Karangan
Usaha Dan Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Di Malaysia
Terdapat pelbagai kaedah dalam memastikan pelajar menguasai penulisan karangan Bahasa Melayu antaranya adalah dengan melakukan latihan tambahan. Pelajar juga boleh mencari contoh penulisan karangan secara atas talian seperti yang dikongsikan di bawah. Sebagai panduan pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan langkah-langkah memajukan industri pelancongan negara (di Malaysia).
Untuk makluman semua, penulisan karangan Bahasa Melayu mempunyai pelbagai tajuk dan tema yang berpotensi menjadi soalan pilihan karangan dalam peperiksaan. Oleh itu, dengan pendedahan yang cukup, pelajar mampu menjawab soalan dan mengarang penulisan yang baik dan cemerlang. Bimbingan serta rujukan daripada guru masing-masing juga penting supaya pelajar menepati kehendak soalan yang diberikan.
Isi Kandungan
Usaha Dan Langkah Meningkatkan Sektor Pelancongan Di Malaysia
Isi-isi penting
- Meningkatkan prasarana awam
- Mengukuhkah tahap keselamatan
- Menganjurkan acara atau kejohanan antarabangsa
- Menggunakan teknik pemasaran yang unggul
- Memperkasa pelancongan desa dan agro
- Melaksanakan kajian dan maklum balas dalam kalangan komuniti tempatan
Baca juga: Kepentingan Menyambut Hari Kemerdekaan
Contoh Karangan Langkah-Langkah Memajukan Industri Pelancongan Negara
Pendahuluan
Sedasawarsa ini, Malaysia semakin dikenali sebagai lokasi pelancongan pilihan warga asing terutamanya daripada negara beriklim sejuk. Kedudukan geografi negara yang terletak di garisan khatulistiwa telah menyebabkan cuaca yang panas dan lembap di mana ia menjadi antara faktor yang menarik pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia. Selain itu, kepelbagaian bentuk muka bumi seperti deretan pulau, gunung-ganang dan bandaraya yang penuh dengan keunikan budaya dan bangsa juga merupakan faktor penarikan pelancong. Izharnya, sektor pelancongan telah menjadi antara pendorong kerancakan ekonomi negara sejak kebelakangan ini. Maka, bagi memaksimakan potensi yang terdapat pada industri pelancongan negara, wajar untuk kita bincangkan langkah-langkah yang mampu membawa industri pelancongan negara ke tahap yang lebih baik.
Isi 1
Langkah pertama yang perlu diusahakan dalam memastikan industri pelancongan negara berada di tahap terbaik adalah dengan meningkatkan prasarana awam. Pihak kerajaan berperanan dalam melengkapkan kemudahan awam seperti jaringan pengangkutan dan perhubungan di dalam negara supaya ia menjamin keselesaan pelancong untuk berkunjung ke seluruh kawasan di Malaysia. Dengan adanya rangkaian perhubungan yang lengkap seperti lapangan terbang, lebuhraya dan pengangkutan awam yang efektif, tahap ketersampaian akan menjadi lebih baik. Hasilnya, pelancongan desa dan agro dapat meningkatkan jumlah pelancong domestik mahupun antarabangsa. Bak kata peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air di mana inisiatif melengkapkan prasarana awam bukan sahaja dapat meningkatkan industri pelancongan malah memastikan kesejahteraan hidup masyarakat konvensional terjamin.
Isi 2
Seiring dengan langkah di atas, industri pelancongan akan bertambah maju sekiranya pihak berkuasa mengukuhkan tahap keselamatan dalam negara. Mutakhir ini, pelbagai kes jenayah seperti kes penculikan, ragut dan rompakan telah memenuhi dada-dada akhbar serta menjadi berita utama di televisyen. Senario ini akan menimbulkan kebimbangan para pelancong terutamanya pelancong asing yang berhasrat untuk berkunjung ke Malaysia. Bagi menjernihkan air yang semakin keruh, pihak berkuasa hendaklah melaksanakan inisiatif keselamatan negara yang lebih menyeluruh. Sebagai contoh, penambahan bilangan anggota keselamatan di kawasan tumpuan pelancong atau pemasangan kamera litar tertutup sebagai mata-mata yang mampu menjejak perkara yang meragukan atau berpotensi menyebabkan kejadian jenayah berlaku. Intihannya, pelancong akan lebih selesa untuk berkunjung tanpa memikirkan ancaman keselamatan terhadap diri mereka serta imej negara terpelihara.
Isi 3
Mekasnime lain yang boleh dilaksana bagi memajukan industri pelancongan negara adalah dengan menganjurkan acara antarabangsa dengan lebih kerap. Sebelum ini, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menganjurkan Kejohanan Formula 1 dengan adanya Litar Antarabangsa Sepang. Terdapat juga penganjuran acara lain seperti Le Tour de Langkawi dan Pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) yang mendapat sambutan yang memberansangkan dalam kalangan pelancong asing dan tempatan. Walaupun penganjuran acara sukan atau pameran antarabangsa memakan kos yang tinggi tetapi pulangan yang terhasil adalah berbaloi. Hal ini demikian kerana, kedatangan pelancong asing bukan sahaja tertumpu pada musim tertentu sahaja tetapi ia akan berterusan sepanjang tahun untuk menyertai acara atau kejohanan antarabangsa yang dianjurkan dalam negara. Persis peribahasa Melayu, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Jelaslah bahawa penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan industri pelancongan negara kerana peserta atau atlet yang menyertai acara terbabit akan menjadi ejen pelancongan negara serta membuka mata peminat mereka di seluruh pelusuk dunia terhadap keunikan tanah air kita.
Isi 4
Bagi mendokong langkah-langkah yang telah diutarakan, industri pelancongan negara seharusnya dipromosikan dengan teknik pemasaran yang unggul. Langkah ini adalah mustahak kerana dalam mendepani era teknologi dan globalisasi hari ini, kumpulan sasar sesuatu perkara dapat diperluaskan ke segenap pelusuk dunia. Dengan perkembangan teknologi tanpa batasan, kita dapat menghasilkan iklan atau video yang boleh ditonton oleh semua pengguna teknologi pintar. Maka, bagi menarik kehadiran pelancong untuk berkunjung ke negara kita terutamanya dalam kalangan pelancong antarabangsa, teknik pemasaran yang efektif harus dilaksanakan. Sebagai contoh, hasil produk dan tenaga kerja penyiaran tempatan, saluran GO ASEAN telah berjaya memaparkan kecantikan dan keunikan kawasan pelancongan dalam negara ke pasaran dunia. Pendekatan menggunakan personaliti atau selebriti untuk menikmati aktiviti pelancongan di tempat-tempat tertentu merupakan formula terbaik dalam menarik perhatian pelancong serta memaparkan infrastruktur yang selesa bagi para pelancong.
Penutup
Secara tuntasnya, pelbagai langkah yang boleh digarap oleh semua pihak dalam meningkatkan tahap kemajuan industri pelancongan negara. Setiap inisiatif yang direncanakan memerlukan obligasi dan komitment yang jitu dari pihak yang terbabit seperti kerajaan, kakitangan awam, agensi pelancongan dan pengusaha pusat pelancongan. Masyarakat pula seharusnya menyokong usaha pragmatik yang diperkenalkan dengan kerap melancong di pusat-pusat pelancongan dalam negara. Keindahan dan kekayaan alam semula jadi serta keunikan budaya kita seharusnya menjadi agenda utama dalam mempromosikan negara di persada antarabangsa. Semua pihak seharusnya sedar bahawa industri pelancongan negara mempunyai potensi yang besar dan setanding dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Diharapkan agar Malaysia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara asing lain khususnya dalam memacu industri pelancongan sebagai penyumbang utama perkembangan ekonomi negara.