Karangan

Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan Kaum Di Malaysia

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Para pelajar lazimnya menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan karangan Bahasa Melayu. Perkara ini berlaku kerana mereka kurang melakukan latihan atau tidak didedahkan terhadap variasi soalan yang berpotensi untuk dikeluarkan. Maka, pelajar digalakkan untuk mencari contoh-contoh karangan Bahasa Melayu secara atas talian dalam persediaan menghadapi peperiksaan. Untuk rujukan anda, berikut adalah contoh karangan cabaran dalam mengekalkan perpaduan kaum.

Tajuk soalan karangan seperti di bawah adalah isu semasa yang dekat dengan pelajar. Justeru, dalam mencari idea atau isi-isi penting, pelajar akan mempelajari sedikit sebanyak tentang isu terbabit dan sedar akan kepentingannya. Kaedah ini membantu pelajar supaya terus peka dengan pengetahuan am dan semasa dalam membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan penulisan karangan Bahasa Melayu.

peta minda cabaran mengekalkan perpaduan kaum

Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan Kaum Dan Langkah Mengatasi

Isi-isi penting

  • Landskap politik negara
  • Jurang dan dominisasi ekonomi
  • Kewujudan sistem pendidikan yang berbeza
  • Laman sosial dan media massa
  • Penggunaan bahasa kebangsaan

Baca juga: Usaha Memupuk Perpaduan Kaum

Contoh Karangan Cabaran Dalam Mengekalkan Perpaduan Kaum

Pendahuluan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan perkauman yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Negara Malaysia mengecapi kemerdekaan hasil usaha kesemua rakyat pada ketika itu, tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit untuk hidup harmoni bersama-sama. Namun, hari ini kita sering melihat siaran berita di televisyen dan video-video perkongsian di laman sosial yang menggugat perpaduan kaum yang telah terbina sejak dahulu lagi. Pelbagai faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku di mana kekurangan sifat toleransi merupakan nilai yang penting bagi mencari kemajmukan dalam kalangan masyarakat hari ini. Oleh itu, mari kita huraikan cabaran-cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan kaum.

Isi 1

Cabaran pertama adalah dari segi politik negara. Perbezaan parti politik di Malaysia yang berasaskan perkauman telah menyukarkan perpaduan kaum. Dunia politik sememangnya penuh dengan kontrovesi dimana terdapat pelbagai individu yang mempunyai tujuan dan kepentingan yang berbeza. Hasilnya, masih terdapat pemimpin yang kurang bijak dengan mengharapkan sentimen perkauman dapat memancing perhatian rakyat tetapi sebaliknya hanya ingin melindungi kepentingan diri sendiri. Oleh itu, bagi menggerakkan negara ke arah kemajuan yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain, ahli politik perlu bersikap terbuka dan matang. Politik sepatutnya membela nasib keseluruhan rakyat bukannya mengikut kepentingan bagi mana-mana pihak. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa fahaman parti politik merupakan salah satu cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara ini. Sekiranya rakyat dan para pemimpin negara dapat mengatasi cabaran ini, pasti perpaduan kaum antara masyarakat dalam negara akan menjadi lebih erat.

Isi 2

Di samping itu, dominisasi sesebuah kaum dalam sesuatu bidang ekonomi juga telah mewujudkan jurang ekonomi antara perkauman. Cabaran ini telah pun timbul sejak zaman penjajahan British lagi dimana kaum Melayu menjadi petani dan nelayan, kaum India diletakkan di ladang getah dan kaum Cina bekerja sebagai pedagang dan melakukan perlombongan. Setelah kemerdekaan dicapai, berlaku perubahan di mana setiap kaum mendapat peluang pendidikan dan mampu berjaya sekiranya berusaha dengan betul. Namun begitu, akibat dasar penjajah dahulu, kesannya masih dapat dilihat sampailah sekarang dimana sektor perniagaan masih didominisasi oleh kaum Cina dan kebanyakan orang India masih tinggal di ladang. Rentetan senario ini telah menyebabkan interaksi sosial di antara mereka terbatas. Kesannya, perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum dan menyukarkan proses perpaduan.

Isi 3

Cabaran seterusnya adalah dari segi sosial golongan muda dimana sistem pendidikan yang diasingkan mengikut kaum telah wujud dan meninggalkan kesan yang kurang baik. Pengenalan sistem sekolah vernakular yang mengikut kaum telah menjadikan hubungan masyarakat semakin renggang. Mutakhir ini, masih ramai rakyat yang merupakan warganegara Malaysia tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan iaiatu Bahasa Melayu. Bahasa merupakan elemen utama untuk berkomunikasi di antara satu sama lain, sekiranya kita tidak fasih untuk berbahasa, bagaimana untuk kita berkomunikasi dan memahami individu lain yang berbeza pendapat dengan kita. Jika masyarakat majmuk melibatkan diri dalam kegiatan sosial terutamanya pendidikan dan berkomunikasi dengan baik maka akan timbul sifat keterbukaan, persefahaman dan toleransi antara satu sama lain. Pada hemat saya, mewujudkan satu sahaja aliran dalam sistem pendidikan negara serta penekanan tehadap penggunaan bahasa kebangsaan dapat menyelesaikan masalah perpaduan kaum yang semakin membelenggu masyarakat hari ini. Persis kata mutiara, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Isi 4

Pada masa yang sama, ledakan teknologi hari ini juga merupakan cabaran dalam mengekalkan perpaduan kaum. Kemudahan media massa dan sosial yang semakin pantas dalam menyampaikan sesuatu teks atau video telah menunjukkan sisi negatifnya. Penyebaran fitnah dan berita palsu semakin menular terutama apabila isu tersebut menyentuh sensitivi perkauman atau agama. Setiap individu sewajarnya bertanggungjawab dan beretika dalam menyampaikan atau berkongsi sesuatu perkara yang sensitif dan mungkin tidak sahih. Netizen perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum memberi reaksi terhadap perkara yang menyentuh tentang perkauman dan agama. Pihak berkuasa wajar menguatkuasakan undang-undang kepada pelaku yang mencetuskan isu atau sesuatu perkara yang mampu menggolakkan perpaduan antara kaum. Ahli masyarakat juga bertanggungjawab menjadi mata-mata pihak berkuasa dimana jika ternampak sesuatu perkara yang akan menimbulkan kemarahan sesebuah kaum atau penganut agama, wajar untuk kita laporkan kepada pihak polis. Intihannya, penggunaan teknologi seperti media sosial sepatutnya menjadi perkara yang positif dalam kehidupan harian kita sebaliknya, penularan isu-isu yang menyentuh perpaduan kaum menjadi bahan perbualan masyarakat hari ini.

Penutup

Secara tuntas, pelbagai cabaran yang timbul dalam mengekalkan perpaduan kaum dalam negara kita. Pelbagai usaha telah diambil tetapi belum cukup untuk mengekalkan perpaduan kaum yang mudah untuk dimusnahkan. Kestabilan politik dan ekonomi merupakan antara aspek yang bakal menentukan keutuhan perpaduan kaum dalam negara ini. Semoga setiap di antara kita sedar betapa nikmatnya untuk hidup bersama-sama dengan kaum dan agama lain secara harmoni dan sejahtera. Cabaran mengekalkan perpaduan kaum ini sebenarnya merupakan tugas kita sendiri dalam memastikan pemimpin yang adil dipilih, amalan sikap toleransi serta bertolak ansur dilaksanakan dalam kehidupan harian masing-masing. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.