Nota

Novel Pantai Kasih : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran

Panduan buat pelajar Tingkatan 4, adakah anda sudah selesai membaca novel komponen sastera yang diberikan? Sekiranya belum, anda digalakkan untuk membaca dengan teliti dan lengkap agar dapat menganalisis dan seterusnya mengulas isi-isi penting yang terkandung dalam novel tersebut. Sebagai rujukan kepada pelajar, di bawah dikongsikan nota berkaitan Novel Pantai Kasih : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran.

Untuk pengetahuan semua, novel Pantai Kasih yang diterbitkan pada tahun 1994 ini merupakan karya Azmah Nordin. Penulis kelahiran Kedah yang menetap di Sabah ini mula menceburi bidang kesusasteraan pada 1986 dan meminati penulisan sajak, cerpen serta novel. Antara pencapaian beliau adalah Hadiah Sastera Malaysia 1988/1989 bagi cerpennya, Singkowoton serta Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Cerpen Maybank-DBP 1991 bagi cerpennya, Mikrotome.

Nota Novel Pantai Kasih : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Latar Masa & Pengajaran

Berikut dikongsikan nota- nota penting Novel Pantai Kasih : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran. Selain itu, turut disertakan adalah watak dan perwatakan, latar, plot, teknik penceritaan dan gaya bahasa sebagai rujukan.

Sinopsis

Karya penulisan novel ini mengisahkan tentang seorang doktor muda yang bernama Raiha. Beliau telah menghadapi pelbagai cabaran sebelum berjaya menjadi seorang doktor bedah. Raiha juga gagal dalam perkahwinannya bersama Dr. Sadiz. Selepas itu, Raiha menerima pelawaan mentornya, Doktor Uwang untuk bekerja di sebuah pusat rawatan mewah yang dikenali sebagai Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Raiha merasakan sesuatu yang aneh sepanjang bertugas di pusat rawatan tersebut kerana pesakit yang sama mempunyai komplikasi yang serupa beberapa kali. Dalam masa yang sama, Raiha dihantui kisah silamnya bersama bekas suaminya. Walau bagaimanapun dia tetap tabah meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan.

Dr. Raiha cuba meluahkan keanehan yang dilihat di pusat perubatan kepada Doktor Uwang, tetapi mentornya tidak senang dengan luahannya. Raiha juga sebenarnya berminat dengan Dr. Uwang sejak menjadi pelajar di IPT dahulu. Peristiwa aneh berlaku semakin kerap sehingalah Dr. Uwang mengalami kemalangan jalan di pusat rawatan. Akhirnya, kejadian antara Raiha dan bekas suaminya dihuraikan dan Raiha sedar bahawa di merupakan seorang mangsa keadaan.

Tema

Novel Pantai Kasih mengutarakan ketabahan seorang wanita yang menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup.

Persoalan

  1. Persoalan keruntuhan rumah tangga yang meninggalkan kesan trauma kepada salah seorang
  2. Persoalan kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat dimana kesempatan diambil demi keuntungan wang
  3. Persoalan berani mengaku kesalahan di mana Felecia yang mengaku bersubahat menipu Raiha dan meminta maaf
  4. Persoalan tentang sikap berfoya-foya walaupun sudah berumah tangga seperti Dr. Uwang yang sudah berumah tangga tetapi keluar ke kelab malam dan minum arak
  5. Persoalan tanggungjawab yang perlu dipikul apabila Raiha membuat pembedahan setelah Dr. Uwang kemalangan.

Watak dan Perwatakan

Raiha

  • Watak utama yang merupakan seorang doktor pakar bedah dan bekerja di Pusat Rawatan Pantai Kasih
  • Pernah berkahwin selama 10 tahun bersama dengan Dr. Sadiz yang merupakan seorang pakar perunding pembedahan
  • Seorang yang tegas dengan mempunyai pendirian yang teguh
  • Seorang yang dihantui kenangan lalu dan berasa curiga dengan kemampuan diri kerana peristiwa malang yang mengakibatkan kematian anaknya

Doktor Uwang

  • Seorang doktor pakar bedah yang bekerja di Pusat Rawatan Pantai Kasih
  • Pernah menjadi pensyarah dan demonstrator dalam bidang pembedahan
  • Memiliki wajah yang kacak dan ketrampilan yang segak
  • Mempunyai seorang anak luar nikah dan suka berfoya-foya di kelab malam serta minum arak

Unong Siron

  • Merupakan seorang bekas pesakit Dr. Uwang
  • Berasal daripada keluarga yang berpendapatan sederhana namun terpaksa mencari wang demi mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Pantai Kasih
  • Seorang gadis remaja yang mempunyai masa hadapan yang cerah untuk melanjutkan pengajian ke luar negara

Doktor Sadiz

  • Anak saudara kepada Dr. Uwang dan merupakan pakar perunding pembedahan dan bedah otak
  • Bekas suami kepada Raiha dan bersikap angkuh
  • Bersikap egoistik dan emosional sehingga mengorbankan anaknya sendiri apabila membakar kereta mewahnya hanya kerana menganggap isterinya membawa anaknya itu lari daripadanya.
  • Mati akibat dirempuh lori tangki minyak selepas sahaja pulang dari mahkamah kerana menang perbicaraan berkenaan kematian anaknya.

