Karangan

Kesan Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan

Masalah berkaitan kesihatan masyarakat sering kali menjadi pilihan soalan oleh guru-guru. Hal ini memudahkan para pelajar untuk mencari isi-isi penting yang bersesuaian serta mampu untuk menghuraikannya dalam bentuk penulisan karangan yang cemerlang. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan kesan-kesan buruk pengambilan makanan segera terhadap kesihatan untuk rujukan pelajar. Ianya terdiri daripada pendahuluan, empat isi penting dan penutup.

Isu pemakanan segera adalah contoh yang boleh dikaitkan dengan para pelajar agar mereka sendiri mendapat iktibar daripada hasil penulisan mereka. Bagi pelajar, latihan penulisan karangan hendaklah menggalakkan penggunaan peribahasa Melayu, simpulan bahasa dan penanda wacana bagi menambah unsur penarikan dalam karangan masing-masing. Selain itu, bimbingan daripada guru juga penting agar penulisan karangan pelajar mengikut kehendak soalan yang diberikan.

Kesan-Kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera

peta minda kesan kesan buruk makanan segera Kesan Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan

Isi-isi penting

  • Menyebabkan penyakit kronik
  • Masalah obesiti
  • Membantut pertumbuhan kanak-kanak
  • Mengurangkan produktiviti seseorang
  • Mengakibatkan kerosakan gigi
  • Mengganggu fungsi otak

Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Kesan-Kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera Kepada Kesihatan Seseorang

Pendahuluan

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, pelbagai urusan yang harus dilaksanakan serta memakan masa individu tersebut sehinggakan lumrah manusia seperti makan dan minum semakin sukar. Kesibukan mengejar matlamat atau cita-cita hidup membuatkan kita alpa untuk mengambil serius dalam pemakanan kita dengan mengambil makanan segera sebagai rutin demi menjimatkan masa. Makanan segera seperti burger dan mee segera adalah makanan yang telah diproses dan mengandungi pelbagai bahan kimia yang mampu memudahkan pemakanan dan menambah tempoh luput makanan tersebut. Kandungan dalam makanan tersebut yang menjadi punca utama keburukan mengambil makanan segera secara kerap.

Isi 1

Kesan paling buruk dalam pengambilan makanan segera adalah menyebabkan seseorang itu mengalami penyakit-penyakit kronik. Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan makanan segera adalah penyakit darah tinggi dan kencing manis. Kandungan kolesterol dan kadar gula yang amat tinggi pada makanan segera akan mengganggu fungsi badan kita bagi merembes bahan-bahan yang tidak diperlukan dalam badan. Sekiranya amalan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang tidak dipraktikkan oleh semua golongan di Malaysia, kadar kesihatan akan menjunam dan akan merosakkan imej negara kita. Persis kata peribahasa Melayu, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna yang bermaksud fikirlah tindakan kita hari ini sebelum mendapat akibatnya kelak.

Isi 2

Selain itu, kekerapan pengambilan makanan segera akan menyumbang kepada masalah obesiti. Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa Malaysia merupakan negara pertama dalam kedudukan rakyat yang mempunyai masalah kegemukan. Faktor harga yang murah dan akses yang mudah bagi mendapatkan makanan segera menjadi punca rakyat di negara ini suka membeli makanan segera berbanding memasak makanan yang lebih berkhasiat. Lambakan snek-snek makanan ringan yang tidak berkhasiat juga menjadi punca kepada masalah obesiti ini di mana konsumer utama terdiri daripada kanak-kanak yang lebih gemar kepada makanan segera. Hal ini perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian Kesihatan supaya dapat mencari jalan mengurangkan masalh obesiti disamping meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keburukan makanan segera.

Isi 3

Terdapat juga kajian yang menunjukkan pengambilan makanan segara akan membantut pertumbuhan kanak-kanak. Kanak-kanak seharusnya memakan makanan yang mengandungi zat dan khasiat yang cukup bagi mencapai pertumbuhan diri yang ideal. Kenakan yang berbeza berbanding sayur-sayuran dan makanan berkhasiat yang lain membuatkan kanak-kanak lebih gemar untuk makan makanan segera yang menepati cita rasa mereka. Kelalaian ibu bapa yang kerap membawa mereka ke restoran makanan segera akan menjadi tabiat yang buruk untuk di amalkan. Ibu bapa sepatutnya bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memakan makanan yang berkhasiat agar mendapat faedah dikemudian hari. Pertumbuhan yang ideal generasi muda perlu menjadi agenda utama dalam melahirkan genarasi pemimpin masa hadapan negara yang kompetitif dan berwawasan.

Isi 4

Pengambilan makanan segara juga akan mengakibatkan kesan buruk seperti mengurangkan daya produktiviti seseorang. Sebagai contoh, golongan pelajar universiti yang kerap memakan mee segera untuk menjimatkan perbelanjaan harian akan menghadapi kemelesetan dalam aktiviti harian dek kerana kekurangan tenaga dan khasiat. Golongan pelajar seharusnya memberikan keutamaan pada diri mereka supaya berketrampilan baik dan meyakinkan justeru pemakanan yang seimbang dan sihat dapat menjamin daya keberkesanan pelajar di dalam kelas. Tambahan pula, aplikasi penghantaran makanan yang semakin berkembang hari ini juga menjadikan rakyat kita semakin malas jika dilihat pada sudut yang negatif. Intihannya, kemudahan teknologi dan kegawatan ekonomi hendaklah dihadapi dengan bijak agar mendapat manfaat yang positif lagi menguntungkan.

Penutup

Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya pengambilan makanan segera akan memberikan pelbagai kesan buruk kepada semua golongan tidak kira individu atau masyarakat. Benarlah seperti telahan orang tua-tua, jangan ambil senang jika tidak mahu susah. Inilah musibah apabila masyarakat terlalu memilih jalan mudah termasuk dalam hal makan minum. Prakarsa yang efektif perlu di atur oleh pelbagai pihak terutamanya kerajaan dalam memastikan rakyat mempunyai kesedaran akan keburukan pengambilan makanan segera serta kesannya terhadap diri dan negara. Marilah kita bersama-sama mengorak langkah dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera sekaligus memacu negara ke arah kecemerlangan sejagat.