Karangan
Kepentingan Dan Kebaikan Pameran Kerjaya Kepada Pelajar
Bagi menguasai penulisan karangan Bahasa Melayu, para pelajar digalakkan untuk melakukan latihan tambahan. Kaedah ini secara langsung dapat membantu pelajar untuk mendedahkan diri kepada pelbagai tema dan tajuk soalan yang berpotensi menjadi pilihan soalan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Sebagai panduan untuk semua, berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan pameran kerjaya kepada pelajar.
Penulisan karangan Bahasa Melayu boleh menjadi rumit dan boleh menjadi mudah bergantung kepada kebolehan pelajar. Anda perlu membiasakan diri mengarang dan memilih tema dan tajuk yang mampu untuk dihuraikan dengan baik. Selain itu, penggunaan bahasa yang mudah tanpa sebarang kesalahaan ejaan atau tatabahasa dapat menjamin pemarkahan yang baik terhadap penulisan karangan anda. Bimbingan daripada guru juga mustahak supaya gaya penulisan pelajar menepati kehendak soalan dan penanda kertas peperiksaan.
Isi Kandungan
Kepentingan Dan Kebaikan Pameran Kerjaya Kepada Pelajar Khususnya Lepasan SPM
Isi-isi penting
- Memberi pendedahan terhadap landskap pekerjaan di Malaysia
- Peluang untuk berhubung dengan bakal majikan
- Dapat menguji kemahiran komunikasi
- Mendapat akses seminar atau bengkel percuma
- Melatih diri untuk sesi temu duga
- Dapat membantu dalam pemilihan kursus atau IPT
Baca juga: Permohonan UPUonline Kemasukan Ke IPTA UA IPG Matrikulasi
Contoh Karangan Kebaikan Pameran Kerjaya Kepada Pelajar
Pendahuluan
Kerjaya boleh didefinisikan sebagai perkembangan dan kemajuan seseorang dari segi pekerjaan. Lazimnya ia merujuk kepada jawatan tetap dan berkait dengan perkembangan secara beransur menaiki peringkat jawatan dalam sesebuah organisasi atau profesion. Persediaan tersebut didorong oleh bakat, minat dan kebolehan semulajadi serta pengaruh persekitaran seperti pendidikan dan latihan. Pameran kerjaya pula adalah satu acara yang mengumpulkan majikan-majikan untuk merekrut pekerja baharu dan pencari kerja mencari peluang-peluang kerjaya yang ditawarkan. Sejak kebelakangan ini, pameran kerjaya telah menjadi program yang dianjurkan secara besar-besaran kerana mendapat sambutan yang tinggi dari kalangan pelajar dan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT). Persoalannya, apakah manfaat atau kebaikan pameran kerjaya kepada pelajar yang masih dalam pengajian di peringkat IPT dan juga sekolah?
Isi 1
Antara kebaikan yang diperoleh pelajar jika berkunjung ke pameran kerjaya adalah pendedahan terhadap landskap kerjaya di Malaysia. Hal ini demikian kerana peluang kerjaya yang ditawarkan adalah mengikut perkembangan dan permintaan ekonomi semaasa negara kerana ia berkaitan dengan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan. Para pelajar boleh melihat profil dan latar belakang syarikat atau majikan yang menyertai program kerjaya. Seterusnya menyelidik dan menjangkakan apakah bidang kerjaya yang memberikan peluang yang tinggi dan sesuai dengan kemampuan serta latar belakang akademik para pelajar. Ia juga merupakan satu peluang untuk pelajar mengkaji pasaran kerjaya yang ditawarkan dan mengetahui bidang-bidang yang mendapat permintaan yang tinggi seperti bidang teknologi, perubatan dan sebagainya. Oleh itu, pendedahan ini mustahak agar pelajar dapat melakukan persediaan yang kukuh sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan. Mereka juga mendapat gambaran yang jelas tentang realiti pekerjaan hari ini dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.
