Karangan

Usaha Melestarikan Warisan Seni Budaya (Cara Mengekalkan)

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Adakah anda tertanya-tanya kenapa guru anda suka untuk memberikan latihan penulisan karangan yang berbeza tema dan tajuk? Sebagai makluman kepada pelajar, penulisan karangan khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu banyak mempersoalkan tema atau tajuk yang pelbagai. Oleh itu, sebagai persediaan, di bawah dikongsikan contoh karangan usaha melestarikan warisan seni budaya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita dilazimi dengan kekayaan budaya serta seni warisan yang dimiliki sejak betahun-tahun dahulu. Daripada persembahan wayang kulit, permainan wau, dan tarian yang berbeza-beza mangikut negeri masing-masing. Pelajar pastinya dapat memberikan idea-idea yang bernas dalam penulisan karangan masing-masing agar markah yang cemerlang dapat dicapai dengan jayanya.

peta minda melestarikan warisan seni budaya

Usaha Mengekalkan Warisan Seni Budaya Rakyat Malaysia

Isi-isi penting

  • Menggunakan platform media untuk mempengaruhi masyarakat
  • Menjadikan warisan seni budaya sebagai salah satu subjek dalam pendidikan
  • Memelihara kesenian dan budaya yang masih ada ketika ini
  • Memberikan insentif kepada penggiat warisan seni dan budaya
  • Mempromosikan kesenian dengan aktiviti-aktiviti menarik
  • Menyertai konvensyen kebudayaan antarabangsa

Contoh Karangan Usaha Melestarikan Warisan Seni Budaya

Pendahuluan

Mutakhir ini, masyarakat kita lebih gemar menikmati hiburan daripada negara asing seperti Amerika dan Korea Selatan. Hal ini kerana kuasa pemasaran dan gelombang peminat yang kuat telah menyebabkan ramai di antara ahli masyarakat kita turut sama berkongsi minat melihat atau menikmati hiburan daripada negara asing. Jika ditelusuri pada zaman nenek dan moyang kita, cara hiburan mereka adalah dengan melihat persembahan tari-menari atau wayang kulit di kawasan pantai timur khususnya. Semakin hari semakin ia dilupakan oleh generasi pada hari ini kerana ia kelihatan tidak relevan dan ketinggalan zaman. Oleh itu, kita seharusnya mengubah pandangan sarwa ini supaya peninggalan datuk dan nenek kita tidak tenggelam dek zaman. Pihak-pihak berkuasa seperti pemimpin negara hendaklah mencai satu mekanisme sebagai usaha mengekalkan seni budaya demi generasi masa hadapan negara.

Isi 1

Langkah pertama yang perlu dilaksanakan bagi melestarikan warisan seni dan budaya dalam masyarakat pada hari ini adalah menggunakan platform media massa untuk membuka kembali mata masyarakat yang hilang dibawa arus hiburan negara asing. Usaha ini dilihat sukar kerana kebebasan sosial media yang menjadi asbab masyarakat kita mengeksplorasi hiburan atau seni budaya asing untuk tontonan masing-masing. Maka, pihak berkuasa wajar mengambil kesempatan yang sama untuk menyajikan filem, drama, sketsa malah iklan berkaitan dengan seni dan budaya masyarakat kita di seluruh media massa. Stesen televisyen yang menjalankan operasi mereka mengejar rating hendaklah diseimbangkan dengan usaha melestarikan seni dan budaya yang kita miliki. Rancangan atau kandungan yang menyemai unsur-unsur budaya seperti filem Puteri Gunung Ledang wajar diterbitkan dengan lebih banyak agar menyemai minat masyarakat terhadap seni dan budaya. Bak kata pepatah, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Isi 2

