Karangan
Persediaan Menempuh Alam Pekerjaan Untuk Remaja Atau Graduan
Pekerjaan adalah lumrah manusia yang menjadi khalifah dimuka bumi ini. Maka soalan yang berkaitan bidang pekerjaan menjadi pilihan guru untuk menguji para pelajar dalam penulisan karangan. Pelajar boleh merujuk idea dan isi sebagai panduan dalam menjawab latihan atau menghadapi peperiksaan kelak. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan persediaan menempuh alam pekerjaan untuk golongan remaja ataupun graduan.
Untuk menjawab soalan seperti ini, pelajar perlu merujuk kepada orang yang berpengalaman seperti ibu dan bapa pelajar. Pelajar juga sedikit sebanyak dapat mengambil iktibar dan mempelajari apa yang perlu dilakukan sebelum menempuh alam pekerjaan misalnya. Justeru, bagi menguasai penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar bukan sahaja memerlukan latihan malah pengetahuan am yang banyak akan membantu pelajar dalam memberikan olahan yang baik dalam karangan.
Isi Kandungan
Persediaan-Persediaan Sebelum Menempuh Alam Pekerjaan
Isi-isi penting
- kelayakan akademik dalam pekerjaan
- kemahiran komunikasi
- ketahanan fizikal dan mental
- mengetahui prospek dan risiko kerjaya
- menguasai kemahiran penyelesaian masalah
- bersikap toleransi dan rasional
Baca juga: Kesalahan Lazim Dalam Karangan Bahasa Melayu
Contoh Karangan Persediaan Sebelum Menempuh Alam Pekerjaan
Pendahuluan
Alam pekerjaan merupakan suatu fasa dalam kehidupan yang semua manusia akan tempuh demi mencari pendapatan. Pendapatan digunakan untuk menyara kehidupan diri, keluarga dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara dan juga agama. Berbeza dengan sedekad yang lalu, pekerjaan yang stabil semakin sukar untuk diperoleh kerana berlaku kadar persaingan yang amat banyak. Pelbagai faktor yang mendorong perkara ini berlaku sehinggakan ramai yang menganggur dan memilih untuk menceburi bidang lain seperti usahawan dan sebagainya. Jadi, para pelajar terutamanya mahasiswa-mahasiswi perlu bersedia dalam segala aspek sebelum menempuh alam pekerjaan.
Isi 1
Langkah pertama adalah dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dengan mengambil kursus yang berkaitan dengan pekerjaan yang ingin diceburi nanti. Perkembangan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tidak kira awam atau swasta telah menyumbang kepada kelahiran graduan yang mampu bersaing dan bersedia untuk bekerja selepas tamat pengajian. Memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bidang yang diceburi akan memberi kelebihan kepada para pelajar sebelum mempraktikkan secara amali teori-teori atau latihan yang dilakukan semasa dalam pengajian. IPT juga akan mengadakan latihan industri di mana pelajar akan bekerja di dalam industri berkaitan sebagai langkah persediaan sebelum tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan. Natijahnya pelajar perlu mencapai keputusan yang cemerlang jika ingin bersaing dalam mencari pekerjaan yang stabil dan menjadi impian.
Isi 2
Seterusnya, golongan yang ingin berkecimpung dalam alam pekerjaan perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi dan baik. Kemahiran komunikasi adalah seperti berhemah dalam berkata-kata, mampu menganalisis sesuatu keadaan dan cekap dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Kemahiran ini tidak diperoleh melalui subjek di IPT tetapi ia perlu dilatih dalam diri sendiri kerana ia bergantung kepada sikap dan tindakan yang selalu diambil oleh seseorang individu dalam suatu situasi. Maka, syarikat dan jabatan pekerjaan mencari seseorang yang mahir dalam komunikasi kerana pekerjaan melibatkan sebuah organisasi yang terdiri daripada pelbagai jenis umur dan kerenah. Perwatakan yang menarik dan mampu bergaul dengan baik sesama rakan sekerja menjadi suatu ciri penting dalam mendapatkan pekerjaan.
Isi 3
Selain itu, para pelajar yang ingin masuk ke alam pekerjaan hendaklah bersedia dari segi fizikal dan mental. Faktor fizikal selalunya bergantung dengan bidang pekerjaan yang dipilih. Sebagai contoh juruukur dan jurutera yang memerlukan pekerja ke tapak pembinaan yang panas dibawah terik matahari untuk melakukan tugas atau pemerhatian. Dari segi mental pula, persediaan untuk berurusan dengan rakan sekerja, majikan ataupun pelanggan yang memerlukan kita untuk brsabar dan bersikap waja dalam menghadapi segala situasi demi menjaga reputasi kita agar tidak memalukan diri sendiri dan majikan kita. Seperti peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa yang bermaksud sesuatau pekerjaan yang sukar atau rumit untuk disempurnakan akan menjadi lebih mudah jika sering melakukannya.
Isi 4
Sebelum memohon suatu pekerjaan, adalah bijak untuk kita mengetahui prospek dan risiko yang diambil sekiranya kita bekerja dalam bidang tersebut. Banyak pekerjaan sebenarnya mempunyai prospek yang baik untuk masa hadapan jika kita kekal cemerlang dalam prestasi kerjaya kita. Namun begitu, terdapat juga pekerjaan yang memerlukan usaha yang lebih untuk kekal konsisten dalam menperoleh pendapatan. Sebagai contoh, usahawan yang perlu sentiasa berfikiran kritis dalam memastikan produk yang dihasilkan mendapat sambutan dan mencapai sasaran supaya mendapat keuntungan maksima dan boleh mengembangkan syarikat ke tahap yang lebih maju. Begitu juga dengan pengkarya seni yang harus konsisten dalam menghasilkan seni kreatif demi mencari hasil yang mampu menanggung kehidupan mereka kelak. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Penutup
Kesimpulannya, pelbagai langkah yang boleh diambil sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan. Persediaan yang mapan haruslah dimulakan dengan awal agar tidak mengalami kejutan budaya yang akan memakan diri di masa hadapan. Pada zaman yang penuh persaingan ini dek kerana perkembangan jumlah manusia kita perlu berusaha dengan lebih baik dan bijak supaya mampu mencabar ekonomi negara yang tidak stabil dan merencat pertumbuhan ekonomi yang dirancang. Kita hendaklah bersikap optimis dalam mencari rezeki agar ekonomi negara terus bergerak kehadapan dan sekaligus menjamin kenaikan taraf hidup yang lenih baik berbanding sebelumnya. Ilmu, kemahiran insaniah dan sikap positif dimiliki menjadikan seseorang itu modal insan yang berharga, ibarat mutiara yang sentiasa diburu dan bernilai tinggi biarpun berada di mana-mana juga.