Karangan

Cara Membanteras Jenayah Antarabangsa (Langkah Mengatasi)

Karangan Bahasa Melayu merupakan antara medan ujian yang mencabar kebolehan para pelajar. Hal ini kerana pelajar perlu mempunyai pengetahuan am yang baik dan sentiasa peka akan isu terkini yang melanda negara mahupun dunia. Tajuk soalan yang diberikan mungkin bertemakan isu tempatan tetapi berpotensi juga untuk diberikan tajuk soalan yang berkaitan dengan isu global. Berikut dikongsikan contoh karangan mengenai cara-cara menangani jenayah antarabangsa

Contoh di bawah boleh dijadikan rujukan para pelajar dalam menjawab soalan karangan Bahasa Melayu yang berkaitan. Terpulang kepada pelajar untuk menulis karangan berdasarkan kemahiran kreatif dan fikiran kritis masing-masing. Pelajar cuma perlu berhati-hati dengan penggunaan tatabahasa dan sentiasa rujuk pada guru samada penulisan pelajar menjawab kehendak soalan ataupun tidak.

Langkah Dan Cara Membanteras Jenayah Antarabangsa

peta minda cara banteras jenayah antarabangsa Cara Membanteras Jenayah Antarabangsa (Langkah Mengatasi)

Isi-isi penting

  • hubungan multilateral yang kukuh
  • perkongsian data dan maklumat secara global
  • merapatkan jurang ekonomi global
  • memperketatkan keselamatan di sempadan negara
  • memastikan kesedaran masyarakat tentang jenayah antarabangsa dan menjadi mata kepada pihak berkuasa
  • memperkukuh integriti pihak berkuasa

Baca juga:Senarai Kesalahan Imbuhan dan Ejaan dalam Bahasa Melayu

Contoh Karangan Cara-Cara Membanteras Jenayah Antarabangsa

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan yang serba mencabar akal dan minda kita terbit satu polemik yang menjadi wadah perbincangan secara global. Pola peningkatan jenayah antarabangsa semakin membimbangkan kita sebagai penghuni ibu pertiwi ini dan juga masyarakat dunia secara amnya. Jenayah pemerdagangan manusia, jenayah siber, penyeludupan dadah dan senjata api yang kian melarat sehingga memakan nyawa ribuan manusia yang tidak bersalah perlu ditangani secara kolektif. Persis kata mutiara, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang membawa maksud semua pihak harus bersama-sama menyumbang tenaga dalam menyelesaikan masalah ini dan menikmati hasilnya di waktu kelak. Oleh itu, kita perlu mencari cara-cara terbaik untuk membanteras jenayah antarabangsa supaya kesejahteraan sejagat dapat dicapai.

Isi 1

Prakarsa utama dalam memastikan jenayah yang melibatkan negara asing ini tidak berlaku adalah dengan mempunyai hubungan multilateral yang kukuh. Pucuk pimpinan negara kita sudah pun memastikan kita sentiasa mempunyai hubungan multilateral dengan negara asing apabila menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN. Penyertaan negara dalam organisasi internasional yang melibatkan pelbagai negara membolehkan kita mendapat bantuan ketenteraan dan teknologi keselamatan yang terkini daripada negara yang lebih maju. Namun begitu, kewujudan negara berkuasa veto telah merencat usaha untuk mencapai keamanan sejagat. Hal ini kerana terdapat jenayah antarabangsa berpunca daripada tindakan negara berkuasa veto ini dalam mendapatkan atau menjaga kepentingan mereka. Sekiranya setiap negara mengamalkan sikap toleransi dan terbuka dalam mengejar kemajuan, sudah pasti impian keamanan sejagat tidak mustahil.

Isi 2

Pada masa yang sama, kita wajar mengambil kesempatan akan kemajuan teknologi mutakhir ini. Perkongsian data atau maklumat yang berkaitan jenayah antarabangsa akan membantu dalam membanteras konflik yang mengganggu keharmonian global. Kerjasama antara agensi keselamatan antarabangsa seperti Interpol dengan agensi keselamatan tempatan seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) hendaklah digalakkan. Sebagai contoh, kita dapat lihat di dada akhbar dan siaran berita di televisyen akan tindakan pantas PDRM menangkap individu yang terlibat dengan fahaman ekstrimis dan berkompolt untuk melakukan jenayah seperti pengeboman dan sebagainya. Kecekapan anggota keselamatan negara kita seharusnya dipuji kerana dengan tindakan pantas dan bantuan maklumat daripada agensi keselamatan antarabangsa telah memastikan tiada insiden ekstrim yang berlaku di dalam negara kita.

Isi 3

Selain itu, cara yang dapat dilakukan bagi mengelakkan aktiviti jenayah antarabangsa adalah dengan merapatkan jurang ekonomi antara negara maju dengan negara yang ketinggalan. Faktor tekanan ekonomi dan kekurangan sumber telah menyebabkan jenayah seperti pemerdagangan manusia berlaku dek kerana mereka terpaksa mencari jalan demi mencari sesuap nasi. Maka, negara-negara maju seharusnya bersikap prihatin akan nasib negara lain yang sukar untuk menjalankan aktiviti pembangunan dengan berkongsi teknologi, ilmu pengetahuan dan model ekonomi yang dapat membantu mereka menjadi negara yang lebih baik berbanding sebelum ini. Bantuan pakar-pakar ekonomi dan idea bernas daripada generasi muda diperlukan dalam mewujudkan kesamarataan ekonomi dunia yang sekaligus mensejahterakan ketamadunan manusia hari ini.

Isi 4

Akhir sekali, tindakan jelas yang dapat dilakukan dengan pantas dalam membanteras jenayah antarabangsa adalah dengan memastikan sempadan negara dikawal ketat. Kita tidak boleh menafikan kecekapan anggota keselamatan kita dalam menjaga sempadan negara tetapi penjenayah hari ini semakin licik dan bijak untuk meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa. Tamsilnya, anggota keselamatan negara seharusnya mengadakan kerjasama rondaan dalam kalangan negara berjiran seperti di sempadan laut dan darat negara. Kerjasama ini dapat  mencegah kemasukan warga asing sacara haram yang boleh mengancam keselamatan negara. Hal ini berlaku kerana kedudukan Malaysia dengan negara jiran terutamanya Indonesia dan Thailand yang kondusif kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin. Dalam hidup berjiran kita seharusnya membantu satu sama lain dalam menyelesaikan masalah bak kata peribahasa Melayu, ibarat aur dengan tebing.

Penutup

Konklusinya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh semua pihak dalam membanteras jenayah antarabangsa. Pemimpin-pemimpin negara harus berganding bahu memanifestasi fikiran dalam mengorak langkah untuk membanteras kes jenayah antarabangsa sekaligus memastikan keselamatan sejagat terjamin. Kepentingan yang bersifat menguntungkan satu pihak sahaja dimana sebelah pihak akan menerima akibat haruslah dibuang dan diselesaikan dengan bersikap toleransi dan terbuka. Setiap nyawa di muka bumi ini berharga dan alangkah ruginya jika tiada tindakan diambil dalam membanteras jenayah antarabangsa yang mungkin membunuh seorang bakal doktor atau bakal pemimpin di masa hadapan. Semoga kita dikurniakan pemimpin yang berwibawa serta masyarakat yang madani agar keamanan dan keharmonian global dapat dicapai dengan jayanya.