Karangan

Kepentingan Dan Kebaikan Amalan Membaca Kepada Masyarakat

Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang melakukan lebih daripada apa yang diarahkan oleh guru mahupun ibu bapa. Hal ini kerana pelajar cemerlang tahu akan manfaat sekiranya mereka bekerja keras dalam melakukan latihan tambahan bagi menambah baik setiap aspek dalam pembelajaran yang diambil. Bagi penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar perlu menulis pelbagai jenis tajuk karangan agar ia menjadi kebiasaan dan dapat membantu dalam peperiksaan kelak. Berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan amalan membaca kepada masyarakat untuk panduan pelajar.

Tajuk karangan amalan membaca adalah tajuk yang ringan untuk dijawab oleh pelajar. Topik seperti ini mudah untuk pelajar memberikan isi-isi penting yang berkaitan serta memberikan pengolahan yang menarik terhadap tajuk yang diberikan. Penggunaan peribahasa, penanda wacana dan tatabahasa yang betul dan tepat akan membantu pelajar dalam mendapatkan markah cemerlang dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.

Kepentingan Dan Manfaat Amalan Membaca Kepada Masyarakat

peta minda kebaikan amalan membaca Kepentingan Dan Kebaikan Amalan Membaca Kepada Masyarakat

Isi-isi penting

  1. menambah ilmu pengetahuan
  2. mengisi masa lapang
  3. menambahkan perbendaharaan kata
  4. meningkatkan pencapaian bahasa
  5. meningkatkan ekonomi negara
  6. mengetahui berita atau isu semasa

Baca juga: Peranan Ibu Bapa Dalam Mengatasi Masalah Gejala Sosial

Contoh Karangan Kebaikan Amalan Membaca Kepada Masyarakat

Pendahuluan

Dalam meniti era globalisasi ini, amalan membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda semakin pudar. Terdapat kajian yang menyatakan purata pembacaan buku oleh setiap rakyat Malaysia hanya dua buah buku sahaja setahun. Angka ini adalah rendah untuk sebuah negara yang sedang pesat membangun dan mempunyai visi untuk bersaing dengan negara maju yang lain. Pelbagai inisiatif seperti Program NILAM di peringkat sekolah dan penganjuran pesta buku telah diadakan tetapi ia seperti mencurahkan air ke daun keladi. Kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat untuk menjadikan amalan membaca sebagai tabiat kehidupan akan merugikan kita. Justeru, kita perlu kupas kebaikan yang diperoleh sekiranya kita mengamalkan budaya membaca.

Isi 1

Faedah paling utama dalam mengamalkan budaya membaca ialah ia akan meluaskan pengetahuan setiap individu. Rata-rata, falsafah pendidikan dimulakan dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira. Maka, apabila kita sudah mahir membaca, kita akan mendapat pelbagai maklumat dan informasi. Saban hari, makin banyak hasil penulisan dan terjemahan yang boleh kita baca bagi menambah pengetahuan kita terhadap sesuatu perkara dan memahami tentang sesuatu perkara tersebut. Apabila minda kita dibuka dengan pembacaan daripada sumber yang sahih dan dipercayai, proses pemikiran kita tentang kehidupan harian akan berlainan dan menjadi lebih bijak serta matang untuk membuat keputusan yang betul.

Isi 2

Selain itu, amalan membaca merupakan amalan terbaik untuk dilakukan seseorang dalam mengisi masa lapang. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di waktu senggang seseorang tetapi adalah digalakkan untuk kita melakukan aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan dan membaca. Sebagai contoh, sukan membantu diri kita dalam penjagaan kesihatan diri secara fizikal dan secara spiritual, amalan membaca dapat membantu kita untuk menjadi insan yang lebih baik serta berguna berbanding diri kita yang dahulu. Justeru, membaca di masa lapang adalah suatu perkara yang perlu menjadi tabiat kita kerana masa itu emas.

Isi 3

Amalan membaca juga dapat membantu menambah perbendaharaan kata yang mungkin kita tidak pernah tahu sebelum ini. Tidak dinafikan bahawa ketika kita membaca, kita akan menjumpai perkataan yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Perkara ini akan membuatkan kita mencari definisinya untuk mengetahui maknanya dengan lebih lanjut. Tambahan pula, pada era ledakan sains dan teknologi ini, penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris amatlah penting untuk menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Oleh itu, pembacaan buku-buku berbahasa asing dapat meningkatkan kosa kata dalam bahasa tersebut sekali gus mendorong kita untuk menguasai bahasa tersebut. Seperti peribahasa Melayu, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Isi 4

Akhir sekali, membaca membantu meningkatkan pencapaian bahasa seseorang. Terdapat lebih 2000 bahasa yang digunakan di seluruh pelusuk dunia dan daripada setiap bahasa tersebut, pasti terdapat nilai atau ilmu yang boleh kita pelajari. Pelbagai karya yang boleh dibaca termasuk terjemahan bagi memudahkan kita untuk memahami karya yang dihasilkan oleh penulis. Maka dengan pembacaan yang meluas kita akan berfikiran lebih terbuka dalam menilai setiap aspek dalam kehidupan. Membaca dapat mengelakkan kita menjadi seperti katak di bawah tempurung. Peribahasa Melayu tersebut membawa maksud kita hanya hidup dalam linkungan yang kita tahu sahaja dan tidak mengambil langkah untuk berkembang dan bertambah maju.

Penutup

Konklusinya, pelbagai faedah yang boleh didapati daripada membaca terutamanya dalam kalangan masyarakat. Nilai pengetahuan akan bertambah dan begitu juga gaya pemikiran yang lebih luas, mampu memacu negara ke arah kemajuan sejagat. Dengan generasi yang berpendidikan baik dan bijaksana, kita mampu menyaingi negara-negara maju yang lain dalam menghadapi masa hadapan ibarat kata pepatah Melayu, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Semoga rakyat kita mampu menjadikan amalan membaca sebagai budaya yang menjadi kebiasaan kepada generasi-generasi yang akan datang.