Karangan

Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Membaca Dalam Kalangan Anak-Anak

Karangan Bahasa Melayu adalah salah satu jenis soalan peperiksaan yang perlu dihadapi oleh pelajar. Penilaian ini bagi melihat kebolehan dan penguasaan pelajar terhadap pengajian Bahasa Melayu sepanjang pembelajaran di sekolah. Maka, penting untuk pelajar menguasai penulisan karangan Bahasa Melayu kerana ia adalah mudah dan memerlukan teknik yang betul dalam menghasilkan karangan yang baik. Berikut dikongsikan contoh karangan peranan ibu bapa untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak sebagai panduan pelajar.

Antara kaedah bagi menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang adalah menggunakan peribahasa yang berkaitan dengan isi dalam huraian masing-masing. Penggunaan ini menunjukkan pemahaman pelajar yang jelas terhadap isi serta penggunaan bahasa yang menarik dalam karangan. Selain itu, meletakkan penanda wacana pada permulaan ayat dalam karangan juga menambah nilai terhadap karangan yang ditulis oleh para pelajar. Diingatkan bahawa setiap penulisan karangan pelajar perlu dibimbing atau disemak oleh guru di sekolah agar ia tidak terpesong daripada kehendak soalan.

peta minda peranan ibu bapa memupuk amalan membaca dalam kalangan anak anak Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Membaca Dalam Kalangan Anak-Anak

Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Membaca Dalam Diri Anak-Anak

Isi-isi penting

  • membudayakan amalan membaca di rumah
  • berkunjung ke pameran dan pesta buku
  • menambah variasi bahan bacaan
  • membaca artikel dan jurnal secara atas talian
  • menyertai kelab membaca atau perpustakaan
  • menyediakan bilik atau sudut bacaan yang khas

Baca juga: Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan

Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Membaca Dalam Kalangan Anak-Anak

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan hari ini, sukar untuk kita melihat golongan kanak-kanak dan remaja yang gemar untuk membaca. Hal ini disebabkan oleh lambakan teknologi mudah alih yang membekalkan permainan dan video interaktif di atas talian. Kemudahan dari segi masa dan akses telah membuatkan golongan anak-anak hari ini lebih gemar untuk berhibur menggunakan telefon bimbit secara maya berbanding melakukan aktiviti yang lebih berfaedah seperti membaca. Alasannya adalah kerana membaca memerlukan minda untuk berfikir dan membosankan berbeza daripada permainan secara maya di telefon bimbit yang menghiburkan. Anak-anak doleh dianggap sebagai kain putih dan ibu bapa adalah insan yang bertanggungjawab mencorakkan kehidupan mereka samada menjadi manusia yang berguna atau tidak di masa akan datang. Oleh itu, ibu dan bapa memainkan peranan penting bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Isi 1

Bagi menghuraikan peranan ibu bapa dalam memupuk anak-anak, ingin saya tegaskan bahawa ibu dan bapa perlu sedar bahawa keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat adalah amanah dan tugas yang perlu dilaksana dengan ikhlas. Kejayaan negara bergantung kepada kejayaan masyarakat yang dibina atas hasil didikan dan asuhan yang bermula daripada ibu bapa di rumah. Justifikasinya, ibu dan bapa sendiri perlu membudayakan amalan membaca di rumah agar menjadi tauladan kepada anak-anak. Peribahasa Melayu berkata, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi yang bermaksud tabiat dan perilaku anak-anak mencerminkan kelakuan ibu bapa mereka. Maka, ibu dan bapa boleh memperuntukkan masa untuk membaca di waktu terluang seperti sebelum waktu tidur untuk membaca bersama anak-anak selama satu jam atau lebih. Rutin yang dilakukan dengan ikhlas, pasti akan memberikan hasil yang baik.

