat.

Isi 3

Bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin, tindakan utama yang perlu dilaksanakan adalah penguatkuasaan undang-undang. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Terdapat kes di mana pekerja asing terdiri daripada pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Perairan negara juga harus dikawal dengan lebih cekap untuk mengelakkan mereka menyusup masuk ke dalam melalui jalan laut. Oleh itu, masyarakat juga sepatutnya menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa dengan melaporkan aktiviti-aktiviti yang meragukan melibatkan pendatang asing. Pihak berkuasa juga hendaklah bersifat penuh intergriti dalam menjalankan tugas dan menjauhi amalan rasuah. Jika semua pihak yang berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.

Isi 4

Langkah seterusnya adalah pihak majikan perlu mengehadkan kebergantungan kepada buruh asing. Pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu hendaklah mengikut prosedur yang diluluskan oleh kerajaan. Pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di dalam negara sekiranya setiap pengambilan pekerja asing mengikut prosedur yang ditetapkan. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor tertentu, mudah bagi rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang bekerja di tempat yang tidak sepatutnya. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

PenutupĀ 

Sebagai penutup wacana, tegas bahawa kedatangan buruh asing memberikan implikasi positif dan negatif kepada negara kita. Walaupun segelintir berpendapat bahawa kemasukan buruh asing ke dalam negara mampu memacu pembangunan negara, namun kita perlu melihat kesan negatif sekiranya tindakan ini berlarutan. Pihak kerajaan dan masyarakat perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini daripada bermaharajalela. Para majikan harus mengubah sikap dengan mempertimbangkan dan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan. Sudah tiba masanya negara Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan mengalihkan tumpuan kepada teknologi yang lebih tinggi untuk memajukan negara. Justifikasinya, sebelum nasi sudah menjadi bubur, eloklah masyarakat Malaysia dan pihak kerajaan bermuafakat supaya Malaysia memanfaatkan buruh asing dan mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin.

Related : kawasan perumahan secara haram projek pembangunan kerana gaji mereka jauh masalah sosial penyakit penyakit berbahaya mendirikan kawasan perumahan secara negara asal jauh lebih murah ekonomi malaysia kemasukan pekerja asing pembantu rumah kerana gaji pencemaran alam menimbulkan masalah, izin pati