Karangan
Ciri-Ciri Pekerja Cemerlang Mengikut Persepsi Majikan
Tahukah anda, bagi menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu dengan cemerlang, pelajar perlu menggunakan gaya bahasa yang menarik di samping pengolahan idea yang menarik. Selain bimbingan serta panduan daripada guru, pelajar juga boleh melakukan latihan tambahan dengan merujuk contoh secara atas talian. Sebagai rujukan buat pelajar, di bawah dikongsikan contoh karangan ciri-ciri pekerja cemerlang idaman para majikan.
Untuk menjawab tajuk yang berkaitan pekerja di mana pelajar tidak mempunyai sebarang pengalaman, pelajar boleh merujuk contoh di bawah untuk mendapatkan idea atau isi-isi penting yang berkaitan. Dari sudut penghuraian pula, pelajar boleh memberikan contoh-contoh yang menyokong isi-isi penting yang dipilih pelajar seterusnya menambahkan kefahaman pelajar terhadap kehendak soalan yang diberikan.
Isi Kandungan
Ciri-Ciri Pekerja Cemerlang Yang Dicari Oleh Majikan
Isi-isi penting
- Menonjolkan ketrampilan diri yang menarik
- Bersikap proaktif dalam menyelesaikan masalah
- Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik
- Menunjukkan kemahiran pengurusan yang tinggi
- Bersikap jujur
- Berintergriti tinggi
Baca juga: Pentingnya Perlembagaan Malaysia Kepada Rakyat
Contoh Karangan Ciri-Ciri Pekerja Cemerlang Yang Menjadi Idaman Para Majikan
Pendahuluan
Setiap majikan pastinya mengidam-idamkan pekerja yang mempunyai ciri-ciri terbaik. Hal ini demikian kerana ia memberikan kemudahan kepada mereka untuk mengurus pekerja tersebut dan seterusnya mempercayai mereka untuk menjalankan tugasan yang ditetapkan. Dari sudut pandang pekerja pula, adalah penting untuk anda mengetahui ciri-ciri yang diidamkan oleh majikan supaya dapat mempersiapkan diri sebelum memohon pekerjaan atau menghadiri temuduga bersama bakal majikan masing-masing. Setiap majikan mempunyai ciri pilihan mereka berdasarkan corak perniagaan atau kerja yang dijalankan. Jika ia melibatkan pekerjaan fizikal sudah tentu kekuatan menjadi pilihan majikan. Namun, sikap dan perangai setiap manusia berlainan bak kata pepatah Melayu rambut sama hitam, hati lain-lain. Wajar untuk kita bincangkan apakah ciri-ciri pekerja cemerlang idaman para majikan supaya dapat menjadi rujukan untuk semua.
Isi 1
Antara ciri perdana yang diidamkan oleh majikan pada pekerja mereka adalah mempunyai ketrampilan diri yang menarik. Ketrampilan diri adalah gaya yang ditunjukkan oleh setiap individu seperti berpakaian kemas, menyisir rambut dengan rapi dan memakai bau-bauan yang menenangkan. Ciri ini adalah penting terutamanya dalam bidang yang memerlukan pekerja menjadi wakil kepada syarikat atau majikan dan pelanggan yang berurusan dengan mereka akan berasa tertarik dengan nilai yang ditunjukkan oleh pekerja. Bukan setakat itu sahaja, pekerja yang mempunyai keyakinan diri yang baik serta dilengkapi tatasusila yang unggul pasti membantu setiap pekerja dalam syarikat atau organisasi terbabit untuk bersikap lebih profesional. Terdapat segelintir individu terutamanya golongan pencari kerja yang baharu tamat pengajian di institusi pengajian tinggi mempunyai biodata dan profil yang meyakinkan tetapi apabila datang ke sesi temuduga, kebanyakannya kurang dari segi ketrampilan diri yang menarik. Persis kata mutiara, indah khabar dari rupa. Izharnya, ketrampilan diri merupakan ciri yang diidamkan oleh majikan kerana ia membentuk imej yang mewakili syarikat atau organisasi majikan tersebut.
