Nota

Ciri-Ciri Sistem Demokrasi Berparlimen Di Malaysia

Adakah anda tahu Ciri-Ciri Demokrasi Berparlimen Di Malaysia? Sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, kita seharusnya mengetahui dan semat di dalam hati tentang selok belok pemerintahan negara supaya tidak dicemarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dengan semangat cinta kepada negara, kita dapat membina masa hadapan yang lebih baik untuk diri, bangsa dan juga negara

Tema umum yang dipersoalkan adalah berkaitan Pembinaan Negara dan Bangsa Ke Arah Kemunculan Negara Malaysia Berdaulat. Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, jentera pentadbiran kerajaan Malaysia telah diperkemas berasaskan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Oleh itu, di bawah dikongsikan maklumat penting berkaitan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Sistem Demokrasi Berparlimen Di Malaysia

1) Demokrasi berparlimen di Malaysia

Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah memilih dan mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Definisi demokrasi berparlimen adalah rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara manakala Raja-Raja Melayu menjadi lambang taat setia rakyat. Rakyat juga bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya di mana mereka berhak menyokong, atau menukar kerajaan yang sedia ada melalui pilihan raya. Sistem ini berjaya mengekalkan kerajaan yang adil, sejahtera dan stabil.

2) Ciri-ciri Demokrasi Berparlimen

Perlembagaan

Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah negara. Perlembagaan menjadi bukti dokumen rasmi negara kerana terkandung segala peraturan dan prinsip yang menjadi panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar dan mentadbir negara. Parti politik yang mempunyai sokongan majoriti perlu menetapkan hala tuju negara serta menjamin tanggungjawab kepada rakyat dilaksanakan melalui peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan. Perlembagaan Malaysia telah diperkenalkan pada 16 September 1963 yang mempunyai 183 perkara yang memperuntukkan Senarai Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Senarai Bersama. Perlembagaan ini juga membahagikan kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Raja Berperlembagaan

Raja berperlembagaan pula adalah sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan Perlembagaan Malaysia. Jawatan Yang-Di Pertuan Agong (YDPA) diwujudkan sejak tahun 1957. YDPA merupakan simbol keutuhan dan perpaduan rakyat serta ketua utama negara. YDPA bertindak berdasarkan perlembagaan dan atas nasihat Perdana Menteri. Namun, YDPA tidak boleh bertindak sendiri kecuali atas perkara tertentu yang memerlukan budi bicara baginda dalam membuat keputusan YDPA dipilih daripada kalangan sembilan orang Raja Melayu daripada sembilan buah negeri secara bergilir-gilir.

Kuasa Pemerintahan

Kuaasa pemerintahan di Malaysia dibahagikan kepada tiga iaitu Badan Perundangan, Badan Pelaksana dan Badan Kehakiman. Pengasingan kuasa ini bagi mengelakkan pembolotan kuasa dan merupakan konsep amalan negara demokrasi berparlimen

Pilihan Raya

Pilihan raya adalah ciri penting dalam demokrasi berparlimen kerana ia merupakan proses pemilihan wakil kepada rakyat untuk menjadi pemerintah di peringkat persekutuan atau negeri. Setiap warganegara mempunyai hak untuk mengundi secara sulit dan melalui prosedur yang telus dan teratur. Kiraan undi dibuat secara terbuka dan keputusan akan direkodkan. Calon yang mempunyai majoriti undian akan menjadi wakil kepada kawasan yang ditanding di Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pilihan raya di Malaysia.

Parti-parti Politik

Parti politik merupakan sekumpulan orang yang mempunyai ideologi atau perjuangan politik yang sama. Maka, pelbagai pasrti politik telah ditubuhkan dan berjuang untuk mendapatkan kuasa dan melaksanakan ideologi masing-masing. Setiap parti mempunyai ahli-ahli  yang membayar yuran keahlian dan memeberi komitmen terhadap perjuangan parti. Di Malaysia, perkauman menjadi salah satu matlamat dan ideologi yang diketengahkan oleh parti-parti politik. Contohnya sebelum ini, Barisan Nasional ditubuhkan dan dianggotai oleh UMNO daripada kaum Melayu, MCA mewakili kaum Cina dan MIC mewakili kaum India.

