Karangan

Langkah Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah

Topik berkaitan alam sekitar sering kali menjadi topik kegemaran dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Pelajar seharusnya mampu memberikan isi-isi penting yang baik dan tepat dengan kehendak soalan kerana alam sekitar adalah perkara yang berada di sekeliling kita. Berikut dikongsikan langkah-langkah menangani masalah pembuangan sampah untuk panduan semua.

Untuk makluman pelajar, penulisan karangan yang baik terdiri daripada pendahuluan yang menarik, isi yang seimbang dan penutup yang konklusif. Bagi mendapatkan hasil penulisan karangan sebegitu, pelajar perlu melakukan latihan tambahan di samping latihan daripada guru di sekolah. Bimbingan dan panduan guru juga mustahak bagi memastikan penulisan karangan pelajar tepat dan menerima kehendak soalan yang diberikan.

Langkah Menangani Masalah Membuang Sampah Merata-Rata

peta minda langkah tangani masalah sampah Langkah Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah

Isi-isi penting

  • Kuatkuasa larangan penggunaan plastik
  • Mengamalkan kitar semula
  • Beli barang keperluan dengan berhemat
  • Memberi sokongan kepada agensi pengurusan sampah
  • Menyediakan kawasan pelupusan sampah berteknologi tinggi
  • Kempen pengurusan sampah

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksud

Contoh Karangan Langkah Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai peristiwa yang melibatkan pencemaran alam sekitar berlaku dalam negara kita. Sikap sesetengah pihak mengambil mudah perkara seperti pembuangan sisa toksik ke dalam sungai akan memusnahkan keseimbangan ekosistem yang kita nikmati hari ini. Seperti peribahasa Melayu, bagai melepaskan batuk di tangga. Mungkin perkara seperti ini berlaku kerana kurangnya didikan tetapi, pucuk pangkalnya adalah setiap sampah atau sisa pembuangan wajib dibuang dengan cara yang betul. Peningkatan jumlah penduduk dalam negara telah menyumbang kepada kadar pertumbuhan penduduk sekaligus menambah sisa pembuangan dan sampah. Oleh itu, mari kita lihat langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi menangani masalah pembuangan sampah.

Isi 1

Langkah pertama adalah dengan menguatkuasakan larangan penggunaan plastik  secara menyeluruh di seluruh negara. Untuk pengetahuan anda, plastik merupakan penyumbang utama sisa-sisa sampah di dunia kerana ia memerlukan berpuluh tahun untuk dikompos atau mereput. Tambahan pula, plastik  lazimnya digunakan hanya sekali dan kemudian tidak mempunyai fungsi dan dibuang merata-rata. Akibatnya sisa plastik sudah menjadi ancaman kepada hidupan laut dek kerana termakan atau lemas daripada kekurangan oksigen hasil daripada pengumpulan sampah dipermukaan laut. Justeru, langkah untuk mengharamkan penggunaan plastik bakal memberi hikmah bukan sahaja kepada kita tetapi hidupan alam yang lain.

Isi 2

Selain itu, langkah yang boleh dilakukan bagi menangani masalah pembuangan sampah adalah dengan mengamalkan kitar semula. Kitar semula ialah proses bahan buangan untuk menghasilkan barangan baharu supaya boleh digunakan lagi. Kitar semula dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, membangun penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran udara  dan pencemaran air serta mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau berbanding penghasilan barang baru dari bahan mentah. Antara bahan yang boleh dikitar semula adalah kaca, kertas, logam, plastik, tekstil, dan elektronik. Dengan peningkatan kuantiti penduduk dunia secara amnya, sumber bahan mentah sudah pasti semakin berkurangan. Maka kita hendaklah sedar dan mula bersikap minimalis atau bersederhana dalam kehidupan dan berbelanja secara berhemat bagi mengelakkan pembaziran.

Isi 3

Di samping itu, setiap anggota masyarakat perlu sedar dan bijak berbelanja dalam membeli barang keperluan. Elakkan membeli barang yang dipakai buang hanya setelah menggunakannya beberapa kali sahaja. Kita sudah mencapai tahap di mana sumber bahan mentah semakin terhad. Banyak produk yang mesra alam telah dihasilkan seperti beg, kasut dan juga peralatan elektronik. Tetapi disebabkan kos yang tinggi dalam penghasilan barang mesra alam, ramai diantara kita enggan untuk melabur demi kelansungan alam sekitar. Apa yang ingin disampaikan adalah kita perlu berfikiran kritis dan menilai diantara keperluan dan kehendak. Perkara asas ini sedikit sebanyak akan membentuk gaya kebolehan setiap individu dalam merancang kehidupan masing-masing. Seterusnya mengurangkan pembaziran dan sisa pembuangan sampah berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Isi 4

Akhir sekali, langkah yang boleh dilakukan di peringkat kerajaan pula adalah dengan membantu agensi pengurusan sampah. Pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya menjadi jambatan diantara penduduk dan agensi pengurusan sampah di kawasan masing-masing. PBT wajar menjalankan pemantauan berkala pada setiap bulan untuk melihat keperluan penduduk dalam menguruskan pembuang sisa sampah. Dengan kerjasama yang baik dengan agensi pengurusan sampah, sudah pasti tong-tong sampah dan jadual pengurusan dapat diselaraskan dengan keperluan penduduk sekitar. Antara langkah yang telah dilakukan dan bernas untuk dikekalkan adalah penyediaan tong sampah besar pada hari perayaan dimana selalunya banyak pembersihan dan sisa terhasil pada waktu tersebut. Oleh itu, setiap anggota msyarakat perlu bertanggungjawab memastikan sisa sampah yang dihasilkan dibuang secara betul.

Penutup

Demikian adalah langkah-langkah yang wajar dilaksana bagi menjamin pembuangan sampah dalam negara kita diurus dengan baik.  Langkah bijak yang diambil hari ini tidak memberikan manfaat kepada kita secara langsung tetapi memberikan peluang kepada generasi akan datang menikmati sumber yang kita nikmati selama ini. Dengan pengurusan yang betul pasti isu pembuangan sampah yang berisiko tinggi terutamanya dalam penularan kes denggi dan lain-lain dapat diselesaikan. Pendekatan dasar-dasar kerajaan yang memastikan alam sekitar terjamin perlu diangkat dan masyarakat menjadi pelaksana dalam menangani isu pembuangan sampah. Semoga minda masyarakat kita sejajar dengan kecekapan pengurusan infrastuktur negara yang diiktiraf sebagai infrastruktur kelas pertama.