Karangan

Faedah Dan Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Kebanyakan pelajar kekurangan pengetahuan am apabila ingin menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu. Tindakan yang seharusnya dilakukan oleh pelajar adalah dengan kerap membaca akhbar atau menonton siaran berita bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu semasa menggunakan sumber yang sahih. Secara tidak langsung, pelajar didedahkan dengan pelbagai pengetahuan am yang berpotensi untuk keluar dalam peperiksaan nanti. Sebagai rujukan pelajar, berikut adalah contoh karangan kepentingan menjaga alam sekitar.

Tema soalan penulisan karangan Bahasa Melayu yang berkaitan penjagaan alam sekitar lazim menjadi soalan pilihan di dalam peperiksaan. Justeru, para pelajar perlu membiasakan diri dengan isi-isi penting atau idea yang sesuai untuk dihuraikan dalam karangan masing-masing. Dengan penyusunan isi penting yang menarik serta penggunaan gaya bahasa yang sesuai, anda berpotensi untuk mendapat markah yang cemerlang dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.

peta minda kepentingan menjaga alam sekitar

Kepentingan Memelihara Dan Memulihara Alam Sekitar

Isi-isi penting

  • Habitat flora dan fauna terpelihara
  • Ekosistem menjadi stabil
  • Kesihatan manusia terjamin
  • Menarik kedatangan pelancong
  • Menjamin bekalan sumber alam
  • Demi kelansungan hidup generasi akan datang

Baca juga: Kebaikan Makan Buah-Buahan Tempatan

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Pendahuluan

Mutakhir ini, kita sering kali dikejutkan dengan kejadian bencana alam yang melanda hampir kebanyakan negara serta telah meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa. Ramai mempersoalkan apakah punca kejadian bencana alam yang berlaku dan secara saintifik telah membuktikan bahawa ia adalah kesan pemodenan yang dilakukan oleh manusia. Kerakusan membina pembangunan tanpa mengkaji kesan jangka masa panjang terhadap alam sekitar seharusnya menjadi polemik masyarakat dunia hari ini. Alam sekitar merupakan khazanah yang tercipta ratusan malah ribuan tahun namun dimusnahkan oleh manusia hanya dalam beberapa tahun. Maka, setiap diantara kita perlu bermuhasabah dan mula mencari jalan dalam memulihara serta memelihara alam sekitar demi  menjamin kepentingan alam sekitar.

Isi 1

Signifikan utama dalam penjagaan alam sekitar adalah habitat flora dan fauna akan terpelihara. Alam sekitar yang merangkumi gunung-ganang, taburan hutan sehingga ke lautan merupakan habitat kepada hidupan flora dan fauna. Disebabkan populasi manusia yang semakin bertambah dari tahun ke tahun, pembangunan penempatan juga bertambah rancak. Kita tidak boleh nafikan bahawa pembangunan adalah penting demi mencapai kemajuan tetapi elemen penjagaan alam sekitar seharusnya menjadi agenda utama. Hal ini demikian kerana kita masih lagi bergantung kepada sumber flora dan fauna dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya bekalan makanan. Sebagai contoh, tumpahan minyak yang berlaku di laut dalam telah menyebabkan ikan-ikan mati dan nelayan tidak dapat menampung permintaan daripada konsumer. Kesannya, isu keselamatan makanan akan timbul dan boleh menimbulkan konflik antara negara. Mekanisme kawalan yang efektif hendaklah dilaksanakan supaya permintaan konsumer dapat dipenuhi disamping pemeliharaan habitat flora dan fauna terjamin. Janganlah kita bersikap seperti peribahasa Melayu diberi betis, hendak peha yang membawa maksud bersikap tamak akan merugikan kita.

