Karangan

Apakah Kepentingan Perlembagaan Malaysia

Perhatian kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Adakah anda pernah menjawab penulisan karangan Bahasa Melayu yang menggunakan tema berkaitan kenegaraan? Sekiranya tidak, berikut dikongsikan contoh karangan apakah kepentingan Perlembagaan Malaysia sebagai panduan untuk semua.

Bagi menjawab tajuk berkaitan soalan sejarah seperti di bawah, pelajar perlu mempunyai fakta yang betul dan tepat untuk menghuraikan isi-isi penting. Walaupun berisiko tinggi, pelajar yang yakin digalakkan untuk menjawab tajuk soalan ini dan memberikan hujahan serta intipati yang menarik serta tepat dengan kehendak soalan.

peta minda kepentingan perlembagaan malaysia Apakah Kepentingan Perlembagaan Malaysia

Kepentingan Perlembagaan Malaysia Dalam Pentadbiran & Menjamin Hubungan Antara Kaum

Isi-isi penting

  • Mengukuhkan perpaduan antara kaum
  • Memastikan pentadbiran dan pemerintahan yang adil dan telus
  • Menjamin perkembangan ekonomi negara
  • Berperanan dalam mengekalkan hak istimewa golongan bumiputera (orang melayu dan bumiputera sabah dan sarawak)

Baca juga: Cara Penyebaran Islam Di Asia Tenggara

Contoh Karangan Apakah Kepentingan Perlembagaan Malaysia Kepada Generasi Muda

Pendahuluan

Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi yang dibentuk berasaskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan. Undang-undang bertulis ini telah diperkenalkan sebagai Perlembagaan Malaysia pada 16 September 1963 bersamaan dengan Hari Malaysia. Negara lain seperti Jerman, Autralia dan Kanada juga mempunyai perlembagaan persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi dalam membentuk negara masing-masing. Bahkan, perlembagaan bertulis yang pertama di dunia telah dirangka dan dikenali sebagai Piagam Madinah. Ia merupakan rangka yang menetapkan hubungan rakyat dengan entiti pemerintahan negara yang dipersetujui bersama. Undang-undang ini juga mewujudkan sempadan antara kuasa persekutuan dengan badan eksekutif dan badan perundangan. Oleh itu, wajar untuk dibincangkan kepentingan-kepentingan Perlembagaan Malaysia kepada semua.

Isi 1

Antara kepentingan utama Perlembagaan Malaysia adalah mengukuhkan perpaduan antara kaum. Umum sedia maklum, rakyat yang menetap di negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Setiap di antara kita mempunyai perbezaan dari setiap aspek dan generasi terdahulu iaitu nenek dan moyang kita berjaya menunjukkan sifat toleransi serta telah mewujudkan masyarakat majmuk walaupun dalam kesusahan hidup pada ketika itu. Dengan wujudnya Perlembagaan Malaysia, hak dan kebebasan warganegara terjamin. Sebagai contoh, warganegara Malaysia berhak mendapat perlindungan yang sama rata daripada pihak berkuasa seperti polis dan tentera supaya keselamatan diri dan negara terjamin. Selain itu, setiap warganegara berhak untuk menganuti agama masing-masing dan tiada diskriminasi yang akan timbul sehingga menyentuh sentimen perkauman yang akan menggugat keamanan negara. Izharnya, undang-undang bertulis ini mustahak dalam memastikan setiap ahli masyarakat menjaga tata tertib dan menghormati hak masing-masing dalam menjalani kehidupan di Malaysia.

Isi 2

Kepentingan lain Perlembagaan Malaysia adalah memastikan pentadbiran dan pemerintahan yang adil dan telus dapat dilaksanakan. Malaysia menerusi Kerajaan Persekutuan yang dibentuk adalah berlandaskan kepada demokrasi berparlimen. Perkara ini dapat dijalankan melalui proses pilihan raya yang memberikan hak kepada rakyat untuk memilih wakil masing-masing. Seterusnya, parti yang mempunyai majoriti kerusi di parlimen akan membentuk kerajaan persekutuan dan menjalankan tugas-tugas eksekutif negara. Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, kita juga mempunyai sistem Raja Berperlembagaan di mana Yang Di Pertuan Agong akan dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk menjadi ketua negara dan mempunyai bidang kuasa seperti yang dikanunkan dalam Perlembagaan Malaysia. Sistem yang mempunyai tempoh masa iaitu sepanjang lima tahun sepenggal adalah adil dalam memberi peluang dan ruang kepada mereka yang berkuasa untuk memerintah dan mentadbir negara ke arah kemajuan yang lebih baik daripada sebelum ini. Kesannya, pertindihan atau pemusatan kuasa dalam pemerintahan dan pentadbiran negara dapat dielakkan serta rakyat boleh menentukan hala tuju politik negara.

Isi 3

Di samping itu, Perlembagaan Malaysia juga penting bagi menjamin pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara yang memberi manfaaat kepada rakyatnya. Menurut persetujuan yang dicapai dalam Perlembagaan Malaysia, terdapat peruntukan dari segi hak sebagai warganegara dalam peluang pendidikan dan pekerjaan. Perkara ini menunjukkan bahawa undang-undang itu berperanan dalam menganal pasti hak sosial yang wajar diperoleh. Selaras dengan Perlembagaan Malaysia, polisi dan dasar-dasar kerajaan yang digubal seharusnya menguntungkan rakyat dan kesejahteraan hidup dapat dicapai. Situasi ini memeberikan imej yang baik dimiliki oleh negara di mana ia bakal menarik minat pelabur asing untuk melabur di dalam negara. Secara langsung, peluang pekerjaan dicipta untuk masyarakat tempatan dan pertumbuhan ekonomi domestik akan bercambah. Intihannya, berlandaskan undang-undang yang baik, kita mampu merencana kemajuan dalam diri, organisasi mahupun negara dan mendapat manfaat terbaik di atas hasil usaha yang dilaksanakan.

Isi 4

Akhir sekali, Perlembagaan Malaysia berperanan dalam mengekalkan hak keistimewaan golongan bumiputera iaitu orang Melayu, Sabah dan Sarawak. Dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, hak istimewa yang disebut merangkumi jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain. Misalnya, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, kaum lain bebas untuk menganuti agama masing-masing dan bersifat hormat-menghormati antara satu sama lain. Tambahan pula, kita mempunyai Rukun Negara di mana kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan adalah rukun yang wajib dipatuhi oleh warganegara Malaysia. Natijahnya, golongan bumiputera seharusnya bersyukur dan menggunakan hak keistimewaan yang diperoleh dengan baik serta tidak menindas hak golongan lain. Jika nilai hormat yang kita berikan kepada sesorang, nescaya kita akan mendapat semula penghormatan tanpa perlu meminta-minta.

Penutup

Secara tuntasnya, Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang bertulis yang memberikan pelbagai kepentingan kepada kita sebagai rakyat dan juga pemerintah serta pentadbiran negara. Setiap rakyat yang bergelar warganegara Malaysia hendaklah memahami dan menguasai sejarah pembentukan negara kita serta mengambil iktibar daripadanya. Pada hemat saya, kesepakatan dan perpaduan antara semua akan membawa kita ke arah yang lebih baik berbanding daripada bergerak secara berpecah-belah. Persis kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, walau di mana kita berpihak, kita seharusnya sedar bahawa tanah yang kita pijak dan langit yang dijunjung adalah pinjaman daripada Tuhan buat sementara sahaja. Tiada apa yang kekal selamanya tetapi mencapai kemajuan sejagat adalah perkara yang mampu dan wajib menjadi agenda utama masyarakat yang inteligensia.