Isi 2
Pada masa yang sama, pameran kerjaya juga memberikan kebaikan kepada para pelajar kerana dapat berhubung dengan bakal majikan. Selalunya syarikat atau majikan akan menghantar wakil pekerja mereka untuk menyampaikan maklumat dan berkongsi kelebihan bekerja dengan syarikat massing-masing. Dengan pendekatan ini, pelajar boleh bertanya secara terus akan kemusykilan yang berlegar di fikiran mereka terhadap bidang atau peluang kerjaya yang ditawarkan. Selain itu, terdapat syarikat-syarikat yang menawarkan biasiswa kepada pelajar sebagai salah satu cara merekrut pekerja yang cemerlang dan mempunyai potensi yang besar untuk syarikat mereka, bak kata bidalan sambil menyelam minum air. Sebagai contoh, biasiswa daripada Yayasan Khazanah yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad di mana pelajar berpeluang untuk menempatkan diri sejurus tamat pengajian di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Justeru, pameran kerjaya ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan tetapi ia juga membantu pelajar yang berkelayakan dan berpotensi untuk memohon tajaan biasiswa yang membantu mengurangkan beban kewangan diri dan juga keluarga pelajar.
Isi 3
Di samping itu, pameran kerjaya menawarkan pelbagai kebaikan kepada pelajar kerana ia adalah medan di mana pelajar boleh menguji kemahiran komunikasi mereka. Situasi ini boleh ditaksirkan apabila terdapat majikan yang akan menjalankan temu duga terbuka secara langsung di pameran kerjaya tersebut. Maka, pelajar boleh melihat, menilai atau menguji kemampuan diri apabila ditemu duga untuk mendapatkan pekerjaan. Peningkatan jumlah manusia dari hari ke hari telah menimbulkan sentimen kompetitif dalam kebanyakan perkara yang perlu dilalui oleh masyarakat hari ini. Generasi muda terutamanya perlu bersaing dengan calon-calon lain yang mempunyai latar belakang akademik yang sama tetapi peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah terhad. Maka untuk menonjolkan diri, setiap individu memerlukan kemahiran komunikasi yang baik di samping ketrampilan diri yang meyakinkan dan menarik. Pelajar perlu memberanikan diri untuk mencuba supaya kelak sudah terbiasa untuk menjawab dengan yakin, memberikan huraian kemahiran dengan tepat dan bertanyakan soalan yang bernas kepada bakal majikan anda. Persis kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Isi 4
Seterusnya, pameran kerjaya memberikan kebaikan yang berganda kepada pelajar kerana ia menawarkan bengkel atau seminar kerjaya secara percuma. Aktiviti seperti bengkel kerjaya adalah merupakan tarikan utama pengunjung yang hadir ke pameran kerjaya. Hal ini demikian kerana pihak penganjur akan menjemput panel-panel yang berkelayakan seperti wakil syarikat dan mereka yang bekerja dalam bidang sumber manusia untuk memberikan ceramah dan tips untuk mendapatkan pekerjaan. Sesi ini dapat memberikan informasi yang berguna kepada pelajar dalam memburu pekerjaan mereka serta berinteraksi dengan pakar tentang masalah yang dihadapi dan cara-cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Aktiviti ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mendengar dan melihat potensi bidang-bidang lain sekiranya terdapat panel yang membincangkan peluang pekerjaan dalam industri-industri tertentu. Intihanya, pelajar akan mendapat tauladan yang baik bagi diri mereka supaya mereka dapat mempraktikkan tips atau kemahiran terbaik apabila mereka keluar untuk mencari pekerjaan di masa akan datang.
Penutup
Kesimpulannya, pameran kerjaya dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang akan menamatkan alam persekolahan dan mula menceburi alam pekerjaan. Pendedahan yang penting ini dapat membantu mereka dalam merancang dan bersedia dengan baik untuk memasuki fasa kehidupan yang lebih mencabar. Semua pihak yang berkenaan perlu berganding bahu ibarat ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni untuk memantapkan pengisian pameran kerjaya supaya generasi muda hari ini dapat memperoleh manfaat yang maksimum. Keberkesanan program pendidikan kerjaya akan memberi kesan yang positif dalam diri pelajar. Impak yang positif ternyata akan membantu pelajar tersebut untuk membuat pilihan kerjaya dan seterusnya akan memberi kepuasan kepada mereka apabila memasuki alam kerjaya. Semoga generasi hari ini sedar bahawa kebolehan dan kemampuan mereka menjadi garis penentu kejayaan dan kegemilangan negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain.