Karangan

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang (Contoh Karangan)

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Apakah tema dan tajuk soalan yang sering digunakan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu? Untuk makluman pelajar, pelbagai tema daripada diri, keluarga, masyarakat dan negara yang berpotensi menjadi tajuk soalan pilihan karangan. Selain itu, penulisan karangan juga terbahagi kepada dua jenis iaitu berformat dan tidak berformat. Maka, pelajar perlu bersedia dengan melakukan latihan tambahan yang diberikan oleh guru atau membuat rujukan sendiri secara atas talian. Sebagai rujukan pelajar, berikut adalah contoh karangan ciri-ciri pelajar cemerlang.

Karangan yang bertemakan pelajar pasti mudah untuk dijawab. Para pelajar mampu memberikan isi-isi penting yang berkaitan untuk dihurai dengan pengolahan yang menarik. Antara kriteria untuk mendapatkan penulisan karangan yang cemerlang adalah penggunaan tatabahasa yang betul serta frasa-frasa menarik yang tepat. Oleh itu, pelajar digalakkan untuk banyak membaca dan menulis karangan sebagai latihan untuk menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang.

peta minda ciri ciri pelajar cemerlang

Ciri-Ciri Pelajar Yang Cemerlang

Isi-isi penting

  • Bermoral tinggi dan berakhlak baik
  • Menumpukan perhatian dalam pembelajaran
  • Mengulang kaji pelajaran
  • Aktif dalam aktiviti kokurikulum
  • Menjaga kesihatan dan kebersihan
  • Belajar daripada kesilapan

Baca juga: Contoh-Contoh Karangan Bahasa Melayu SPM Terbaik

Contoh Karangan Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Pendahuluan

Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau. Ungkapan tersebut memberikan perumpamaan bahawa pelajar yang cemerlang mampu untuk mengadaptasi dalam apa jua keadaan untuk berjaya. Kumpulan ini sukar untuk dicipta tetapi jika berjaya dilahirkan, masa hadapan masyarakat dan negara pasti akan mencapai tahap kemajuan yang terbaik. Setiap pihak berperanan dalam memberikan sumbangan untuk melahirkan pelajar cemerlang. Namun, ianya akan bergantung kepada iltizam pelajar tersebut sama ada untuk mengamalkan ciri-ciri pelajar cemerlang atau sebaliknya. Apakah ciri-ciri yang menjadikan seseorang pelajar itu sebagai pelajar cemerlang?

Isi 1

Antara ciri pelajar cemerlang adalah bermoral tinggi dan mempunyai akhlak yang baik. Hal ini demikian kerana, pelajar yang bermoral tinggi akan menerapkan nilai-nilai murni yang baik dalam kehidupan seharian mereka. Dengan akhlak yang baik pula, pelajar dapat menerapkan nilai keagamaan yang dipelajari dalam membuat keputusan yang betul. Ciri ini dapat membantu pelajar untuk tidak terjebak dengan permasalahan sosial seperti membuang masa melepak di pusat membeli belah dan bergaul bebas dengan golongan yang bermasalah. Persis kata Peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu dan bapa perlu menjadi tauladan terbaik kepada anak-anak di rumah manakala guru akan menambah nilai dalam memantapkan sahsiah pelajar di sekolah. Kesannya, pelajar yang bermoral tinggi dan berakhlak baik pasti akan menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum.

Isi 2

Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menumpukan perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Bukan sahaja dalam persekolahan tetapi dalam kehidupan harian, jika kita menumpukan perhatian dalam melakukan sesuatu hasil yang baik akan diperoleh. Guru di sekolah saban tahun mengajar anak murid input yang sama, justeru pelajar yang perlu peka dan cakna atas setiap tutur kata yang diberikan oleh mereka. Tambahan pula, tips-tips yang sering kali tiada dalam buku teks adalah merupakan sebab kenapa pelajar perlu menumpukan perhatian bagi menghadapi peperiksaan yang bakal diduduki. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Intihannya, pelajar yang menumpukan perhatian dalam kelas dapat melahirkan pelajar yang cemerlang.

Isi 3

Pada masa yang sama, pelajar yang cemerlang akan sentiasa memastikan latihan yang diberikan oleh guru disiapkan dan mengulang kaji pelajaran di rumah. Apabila pelajar berusaha melengkapkan latihan yang ditugaskan, mereka pasti memahami dan berjaya menguasai subjek tersebut dengan baik. Manakala, mengulang kaji pelajaran adalah penting bagi mengaktifkan memori jangka masa panjang dalam pembelajaran yang telah diulang kaji. Sebagai contoh, pelajar memperuntukkan masa sebanyak tiga jam setiap hari bagi mengulang kaji pelajaran. Jika pelajar berjaya mengekalkan disiplin ini, mereka akan menjadi seorang yang menepati masa. Seperti pesanan orang-orang tua, belakang parang kalau diasah, lagikan tajam yang bermaksud sekiranya pelajar ingin menjadi cemerlang latihan yang kerap akan membantu diri mereka untuk menjadi insan yang lebih cemerlang.

Isi 4

Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang adalah apabila mereka aktif dalam aktiviti kokurikulum. Mutakhir ini, pencapaian akademik bukanlah segala-galanya. Penajaan biasiswa dan syarat kelayakan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi akan dinilai secara menyeluruh termasuklah pencapaian di luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum seperti persatuan, kelab permainan dan badan beruniform dapat membentuk sesorang murid menjadi individu lebih berdisiplin dan mengasah sifat kepimpinan. Melibatkan diri dalam bidang sukan dan permainan pula dapat meningkatkan kesihatan serta berkomunikasi dengan baik secara berkumpulan. Kesannya, penglibatan yang aktif oleh pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan menjadikan mereka lebih cemerlang.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai ciri-ciri yang membentuk seseorang pelajar untuk menjadi cemerlang. Setiap pihak berperanan dalam membimbing dan memberikan tauladan terbaik kepada para pelajar dalam menjadi seorang individu yang berguna kelak untuk keluarga, masyarakat dan negara. Semoga genarasi muda hari ini menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama iaitu mempunyai kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan agama yang disebut-sebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Diharapkan golongan pelajar cemerlang ini berjaya dihasilkan dan menjadi harapan nusa bangsa untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Persis kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.