Dalam masa yang sama, menjadikan warisan seni budaya sebagai salah satu subjek wajib dalam pendidikan di peringkat sekolah rendah atau menengah pasti dapat melestarikannya. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Persis peribahasa Melayu tersebut, antara cara terbaik untuk menyemai minat seseorang terhadap sesuatu perkara adalah melalui pendidikan di peringkat awal. Umum sedia maklum mata pelajaran seni sudah pun dilaksanakan di sekolah namun ia perlu ditambah baik dengan lebih banyak pengisian mengenai kesenian dan persembahan masyarakat kita. Wujudkan satu bulan atau minggu penghargaan kesenian dan budaya di peringkat kebangsaan agar pelajar dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang berkaitan untuk mempelajari dan memahaminya. Dengan pengalaman menyertai aktiviti kesenian atau budaya, mereka akan lebih menghargai dan tersemat dalam hati mereka sifat cinta akan warisan datuk dan nenek moyang mereka.

Isi 3

Usaha lain yang wajar untuk diaksanakan adalah dengan memelihara kesenian dan budaya yang masih ada ketika ini. Sebagai contoh, pementasan wayang kulit dan tarian-tarian semakin kurang mendapat undangan atau sambutan. Pihak berkuasa yang banyak menganjurkan aktiviti kemasyarakatan wajar memberi peluang kepada penggiat kesenian tanah air untuk mempersembahkan seni mereka kepada orang ramai. Selain itu, penubuhan institusi seperti Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Sekolah Seni di seluruh negara pasti dapat menghasilkan generasi muda yang bakal menyambung legasi penggiat terdahulu. Usaha ini mustahak kerana kebanyakan penggiat yang duduk di luar bandar tidak mempunyai pengganti akibat kurang minat atau tekanan ekonomi. Sekiranya pihak berkuasa mempunyai kehendak untuk membela penggiat seni ini pasti isu legasi tidak menjadi masalah kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Isi 4

Akhir sekali, cara yang paling berkesan untuk mengekalkan sesuatu perkara daripada kemusnahan adalah dengan memberikan insentif yang secukupnya kepada penggiat warisan seni dan budaya. Polemik ini telah lama berlaku dalam kalangan masyarakat kita tetapi tiada pihak yang jujur untuk berusaha menyelesaikannya. Jika kita lihat, setiap tahun pasti ada bajet-bajet besar yang disalurkan untuk pembangunan negara. Kita tidak akan berasa rugi sekiranya peruntukkan tersebut disalurkan kepada penggiat seni dan budaya dalam corak yang konsisten. Perkara ini bukan sahaja dapat memastikan kebajikan mereka terjamin malah memberikan mereka ruang untuk mengekspresi persembahan dan seni kreatif mereka dengan lebih baik. Contohnya, dengan bantuan kewangan yang banyak, penggiat seni dapat menyertai konvensyen kebudayaan dan kesenian di peringkat antarabangsa untuk mempersembahkan warisan yang kita miliki. Intihannya, dengan insentif dan pengurusan yang baik, pasti seni dan budaya kita dapat dilestarika semula.

Penutup

Konklusinya, pelbagai usaha melestarikan seni dan budaya dapat dijayakan sekiranya setiap pihak bersepakat mencapai objektif yang sama. Dengan iltizam dan matlamat yang betul, usaha ini pasti dapat melestarikan semula apa yang semakin pupus dalam jati diri rakyat di Malaysia. Elakkanlah daripada melaukan perkara sekerat jalan ibarat hangat-hangat tahi ayam. Kelak yang rugi adalah kita dan generasi akan datang yang tidak mengenal asal dan usul mereka kerana telah dikaburi dengan elemen kebudayaan dari negara asing. Kesannya generasi akan datang tidak menghargai apa yang mereka lihat di negara mereka sebaiknya mengagungkan budaya asing dan bakal memusnahkan identiti bangsa dan negara kita. Semoga berbekalkan semangat patriotisme yang kita miliki pada hari ini dapat menjadi pegangan untuk kita mengekalkan seni dan budaya masyarakat kita.

Related : kerajaan untuk, penting untuk, ibu bapa, usaha mengekalkan, anak anak, untuk mengikuti budaya, adat resam, untuk terus, pihak kerajaan, memainkan peranan, untuk melihat,