Karangan
Kepentingan Dan Faedah Amalan Berjimat Cermat
Selain isu berkaitan kesihatan dan perpaduan, isu berkaitan ekonomi diri atau negara kerap menjadi soalan dalam penulisan karangan. Isu yang boleh dikaitkan dengan golongan muda wajar menjadi soalan agar pelajar dapat mengambil iktibar daripada penulisan mereka. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan faedah-faedah amalan berjimat cermat dalam kehidupan generasi muda kini.
Seperti contoh dibawah, pelajar-pelajar boleh merujuk isi-isi berkaitan dan menghuraikan mengikut kemampuan dan daya kreatif masing-masing. Ianya terdiri daripada pendahuluan, empat isi penting dan penutup. Penulisan karangan yang baik hendaklah mempunyai pendahuluan, isi-isi penting dan penutup yang seimbang. Di samping itu, pengurangan kesalahan tatabahasa dan ejaan dapat membantu pelajar mendapat markah yang lebih baik dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.
Isi Kandungan
Kepentingan Dan Faedah Amalan Berjimat Cermat Dalam Kehidupan Generasi Muda Kini
Isi-isi penting
- pengurusan kewangan yang baik
- mengelakkan terjebak dalam belenggu hutang
- mempunyai simpanan untuk masa hadapan
- memupuk sikap berdikari
- melahirkan pengguna yang bijak
- persediaan untuk alam persaraan
Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu
Contoh Karangan Faedah-Faedah Amalan Berjimat Cermat Dalam Kehidupan Generasi Muda Kini
Pendahuluan
Dasawarsa ini, peningkatan kos sara hidup dalam negara kita semakin merunsingkan pemikiran masyarakat. Keupayaan untuk pengguna untuk membeli yang berkurang atas tekanan ekonomi adalah realiti yang kurang baik untuk ekonomi negara. Jadi bagi mengekalkan simbiosis antara pembekal dan pembeli, keupayaan membeli boleh dijalankan dengan mempraktikkan amalan berjimat cermat. Pelbagai manfaat yang akan diperoleh terutamanya kepada golongan generasi muda kini jika mengamalkan jimat cermat dalam berbelanja.
Isi 1
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa golongan muda hari ini berbelanja lebih kerap atau dalam kuantiti yang banyak berbanding generasi dahulu. Jelas sekali dari segi gajet-gajet yang semakin memenuhi pasaran dan diperlukan oleh generasi muda dalam memudahkan urusan harian mereka. Tetapi mereka hendaklah berbelanja dalam kemampuan mereka dan berjimat cermat dengan memilih produk yang berkualiti dan sesuai digunakan dengan kehidupan harian masing-masing. Bak kata peribahasa Melayu, ukur baju dibadan sendiri yang bermaksud kita hendaklah mengetahui kemampuan diri kita sendiri. Langkah ini membantu mereka dalam pengurusan kewangan kerana ia adalah mustahak dalam memasuki alam dewasa.
Isi 2
Sejak kebelakangan ini, berita mengenai golongan muda diisytiharkan muflis semakin menjadi polemik masyarakat kita. Penggunaan kad kredit dalam perbelanjaan tanpa hemah dan tiada komitmen dalam menyelesaikan hutangnya mengakibatkan ramai golongan muda dikategorikan muflis. Rekod peribadi kita juga akan terjejas sekiranya kita terlibat dengan hutang yang banyak di mana urusan pembelian aset seperti rumah atau kereta boleh disekat akibat rekod pembayaran yang tidak konsisten. Justeru, amalan berjimat cermat dapat menglakkan kita dari terjerumus ke dalam lembah hutang. Pelbagai alternatif yang boleh dimanfaatkan golongan muda dalam berjimat cermat seperti mencari baucer, promosi dan diskaun yang berbaloi untuk kita melaburkan wang kita ke atas apa yang dihajati.
Isi 3
Di samping itu, amalan berjimat cermat memberikan faedah yang tersurat kepada kita iaitu menambah kepada simpanan wang kita untuk masa hadapan. Sebagai contoh, berlaku kemalangan dalam kalangan keluarga kita, kita hendaklah bersedia membantu terutamanya dalam bentuk kewangan. Dengan penjimatan yang kita amalkan ketika berbelanja.dapat membantu kita menabung lebihan pendapatan kita untuk situasi kecemasan atau masa hadapan. Kita merancang, tuhan yang menentukan, segala perkara yang kita ada hari ini mungkin boleh hilang dalam sekelip mata. Oleh itu, kita seharusnya bersyukur dengan keberadaan kita serta bersedia sebaiknya dalamĀ menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
Isi 4
Selain itu, amalan berjimat cermat mampu memupuk sikap berdikari dalam golongan muda hari ini. Hal ini kerana, jika mereka berdisiplin mempraktikkan amalan ini maka simpanan mereka sudah pasti cukup untuk menampung diri sendiri. Golongan muda seperti ini tidak perlu bergantung pada ibu bapa yang juga perlu menyelesaikan komitmen lain seperti rumah dan kereta. Mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab dalam memastikan masa hadapan mereka mampu hadapi dengan kewangan yang kukuh. Maka, kerajaan sewajarnya membantu mengurangkan kos sara hidup dan tekanan ekonomi hari ini agar golongan muda ini mampu berdikari daripada tanggungan ibu bapa dan di bayar gaji yang selaras dengan mutu kerja seseorang .
Penutup
Akhir kalam, amalan berjimat cermat dapat membantu dalam menguruskan kewangan golongan muda terutamnya dalam menghadapi tekanan ekonomi yang serba tidak menentu pada hari ini. Golongan muda hendaklah memulakan langkah ini bagi mendapat manfaat pada waktu kelak. Seperti peribahasa Melayu berkata, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit yang bermaksud jika kita amalkan sesuatu perkara itu sedikiit demi sedikit nanti hasilnya akan banyak seperti bukit. Semoga golongan muda sedar akan kepentingan mengurus kewangan mereka dengan amalan berjimat cermat agar melahirkan masyarakat yang bijak dan progesif di samping membantu merancakkan ekonomi negara ke arah yang lebih baik.