Isi 2
Berdasarkan pemikiran minda kelas pertama, majikan lazimnya mengidamkan pekerja yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Sejak di bangku persekolahan lagi, kita telah diterapkan bahawa komunikasi merupakan kunci kepada segala peluang. Kemahiran untuk berkomunikasi pula perlu diasah dan lahir daripada pengalaman setiap individu kerana pelbagai faktor yang menyumbang kepada cara kita berkomunikasi. Sebagai majikan, mereka pastinya memerlukan pekerja yang jujur dalam menjalankan tugasan, pandai mengutarakan pendapat apabila berlaku perselisihan dan cadangan serta bijak mendengar dan memerhati apa yang dikehendaki oleh majikan. Selain itu, majikan juga gemar kepada pekerja yang pandai bergaul dan membiasakan diri dengan budaya kerja mereka. Hal ini kerana jika syarikat dan organisasi tersebut besar dan sudah lama bertapak, mereka pasti mempunyai budaya kerja yang wajar dipatuhi oleh pekerja baharu. Ibarat masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Tegasnya, kemahiran berkomunikasi yang tinggi akan membawa pekerja ke tahap yang lebih baik dan memberi manfaat kepada majikan.
Isi 3
Pada waktu yang sama, majikan pastinya mengimpikan pekerja yang bersikap proaktif dalam menyelesaikan tugasan atau masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, pekerja baharu mempunyai tempoh percubaan dan akan diletakkan di bawah seliaan pekerja senior di syarikat terbabit. Apabila tamat tempoh percubaan, pekerja akan bergerak sendirian dan segala tugasan dan amanah merupakan tanggungjawab mereka sendiri. Maka jika pekerja bersikap proaktif dengan sentiasa belajar dan meminta nasihat daripada pekerja yang mempunyai pengalaman yang lebih banyak berbanding diri mereka serta berani menyatakan pendapat berdasarkan teori dan pengalaman mereka sendiri, sudah pasti ia menjadi nilai tambah kepada organisasi atau syarikat majikan. Sebahagian daripada pekerja bersikap seperti lembu dicucuk hidung yang menunggu arahan daripada majikan baru ingin menyelesaikan tugasan mereka. Nescaya perkembangan karier pekerja tersebut tidak akan kemana-mana. Peribahasa melayu berkata, kalau takut dilambung ombak jangan berumah ditepi pantai. Sekiranya kita ingin berjaya, kita hendaklah berani menempuh rintangan dan berusaha lebih daripada biasa supaya menghasilkan keputusan yang luar biasa.
Isi 4
Akhir sekali, ciri yang diidamkan oleh majikan pada para pekerja mereka adalah mempunyai kemahiran pengurusan yang tinggi. Ketidak tentuan ekonomi masa kini telah menyebabkan budaya melakukan pelbagai kerja dalam satu masa semakin menjadi-jadi. Oleh itu, kemahiran menguruskan tugasan dan perkara-perkara lain berkaitan pekerjaan adalah penting supaya majikan tidak perlu menjana tenaga dan masa untuk melatih pekerja dalam perkara tersebut. Nilai utama yang menjadi kayu pengukur para majikan adalah ketepatan masa pekerja dalam menghadirkan diri, menyiapkan tugasan serta tidak kerap mengambil cuti sakit. Justeru, kita seharusnya memilih bidang kerjaya yang menepati kebolehan diri serta minat yang akan mendorong kita menjadi pekerja yang diidamkan oleh para majikan. Secara tidak langsung, kita akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan dan menepati masa dan keperluan majikan. Ibarat kata pujangga, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Natijahnya, pekerja yang pandai mengurus masa dan diri pasti dapat menarik perhatian majikan untuk menawarkan pekerjaan secara tetap dan seterusnya memberi perkembangaan karier yang baik.
Penutup
Bagi menyimpulkan perbincangan yang telah dihuraikan di atas, ciri-ciri yang diidamkan oleh majikan terhadap pekerja adalah mengikut variasi dan corak syarikat atau organisasi masing-masing. Umum sedia maklum bahawa majikan merupakan kepala kepada struktur organisasi atau syarikat tetapi pekerja merupakan kaki dan tangan yang melakukan pekerjaan yang perlu bagi menjayakan objektif yang ditetapkan oleh majikan. Sehubungan dengan itu, layanan yang seyogia harus diberikan kepada semua pekerja yang berkorban tenaga dan masa demi memenuhi hasrat dan visi majikan dengan memastikan kebajikan serta kadar gaji mereka diberikan mengikut ketetapan Kementerian Sumber Manusia. Malaysia melahirkan lebih daripada 100,000 graduan pada setiap tahun dan setiap di antara mereka pasti mempunyai nilai yang berharga buat syarikat dan organisasi di seluruh negara. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Kini, ia terletak kepada para majikan untuk menggilap dan melahirkan golongan pekerja professional tempatan yang akan menjadi khazanah berguna buat negara dan nusa bangsa.