Ayah Raiha

  • Seorang doktor pakar bedah di hospital kerajaan
  • Bersikap optimistik dan tegas
  • Berkahwin dengan isteri baharu dan mendapat tiga orang anak termasuk Raiha

Felicia Landosi

  • Seorang jururawat kanak-kanak yang bertugas di Pusat Rawatan Pantai Kasih
  • Pernah bertugas sebagai jururawat di Hospital Kinabalu bersama-sama Raiha dan Dr. Sadiz
  • Menyimpan rahsia kematian anak perempuan Raiha yang dilakukan oleh Dr. Sadiz kerana ketakutan.

Latar

Latar Tempat

  • a. Di Hospital Kinabalu – Doktor Raiha bertugas di Hospital Kinabalu setelah menamatkan pengajiannya
  • b. Di Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) – Ketika baru dibuka, hanya ada tiga orang doktor berkhidmat di sini, iaitu Datu Ontong, Doktor Alex Ng, dan Doktor Uwang
  • c. Di bilik pejabat Doktor Raiha di PRPK – Doktor Raiha meneliti sinar-X terbaharu kepunyaan pesakit yang bernama Unong Siron
  • d. Di ruang farmasi di PRPK – Felicia mengambil ubat batuk untuk kegunaan sendiri
  • e. Di bilik bedah di PRPK – Seorang pemuda yang menyamar sebagai doktor telah menjadikan Felicia sebagai tebusannya
  • f. Di tembok garaj di PRPK – Doktor Uwang cedera parah apabila kereta yang dipandunya terlanggar tembok garaj tersebut
  • g. Di bilik rawatan kecemasan di PRPK – Doktor Raiha dan Doktor Alex Ng melakukan pembedahan penggantian sendi tulang Doktor Uwang
  • h. Di tepi rumah tumpangan – Doktor Sadiz membakar kereta Porsche miliknya yang ada di tepi rumah tumpangan tersebut
  • i. Di mahkamah keluarga – Perbicaraan kes perceraian Raiha vs Sadiz berlangsung di mahkamah ini

Latar Masa

  • a. Enam bulan – Doktor Raiha bertugas di Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) baru enam bulan
  • b. Hampir sepuluh tahun – Doktor Raiha dan Doktor Sadiz hampir sepuluh tahun berkahwin
  • c. Pada waktu malam – Doktor Uwang ternampak seorang kanak-kanak perempuan berdiri tegak di bawah cahaya lampu di halaman banglonya pada waktu malam
  • d. Pada musim kemarau panjang – Hampir semua peristiwa dalam novel ini berlaku pada musim kemarau panjang
  • e. Menjelang dinihari – Felicia berjumpa dengan Doktor Raiha untuk meminta maaf dan menceritakan rahsia kematian anak Doktor Raiha

Latar Masyarakat

  • a. Masyarakat yang bekerja dalam bidang perubatan – Doktor Raiha, Doktor Uwang, Doktor Sadiz, Doktor Alex Ng, dan Doktor Mohammad serta beberapa orang jururawat seperti Felicia Landosi, Ariana Abdullah, Lisa Chung, Kartini, dan Emma Yong bekerja di hospital
  • b. Masyarakat yang hidup mewah – Doktor Raiha dan Doktor Sadiz tinggal di kondominium manakala Doktor Uwang tinggal di bangle dua tingkat yang seperti istana. Mereka memiliki kereta mewah, iaitu Porsche dan Volvo 960
  • c. Masyarakat kelas menengah bawah dan pertengahan – Unong Siron berpendidikan sarjana dan akan melanjutkan pelajaran ke luar negara
  • d. Masyarakat yang mata duitan dan materialistik – Doktor Uwang membeli peralatan murah dan berkualiti rendah untuk digunakannya dalam pembedahan terhadap pesakit kelas menengah bawah dan pertengahan untuk meraih keuntungan
  • e. Masyarakat yang tidak reda akan ketentuan Tuhan – Doktor Sadiz malu akan keadaan anaknya, Rohayu yang sindrom Down
  • f. Masyarakat yang bertindak negatif untuk mengatasi tekanan perasaan – Felicia Landosi kerap minum ubat batuk untuk melupakan masalah keluarga dan tekanan yang dihadapinya sehingga menyebabkan dia ketagihan.