Isi 2

Selain daripada itu, anak-anak memerlukan keterujaan dalam membuat sesuatu perkara. Oleh itu, kunjungan ke pesta atau pameran buku pasti dapat membantu memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak. Hal ini demikian kerana penganjuran pesta buku sejak akhir-akhir ini dilaksanakan dengan meriah dan kaya dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik. Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah menarik dan menerima potongan harga untuk pembelian buku di pameran tersebut. Inisiatif yang berbeza ini mungkin dapat membantu anak-anak untuk mencambah minat mereka terhadap membaca. Tambahan pula, kunjungan ke pameran buku membolehkan kita untuk melihat pelbagai jenis bahan bacaan yang dipamerkan. Setiap buku pasti mengandungi ilmu-ilmu yang berfaedah. Natijahnya, ibu dan bapa perlu bijak dengan memberikan ruang kepada anak-anak untuk memilih bahan bacaan yang diminati seterusnya membimbing mereka ke arah pembacaan yang lebih baik daripada pembacaan mereka sebelum ini.

Isi 3

Kesinambungan daripada kunjungan ke pesta atau pameran buku, golongan ibu dan bapa seharusnya memberikan mereka pilihan bahan bacaan yang pelbagai. Sebagai contoh, seorang anak gemar untuk mendapatkan buku yang mempunyai banyak imej dan gambaran visual berbanding pemulisan maka anda perlu membimbing mereka dengan memperkenalkan bahan bacaan yang mempunyai intipati yang sama tetapi lebih informatik seperti buku dekorasi perumahan atau pelancongan. Dengan observasi seperti ini, secara tidak langsung kita dapat mencungkil minat mereka seterusnya mendedahkan kepada mereka terhadap bidang-bidang yang mungkin mereka ceburi menjelang dewasa kelak. Kepada ibu dan bapa yang dikurniakan anak-anak yang gemar membaca, variasikan bahan bacaan mereka dari segi bahasa. Penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris adalah penting dan mampu menjadi nilai tambah dalam diri mereka di masa akan datang.

Isi 4

Seterusnya, jika anak-anak enggan dan sukar untuk dipupuk membaca bahan bacaan secara fizikal, ibu dan bapa boleh berkongsi dengan mereka artikel-artikel secara atas talian. Langkah ini sedikit sebanyak akan membuatkan anak-anak untuk membaca hanya menggunakan telefon pintar mereka. Pelbagai jenis artikel dan jurnal yang boleh dikongsikan mengikut tahap dan perkara yang sesuai dengan anak-anak. Tamsilnya, artikel menarik seperti ulasan sukan yang diminati bersama boleh dikongsikan kepada anak dan meminta pendapat mereka terhadap sukan atau atlet yang dibincangkan dalam artikel tersebut. Secara tidak langsung, perkongsian ini dapat membawa kepada tahap komunikasi antara anak dan ibu atau bapa ke peringkat yang  lebih baik dan matang. Kebanyakan artikel yang diperoleh secara atas talian adalah ringkas tetapi padat dengan informasi yang ingin diketengahkan berbeza dengan pembacaan buku fizikal yang penuh dengan huraian. Oleh itu, pembacaan ringkas tetapi bermakna juga mampu memberikan hasil yang baik serta memupuk anak-anak untuk mengamalkan pembacaan samada secara fizikal atau maya.

Penutup

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, jelaslah bahawa ibu dan bapa berperanan besar untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak. Peribahasa Melayu berkata bapa borek, anak rintik yang bermaksud sifat seseorang anak tidak jauh bezanya dengan sifat orang tuanya. Maka ibu dan bapa perlu sentiasa melakukan anjakan paradigma untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada hari semalam seterusnya menjadi suri tauladan terbaik untuk anak-anak di rumah. Bangsa membaca adalah bangsa berjaya, cogan kata ini perlu dijadikan slogan kepada setiap ahli masyarakat bagi menghasilkan masyarakat yang progesif dan terbaik. Sekiranya generasi muda kita kaya dengan amalan baik seperti membaca demi menambah imu pengetahuan, pasti negara berpotensi untuk maju bersama dan bersaing dengan negara-negara lain di masa akan datang.