Isi 2

Pada masa yang sama, ekosistem dunia akan menjadi stabil sekiranya alam sekitar dijaga dengan baik. Pemanasan global, kenaikan paras air laut dan pencemaran merupakan isu yang timbul sejak dua tiga dekad kebelakangan ini. Kejadian ini berlaku disebabkan perindustrian yang dicipta oleh manusia sehingga menyebabkan ekosistem yang memelihara fungsi bumi terganggu. Tamsilnya, pelepasan karbon telah terhasil daripada pembakaran tenaga seperti kilang pemprosesan dan penggunaan pengangkutan bahan api. Akibatnya, berlaku penipisan lapisan ozon dan efek rumah hijua dimana kekurangan jumlah pokok untuk meneutralkan semula kadar karbon yang berada di hemisfera bumi telah menyumbang kepada peningkatan suhu tersebut. Oleh sebab itu, masyarakat konvensional perlu berkongkalikung dalam mencari jalan supaya ekosistem bumi kembali stabil disamping kemajuan manusia dapat dicapai. Persis peribahasa melayu, yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.

Isi 3

Di samping itu, penjagaan alam sekitar adalah mustahak bagi memastikan kesihatan manusia terjamin. Kita merupakan makhluk yang lemah dan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya jika alam sekitar tidak dijaga. Pencemaran alam yang berlaku telah menyebabkan timbulnya penyakit-penyakit baharu yang mengancam nyawa manusia. Tambahan pula, penyakit tersebut mudah dijangkiti dan ubat untuk merawat pesakit memerlukan masa yang lama sebelum ia betul-betul selamat untuk digunakan. Di Malaysia misalnya, penyakit denggi telah mengancam kesihatan masyarakat tempatan saban tahun. Endemik ini boleh dihindari sekiranya setiap ahli masyarakat memastikan kebersihan kawasan setempat dan kebersihan kendiri.  Aktiviti bergotong-royong wajar digalakkan dan kecekapan pengurusan sampah hendaklah ditambah baik oleh pihak berwajib. Mutiara kata mencegah lebih baik daripada merawat wajar menjadi pegangan setiap anggota masyarakat dalam mendepani isu berkaitan kesihatan dimana jika dipandang enteng kelak akan memakan diri sendiri.

Isi 4

Jika dilihat pada sudut yang berbeza, alam sekitar yang terjaga dapat menarik pelancong sama ada domestik atau antarabangsa. Malaysia telah dikurniakan khazanah alam yang banyak dimana pulau yang mengelilingi perairan negara menjadi pusat penyelam skuba kerana keindahan terumbu karang yang terdapat di dasar laut. Manakala kemegahan Gunung Kinabalu menjadi kegemaran pendaki gunung dalam melihat keunikan bentuk muka bumi Sabah yang terpampang setelah mencapai kemuncak pendakian. Dua contoh tarikan utama pelancong tempatan mahupun asing ini adalah alam sekitar yang wajar diuruskan  dan dipelihara sehabis baik. Pihak berkuasa seharusnya merancang dengan penuh teliti untuk meningkatkan jumlah pelancong di samping memelihara keindahan alam yang tersemat di kawasan tersebut. Intihannya, Pelancongan yang berteraskan alam sekitar mampu menjana ekonomi setempat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara amnya.

Penutup

Tuntasnya, banyak kepentingan yang telah dikupas dalam usaha menjaga alam sekitar. Setiap pihak berperanan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan alam sekitar dipelihara dan dipulihara agar fungsinya terjamin. Dengan sifat berat sama dipikul ringan sama dijinjing, pencemaran dan bencana alam boleh dielakkan sebelum ia terjadi kepada diri atau negara sendiri. Kemajuan manusia tidak akan terhalang kerana sudah terdapat konsep pembangunan lestari dimana kelestarian alam sekitar menjadi keutamaan disamping pembangunan dijalankan. Semoga segala inisiatif menjaga alam sekitar disokong dan mendapat perhatian umum sehingga mengubah norma biasa manusia kepada norma baharu yang lebih baik. Seterusnya melahirkan generasi yang menghargai alam sekitar serta bersifat progesif dalam mengembangkan potensi diri, masyarakat, negara dan juga manusia sejagat