Plot

Permulaan – Novel ini dimulai dengan Raiha yang masih dihantui peristiwa kematian anaknya dan kegagalan rumah tangganya akibat dikap suaminya Dr. Sadiz. Raiha juga yang baru bertugas di Pusat Rawatan Pantai Kasih berasa hairan terhadap pesakit Unong Siron yang menjalani pembedahan di tempat yang sama beberapa kali.

Perkembangan – Setiap watak seperti Raiha, Felicia dan Dr. Uwang dibayangi dengan kisah lampau mereka yang meninggalkan kesan sehingga hari ini. Raiha diberi peluang untuk membedah Unong Siron dan cuba memastikan di tidak perlu dibedah lagi dan berhempas pulas mencari wang untuk menanggung kos rawatan.

Konflik – Konflik berlaku di antara Raiha dan Dr. Sadiz yang saling menuduh punca kematian anak mereka sehingga di bawa ke Mahkamah Keluarga. Dr. Uwang pula berasa tidak perlu mengambil tahu dari mana datangnya wang untuk pembedahan Unong Siron sehingga emak Unong menggelarnya sebagai Dr. Mata Duitan.

Klimaks – Dr. Uwang kemalangan berdekatan dengan Pusat Rawatan Pusat Kasih dan telah dibedah oleh Raiha walaupun hospital tersebut tidak setaraf dengan statusnya. Dr. Uwang kemalangan kerana dibayangi kemunculan wajah anak saudaranya iaitu anak kepada Raiha yang mati akibat perbuatan Dr. Sadiz yang melepaskan geram.

Peleraian – Selepas Dr. Raiha membedah Dr. Uwang, Felicia akhirnya memohon maaf kepada Raiha. Dia telah dipaksa untuk membeli minyak petrol oleh Dr. Sadiz pada malam kematian anaknya. Felicia juga menjadi saksi Dr. Sadiz yang melepaskan geram membakar kereta mewahnya dan takut untuk menjadi saksi di mahkamah. Raiha menerima semua takdir dengan menyatakan bahawa mereka adalah mangsa keadaan.

Teknik Penceritaan

  1. Dialog – Datu Ontong dan isteri Dr. Uwang yang berbual tentang bahaya ubat tradisional
  2. Monolog dalaman – Dr. Raiha mempersoalkan sama ada Pusat Rawatan Pantai Kasih memerangkap pesakit yang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di situ
  3. Imbas kembali – Dr. Raiha teringat kembali peristiwa di mana Dr. Uwang mengajar unsur-unsur pembedahan.

Gaya Bahasa

  1. Simile – berotot-otot sasa bak pahalwan dalam dogengan silam
  2. Peribahasa
  3. Diksi – Istilah perubatan seperti X-Ray, Clinical Year dan hemodialisis

Nilai

  1. ketabahan – Dr. Raiha tabah meneruskan kehidupan walaupun kematian anaknya dan diceraikan oleh suaminya
  2. keberanian – Dr. Raiha yang berani menjalankan pembedahan terhadap Unong Siron bagi memuaskan hati semua pihak yang terlibat
  3. bertanggungjawab – Emak Unong Siron yang berusaha mendapatkan wang demi menampung kos rawatan anaknya
  4. keprihatinan – Dr. Raiha yang prihatin terhadap emak Unong Siron yang menjaga anaknya
  5. kerajinan – Felicia yang dahulunya tinggal di muara sungai rajin untuk pergi belajar sehingga berjaya menjadi seorang jururawat

Pengajaran

  1. Kita hendaklah jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan di atas perkhidmatan kita
  2. Kita seharusnya saling menyayangi ahli keluarga kita kerana hubungan yang terbina hadir bersama komitmen dan tanggungjawab
  3. Kita perlulah berterus terang sekiranya kita melakukan kesalahan agar kesannya tidak mengakibatkan orang lain menderita
  4. Kita wajib untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat hidup
  5. Kita hendaklah tabah dalam menghadapi dugaan serta cabaran dalam hidup kerana ia akan menjadi pemangkin kepada kejayaan diri

Sekian sahajaperkongsian nota berkaitan Novel Pantai Kasih : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran. Semoga ia membantu pelajar untuk mengulangkaji dan bersedia menghadapi peperiksaan.

Related : bahawa doktor, tempat tinggalnya, ibu unong siron, tulang pinggul, doktor sadiz pulang, hasil keterlanjurannya, mementingkan keuntungan,