3) Soalan menganalisis salah satu dari ciri-ciri demokrasi berparlimen 

A. Perlembagaan melindungi kepentingan rakyat

  • keluhuran perlembagaan

Di dalam Rukun Negara, keluhuran perlembagaan merupakan rukun yang ketiga. Ini menunjukkan keagungan undang-undang atau perlembagaan ini mengatasi semua kuasa pemerintahan di Malaysia. Maka, semua jenis undang-undang yang bercanggah tidak sah. Perlembagaan Persekutuan  memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk membatalkan akta yang diluluskan di luar bidang kuasa parlimen atau bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia. Mahkamah berkuasa menentukan kesahihan setiap undang-undang bagi menjamin keluhuran dan ketertinggian Perlembagaan Malaysia.

  • kepentingan perlembagaan

Perlembagaan penting dalam menjamin kstabilan politik sesebuah negara dengan menentukan rangka dan bentuk pentadbirannya. Setiap pemimpin yang diundi oleh rakyat dan dilantik menjadi menteri contohnya perlu bertindak berdasarkan perlembagaan supaya agenda dan aspirasi rakyat ditepati

Untuk konteks, Perlembagaan Malaysia menjamin taat setia rakyat kepada sebuah negara. Menurut Perkara 24, seseorang yang mempunyai kerakyatan negara lain akan dilucutkan kewarganegaraanya. Dalam masa yang sama Perlembagaan Malaysia menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini. Setiap warganegara mempunyai hak asasi dan kebebasan seperti berpersatuan, beragama dan memiliki harta. Dengan ini, rakyat mengetahu had kebebasan mereka disisi undang-undang.

Selain itu, Perlembagaan Malaysia juga menjamin kerjasama dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Ia menjadi rujukan utama dalam penggubalan undang-undang persekutuan dan negeri. Hasilnya sistem pentadbiran negara dapat diselaraskan tanpa sebarang perbalahan.

Menurut Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, YDPA berperanan menjaga dan memelihara hak istimewa serta kedudukan orang melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Hak istimewa tersebut adalah jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, kemudahan pendidikan serta pemberian lesen perniagaan dan perdagangan.

  • Pindaan perlembagaan

Sejak tahun 1957, Perlembagaan Malaysia telah melalui proses pindaan beberapa kali bagi melindungi kepentingan rakyat dan menjaga keselamatan negara. Perlembagaan perlu dipinda supaya kekal relevan dan sesuai dengan keperluan semasa. Hasilnya undang-undang yang munasabah dan kandungan perlembagaan boleh dipatuhi oleh rakyat dengan rela hati.

Terdapat 4 kaedah pindaan iaitu;

  1. Persetujuan majoriti lebih suara dua per tiga Dewan Parlimen dan Persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.
  2. Persetujuan majoriti lebih suara dua per tiga Dewan Parlimen dan Kelulusan Yang Dipertua Negeri Sarawak dan Sabah.
  3. Persetujuan majoriti lebih suara dua per tiga Dewan Parlimen
  4. Persetujuan lebih suara Dewan Parlimen

B. Bidang Kuasa Yang DiPertuan Agung (YDPA) mengikut Perlembagaan Malaysia

Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, YDPA adalah ketua negara dan mengetuai tiga badan kerajaan iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan Badan Kehakiman. YDPA merupakan satu daripada tiga unsur parlimen dan mempunyai kuasa memanggil atau membubarkan Parlimen. Selain itu, baginda merupakan ketua kepada Angkatan Tentera Malaysia.

Di samping itu, baginda berperanan menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa Orang Melayu. YDPA juga merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Melaka, wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Dalam Badan Pemerintah, YDPA mempunyai kuasa bidu bicara untuk melantik Perdana Menteri, melantik atau melucutkan jawatan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri setelah mendapat nasihat Perdana Menteri.

Fungsi lain YDPA adalah untuk mengisytiharkan undang-undang darurat jika mendapati keselamatan negara terancam. Baginda juga perlu melantik pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan melantik peguam negara serta seorang Ketua Audit Negara bagi Persekutuan. YDPA mempunyai kuasa tertinggi untuk mentauliahkan duta-duta negara kita.

