Tips

Tips Menduduki Temuduga Program Pendidikan

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Antara pilihan paling lazim bagi para pelajar lepasan SPM selepas tamat zaman persekolahan adalah menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi melalui UPU online seperti Universiti Awam, Politeknik, ILKA, Kolej Komuniti dan lain-lain. Untuk sesetengah kursus atau program pengajian yang dipohon, temuduga program pendidikan akan diadakan sebelum para pelajar boleh melanjutkan pengajian dengan program yang telah dipilih. Bagi yang bakal menduduki temuduga, berikut dikongsikan maklumat berkaitan tips Temuduga Program Pendidikan iaitu temuduga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) buat rujukan semua.

Buat makluman semua, Universiti Awam (UA) yang terbabit dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) adalah UPSI, UUM, UIAM, UKM, USM, UTHM, UiTM, UM dan UPM. Untuk mengetahui samada para pelajar layak untuk menghadiri temuduga atau tidak, semakan keputusan panggilan temuduga boleh dibuat menggunakan aplikasi semakan online pada tarikh yang ditetapkan.

Tips Temuduga Program Pendidikan

Berikut dikongsikan maklumat berkaitan Temuduga Program Pendidikan terutamanya tips dan panduan menghadapi temuduga tersebut:

Maklumat Penting Temuduga

Sebelum menghadiri temuduga, calon perlu mengambil perhatian terhadap maklumat berikut:

  1. Sesi temuduga diadakan setelah calon melepasi kelayakan minimum akademik bagi sesuatu program yang dipohon.
  2. Satu hingga empat calon akan dipanggil serentak dalam satu sesi bergantung kepada keadaan.
  3. Satu sesi dijalankan dalam tempoh 10 hingga 30 minit.
  4. Panel temuduga merupakan pegawai yang telah dilatih untuk mengekstrak pelbagai dimensi dan ciri calon dalam sesi temuduga.
  5. Penilaian bermula seawal calon mula melangkah ke dalam bilik temuduga sehingga saat keluar dari bilik. Segala gerak-geri dan pertuturan calon diperhatikan.

Panduan Proses Temuduga Program Pendidikan

Panduan temuduga yang perlu dilalui oleh setiap calon adalah seperti berikut:

  1. Lapor diri kepada petugas di hadapan bilik temuduga. Hadirkan diri pada waktu yang telah ditetapkan. Sekiranya calon tidak hadir, maka secara automatik temuduga dikira gagal.
    (Nota: Pelajar dinasihatkan berpakaian kemas seperti seorang guru).
  2. Ujian rabun warna dijalankan sebelum bermula soal jawab temuduga (sama ada di luar atau di dalam bilik). Sesetengah program seperti Elektrik & Elektronik tidak membenarkan calon rabun warna mengikuti program tersebut.
  3. Masuk ke dalam bilik temuduga dengan sopan dan serahkan dokumen sokongan seperti sijil aktiviti dan akademik. (Nota: Susun dokumen dengan kemas dan cermat mengikut kronologi masa)
  4. Duduk di atas kerusi setelah diizinkan panel. (Nota: Cara anda bergerak dari saat anda masuk ke bilik hingga duduk juga dinilai oleh panel kerana ia menggambarkan perwatakan anda)
  5. Ketepikan sebarang gangguan seperti beg tangan, gajet dengan meletakkannya di sisi kerusi.
    (Nota: gangguan seperti pen di tangan mengundang reaksi luar sedar seperti pen dipusingkan seperti helikopter, jari mengetik hujung pen dan sebagainya)
  6. Duduklah dengan tegak dan yakin, telapak tangan di atas peha.
    (Nota: Jangan goyangkan kaki kerana ia menunjukkan keyakinan anda yang rendah. Berpeluk tubuh amatlah ditegah.)
  7. Gunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam menjawab persoalan yang diajukan dalam Bahasa Melayu.
    (Nota: Jangan campur adukkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Gunakan tangan dengan gaya yang betul untuk menerangkan sesuatu hujah, jangan terlalu kaku)
  8. Gunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya jika soalan diajukan dalam Bahasa Inggeris kerana salah satu komponen penilaian ialah kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
    (Nota: Beranikan diri untuk menyampaikan idea dalam Bahasa Inggeris. Panel tidak menilai tatabahasa ayat tetapi keberanian serta idea yang ingin disampaikan)

Kaedah Penilaian Panel

Terdapat banyak kaedah yang digunakan oleh panel untuk menilai calon sewaktu temuduga. Antaranya adalah:

  1. Mock-Teaching
    • Calon dikehendaki mengajar sesuatu topik seperti seorang guru sebenar.
      (Nota: Bayangkan anda adalah guru dan panel adalah pelajar)
  2. Debat
    • Pasangan calon akan diberi peranan sebagai pencadang dan pembangkang untuk menghujahkan sesuatu isu yang diberi panel.
      (Nota: Sekiranya ada diberi peranan sebagai pencadang dan walaupun secara peribadi anda mungkin tidak bersetuju sesuatu penyataan yang diberi, namun anda mestilah kekal berhujah sebagai pencadang)
  3. Ujibakat
    • Calon perlu menyatakan rukun negara, berlakon dan lain-lain.
      (Nota: Lakukanlah tanpa segan silu dengan penuh yakin)
  4. Isu Semasa
    • Lengkapkan diri anda dengan pengetahuan berkaitan isu-isu semasa pendidikan.
      (Nota: Selak surat khabar atau portal berita dalam jangka masa seminggu sebelum sesi temu duga untuk mendapatkan idea isu terkini pendidikan dan juga negara)
  5. Pengetahuan Bidang
    • Selidik bidang pengajian yang ingin dipohon. Program seperti Kimpalan, Aircond, catering bukanlah satu mata pelajaran di peringkat sekolah. Jadi, calon mesti membuat penyelidikan tentang bidang ini agar tidak salah menjawab apabila disoal.
      (Tip: Pengetahuan asas program yang dipohon menunjukkan kesungguhan anda untuk mendalami bidang tersebut)

Alasan Gagal Terpilih

Sekiranya gagal mendapat tawaran program yang dipilih, kemungkinan calon:

  • Gagal temuduga
  • Lulus temuduga tetapi kuota program telah dipenuhi dengan calon yang memiliki kelayakan akademik yang lebih baik

Punca Gagal Temuduga

Antara punca-punca gagal temuduga adalah seperti berikut:

  1. Calon mengisytihar secara terang-terangan bahawa dia tidak meminati program ISMP, mungkin atas desakan keluarga dan sebagainya
  2. Calon menolak daripada menjalankan simulasi pengajaran atau ujibakat
  3. Tidak mampu berhujah atau memberi jawapan yang tidak munasabah
  4. Tidak mempunyai ciri-ciri pendidik (suara tidak kedengaran, gugup yang keterlaluan, kusut masai, selekeh)

Kredit : Facebook Promosi FPTV, UTHM

Semoga perkongsian maklumat berkaitan TIPS Temuduga Program Pendidikan ini dapat memberi manfaat buat semua. Selamat menghadapi temuduga dengan jayanya.