C. Sistem pemerintahan di Malaysia

Badan Perundangan

Fungsi badan perundangan adalah menggubal undang-undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat. Parlimen merupakan badan perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang. Badan ini terdiri daripada YDPA, Dewan Negara dan Dewan Rakyat

a) Dewan Negara

Dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara. Mempunyai 69 orang ahli, 26 dipilih dari 13 buah negeri. Ahli lain dilantik oleh YDPA yang terdiri daripada individu yang cemerlang dalam perkhidmatan awam, bidang professional atau bidang tertentu. 2 lagi ahli dilantik mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Ahli Dewan Negara digelar senator dilantik tanpa bertanding dalam Pilihan Raya dan memegang jawatan bagi tempoh 3 tahun dan berumur sekurang-kurangnya 30 tahun. Taraf senator sama dengan ahli Parlimen dan boleh dilantik menjadi Jemaah Menteri

b) Dewan Rakyat

Dewan Rakyat pula terdiri daripada 220 ahli yang mewakili semua kawasan parlimen di seluruh negara setelah dipilih melalui Pilihan Raya Umum. Tempoh jawatan adalah 5 tahun. Ahli Dewan Rakyat berfungsi untuk menggubal dan melluluskan undang-undang pada peringkat Dewan Rakyat. Undang-undang yang digubal pada peringkat Dewan Rakyat dikenali sebagai akta. Manakala undang-undang yang digubal pada peringkat Dewan Undangan Negeri dikenali sebagai enakmen. Di Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Sabah dikenali sebagai ordinan

Badan Pelaksanan

a) Kabinet (Jemaah Menteri)

Pembuat dasar tertinggi negara. Tugas mereka adalah menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara dan aspek. Perdana Menteri merupakan Ketua Jemaah Menteri

b) Kementerian

Kementerian bertanggungjawab menggubal dasar kerajaan, merancang dan menyelaras program pembangunan ekonomi dan sosial negara mengikut bidang masing-masing. Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melantik Menteri dan Timbalan Menteri yang mengetuai kementerian yang ada.

c) Perkhidmatan Awam

Diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, perkhidmatan awam bertanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan dan kementerian atau jabatan kerajaan. Perkhidmatan awam terdiri daripada kakitangan awam negara seperti pegawai perundangan, pegawai pendidikan dan pasukan polis.

d) Jabatan Kerajaan

Diketuai oleh Ketua Pengarah, jabatan kerajaan di bawah setiap kementerian mempunyai jabatan di peringkat pusat, negeri dan daerah.

e) Badan Berkanun

Badan separuh kerajaan yang mempunyai autonomi tertentu seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Ia mempunyai peruntukan kewangan sendiri dan ditadbir oleh lembaga pengarah. Mereka bertanggungjawab untuk menyokong pentadbiran dan program pembangunan di bawah kerajaan sepanjang lima tahun sesebuah kerajaan itu memegang kuasa.

f) Suruhanjaya

Ditubuhkan sebagai satu cabang untuk mengendalikan urusan perlantikan, kenaikan pangkat dan memantau disiplin kakitangan awam. Contohnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

Badan Kehakiman

Mempunyai kuasa mendengar dan menentukan perkara sivil dan jenayah. Menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan dan badan pelaksana. Mentafsir Perlembagaan Persekutuan. Sistem mahkamah diwujudkan untuk melaksanakan tugas kehakiman. Di Malaysia, sistem mahkamah disusun mengikut hieraki piramid, individu atau kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Semua hakim dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri. Hakim tidak boleh mengambil bahagian dalam politik. Peguam Negara merupakan penasihat undang-undang kerajaan yang dibantu oleh pegawai perkhidmatan undang-undang dan kehakiman.

D. Sistem Pilihan Raya

a) Fungsi SPR, Pilihan Raya Umum/ Kecil

  • menentukan sempadan pilihan raya
  • menjalankan pendaftaran pemilih
  • mengendalikan pilihan raya umum atau kecil
  • Pilihan raya umum diadakan untuk memilih ahli dewan rakyat dan ahli dewan undangan negeri secara serentak di semenanjung Malaysia manakal di Sabah dan Sarawak diadakan secara berasingan
  • Pilihan raya kecil diadakan apabila berlaku kekosongan di mana-mana kerusi parlimen atau dewan undangan negeri. Ia mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bagi semenanjung Malaysia dan 90 hari bagi Sarawak dan Sabah.

b) Proses Pilihan Raya

  • penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian oleh SPR
  • hari penamaan calon dijalankan
  • manifesto calon atau parti boleh dikempen selam 7 hingga 15 hari sahaja
  • SPR mengumumkan tempat mengundi dan tempat pengiraan undi
  • Pada hari pilihan raya, pengundi diberikan kertas undi yang mengandungi lambang calon bertanding. Pengundi akan memangkah pada ruangan yang betul dan dibuang ke dalam peti undi.
  • Selepas tempoh pengundian tamat, pengiraan akan dijalankan dan pegawai pilihan raya akan membuat pengumuman keputusan pilihan raya pada hari tersebut.

c) Syarat Calon Dan Pengundi

Syarat menjadi calon adalah:

  • Warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas
  • Bermastautin di Malaysia, sempurna akal tidak muflis, tiada jawatan dalam perkhidmatan awam dan tidak disabitkan kesalahan di mahkamah
  • Kelayakan akan hilang jika dihukum penjara tidak kurang daripada 12 bulan atau didenda tidak kurang RM2000 dan belum mendapat pengampunan.
  • Boleh bertanding atas nama parti atau bebas
  • perlu mengemukakan kerta penamaan calon pada hari penamaan calon

Pengundi pula perlu:

  • Berumur 21 tahun dan merupakan warganegara Malaysia yang bermastautin  di Malaysia.
  • Boleh mengundi di sebuah kawasan pilihan raya sahaja.
  • aggota pasukan keselamatan, pelajar dan pegawai kerajaan di luar negara boleh mengundi melalui pos

4) Peranan rakyat Malaysia dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita perlu memainkan peranan dalam sistem demokrasi berparlimen dengan mengundi wakil rakyat yang terbaik pada pilihan raya. Kita diwajibkan untuk mengundi ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen di kawasan tempat tinggal kita.

Selain itu, kita hendaklah mematuhi undang-undang negara dan menghormati prinsip Rukun Negara. Sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan menjaga keharmonian serta perpaduan antara masyarakat. Akhir sekali, menyokong dasar kerajaan yang memberikan manfaat bersama kepada diri, masyarakat dan juga negara.

5) Kejayaan negara melalui amalan sistem demokrasi berparlimen

Antara kejayaan yang dapat dilihat adalah rakyat dapat hidup dengan aman selepas mencapai kemerdekaan. Pelaburan daripada negara asing menjadi penyumbang kepada pembangunan negara kerana kestabilan politik. Rakyat mempunyai peluang sekiranya kerajaan tidak relevan dan perlukan perubahan melalui pilihan raya yang telus dan adil. Kesannya, perpaduan antara masyarakat kekal terjamin dan menjadi contoh kepada negara luar. Taraf pendapatan masyarakat juga meningkat dari tahun ke tahun serta prasarana di bandar dan luar bandar diperkasa dengan jayanya.

6) Cabaran yang dihadapi Malaysia dalam pelaksanaan dan langkah untuk mengatasinya

Cabaran utama yang dihadapi Malaysia dalam pelaksanaan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen adalah isu berkaitan perkauman yang mengancam perpaduan masyarakat majmuk kita. Selain itu, gejala rasuah yang berleluasa dalam negara turut menjadi cabaran utama. Kesedaran yang kurang dalam kalangan generasi muda berkenaan tanggungjawab kepada negara juga semakin berleluasa dek kerana media sosial yang melalaikan.

Langkah-langkah untuk mengatasinya adalah dengan menganjurkan diskusi dan perbincangan antara masyarakat tentang isu-isu sensitif perkauman. Selain itu, amalan pencegahan rasuah boleh diberkas dengan penguatkuasaan yang ketat serta tindakan yang serta merta dikenakan kepada pesalah. Manakala generasi muda hanya perlukan panduan dan peluang daripada golongan tua yang enggan memberikan ruang mereka untuk memimpin. Akhir sekali setiap pihak hendaklah bersatu hati menjaga keamanan dan kemakmuran negara dengan bertolak ansur antara satu sama lain dan saling hormat-menghormati.

7) Nilai-nilai murni

Nilai murni yang diperoleh dari sistem demokrasi berparlimen adalah semangat cinta dan setia kepada raja dan negara serta kepatuhan kepada undang-undang. Selian itu, pemimpin yang adil dan telus perlu dipilih supaya dihormati dan dasar yang menguntungkan semua pihak dapat dilaksanakan. Nilai kesepakatan, toleransi perlu antara rakyat dan pemimpin bagi memelihara perpaduan antara kaum serta kemakmuran negara.

8) Kesimpulan isi yang telah dibincangkan

Pengetahuan yang diperoleh adalah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen merupakan sistem terbaik untuk dipraktikkan di Malaysia. Hal ini kerana rakyat mempunyai ruang untuk memilih barisan pemimpin melalui pilhan raya yang telus dan adil bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Sebagai iktibar, kerjasama di antara pemimpin dan rakyat adalah mustahak dalam menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi kerana tanpa kuasa rakyat, tiadalah kuasa pemimpin.

Saya berharap Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang berdaulat dan mendapat kerajaan yang stabil serta mengutamakan agenda rakyat seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat dunia yang lain

Related : pemilihan ini dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur