Karangan
Peranan Masyarakat Dalam Menjurus Kesejahteraan Hidup/ Masyarakat Penyayang
Penulisan Karangan Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk yang berpotensi menjadi soalan untuk menguji kemampuan pelajar. Ini merupakan antara faktor yang menjadikan mata pelajaran Bahasa Melayu sukar bagi sebahagian pelajar yang tidak menguasai penggunaan Bahasa Melayu dan tidak terdedah dengan jenis-jenis karangan yang menjadi soalan. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan peranan masyarakat dalam menjurus kesejahteraan hidup untuk rujukan semua.
Bagi menghasilkan penulisan karangan yang baik, pelajar bukan sahaja perlu menguasai penggunaan Bahasa Melayu tetapi pelajar perlu cakna berkenaan pengetahuan am dan isu-isu semasa. Anda boleh membaca surat khabar sebagai sumber yang sahih atau melakukan perbualan atau perbincangan dengan guru atau ibu bapa mengenai sesebuah isu yang kerap dilihat di media mahupun kehidupan pelajar. Selain itu, penggunaan peribahasa Melayu dan frasa-frasa menarik mampu menjadikan penulisan karangan pelajar cemerlang sekiranya ia bertepatan dengan huraian pelajar.
Isi Kandungan
Peranan Penting Masyarakat Dalam Menjurus Kesejahteraan Hidup
Isi-isi penting
- Mengenali dan menghormati latar belakang masyarakat
- Pembudayaan nilai-nilai murni
- Menyertai aktiviti kemasyarakatan
- Menjadi mata-mata kepada penguasa
- Mengutamakan kesihatan rohani dan fizikal
- Mengukuhkan sifat patriotisme dalam masyarakat
Baca juga: Cara Mengira Berapa Patah Perkataan Dalam Karangan BM
Contoh Karangan Peranan Masyarakat Dalam Menjurus Kesejahteraan Hidup
Pendahuluan
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan kemasyarakatan yang mengancam kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum. Isu-isu rasisme menjadi tajuk berita dan polemik yang dibincangkan oleh ahli masyarakat dek kerana berlaku kes seperti pemandu mabuk melanggar mangsa sehingga kehilangan nyawa. Namun begitu, terdapat pihak yang mengambil kesempatan terhadap isu ini sebagai bahan politik untuk kepentingan diri dan prinsip yang tidak sihat dalam masyarakat majmuk di negara ini. Persis kata peribahasa Melayu, seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sebagai ahli masyarakat yang berinteraksi dan menjalani kehidupan antara satu sama lain pada setiap hari, kita seharusnya sedar dan mengetahui peranan dalam mencipta kesejahteraan hidup kita supaya ia kekal harmoni. Maka, wajar untuk kita bincangkan persoalan mengenai apakah peranan masyarakat dalam menjurus kesejahteraan hidup di dalam negara Malaysia.
Isi 1
Prakarsa utama dalam melaksanakan peranan sebagai ahli masyarakat adalah untuk mengenali antara satu sama lain. Pepatah Melayu berkata, tak kenal maka tak cinta yang bermaksud, kita seharusnya mengenali dan memahami dahulu masyarakat yang tinggal di sekeliling barulah kita boleh menghormati dan mencintai antara satu sama lain. Malaysia merupakan negara yang unik jika dibandingkan dengan negara-negara asing yang lain kerana kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama. Senario ini berlaku kerana faktor penjajahan yang membawa masuk pelbagai kaum dan mengasingkan sosioekonomi setiap bangsa pada ketika itu. Namun, setelah mengecapi kemerdekaan, jurang perbezaaan antara kaum semakin berkurangan dan kesamaa rataan boleh dicapai kerana perpaduan yang terjalin antara masyarakat kita. Kewujudan keturunan baba nyonya atau peranakan menjadi bukti kukuh bahawa integrasi antara kaum boleh dicapai dan keharmonian masyarakat dan kesejahteraannya terjamin. Perpaduan merupakan konsep yangmudah dan senang untuk diamalkan jika keterbukaan dalam mengenali dan menghormati budaya dan agama lain dapat diterapkan dalam diri setiap individu. Kesannya, pengenalan dan pemahaman antara satu sama lain akan membuka ruang kepada nilai toleransi dan hormat-menghormati kerana ia merupakan kunci kepada kemakmuran hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Isi 2
Peranan lain yang wajar dilaksanakan bukan sahaja oleh masyarakat di dalam Malaysia malahan masyarakat di seluruh dunia adalah pembudayaan nilai-nilai murni. Kalau kita lihat tamadun manusia pada dekad ini mencapai kemajuan yang tidak pernah dicapai dalam ketamadunan manusia yang dicatat dalam sejarah. Justeru, kita seharusnya mencorak kemajuan sejagat dari setiap segi terutamanya dalam kesejahteraan hidup. Peperangan dan penjajahan bukan lagi satu perkara yang masyarakat mahukan sebaliknya adalah kesejahteraan hidup dan memanfaatkan teknologi dalam memudahkan urusan harian. Oleh itu, kemajuan ini boleh dikekalkan dengan mengamalkan nilai-nilai murni seperti nilai tolak ansur, hormat-menghormati, baik hati, keselamatan, cinta dan belas kasihan, kebijaksanaan dan kesederhanaan sebagai asas sistem kemasyarakatan. Misalnya jika kita melihat orang yang dalam kesusahan tanpa melihat kaum atau agamanya, kita seharusnya membantu individu tersebut dalam kapasiti yang kita mampu. Hal ini demikian kerana, perbuatan baik pasti akan dibalas dengan kebaikan. Intihannya, jika kebanyakan di antara kita sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan, masyarakat akan menjadi lebih tenteram dan aman untuk tinggal dan duduk bersama-sama membina negara ke arah yang lebih baik.
Isi 3
Di samping itu, kesejahteraan hidup bermasyarakat dapat dijamin dengan penyertaan setiap ahlinya dalam aktiviti sosial seperti aktiviti bergotong-royong dan rukun tetangga. Penglibatan secara langsung dalam aktiviti seperti gotong-royong bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim antara jiran tetangga malah dapat memastikan kebersihan kawasan setempat terjaga. Selain itu, aktiviti persatuan seperti Rukun Tetangga juga adalah antara inisiatif yang baik untuk dilaksanakan oleh ahli-ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana tugasan secara bergilir-gilir membuat rondaan di kawasan tempat tinggal untuk menjaga keselamatan keluarga dan jiran tetangga adalah amalan yang murni. Tambahan pula, dengan melibatkan diri dalam komuniti setempat, kita dapat menyalurkan masalah dan kerunsingan yang dihadapi dengan lebih jelas kerana suara yang dibawakan oleh sekumpulan adalah lebih kuat berbanding suara secara berseorangan. Bak kata mutiara, sebatang lidi mudah patah tetapi apabila menjadi penyapu, ia menjadi kuat dan kukuh.
Isi 4
Dalam waktu yang sama, masyarakat juga sepatutnya menjadi mata-mata kepada pihak penguasa terhadap aktiviti yang salah disisi undang-undang dan mendatangkan keraguan. Lambakan warga asing yang menjadi dasar kepada kerajaan telah meletakkan masyarakat kita semakin waspada terhadap jenayah yang semakin meningkat dalam kalangan warga asing. Justeru, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap di antara kita berhak untuk melaporkan sebarang kesalahan yang berlaku di kawasan setempat yang mengancam kesejahteraan hidup. Pihak berkuasa juga seharusnya bersikap tegas dan mengutamakan intergriti dalam melaksanakan tugas dan menjamin kesejahteraan hidup masyarakat tempatan. Oleh itu, masyarakat perlu membuka minda dan bersikap cakna dalam memilih pemimpin yang berkelayakan untuk mewakili masyarakat dalam kerajaan negeri mahupun persekutuan agar agenda kesejahteraan rakyat menjadi dasar utama yang akan diperjuangkan. Jika ditelusuri, individu-individu yang dilantik ke jawatan yang mempunyai kuasa majoritinya dibayar daripada hasil kutipan cukai rakyat-rakyat marhaen. Justeru, tidak boleh dinafikan bahawa pemimpin seharusnya bekerja demi kesejahteraan masyarakat dan masyarakat perlu bijak dalam mengusulkan perkara-perkara yang dapat menjamin kesejahteraan hidup.
Penutup
Secara tuntas, banyak peranan masyarakat yang telah dihurai supaya ia menjurus ke arah kesejahteraan hidup bermasyarakat di dalam Malaysia. Jika kita telah mengecapi kemerdekaan lebih daripada 60 tahun, sudah pasti kita mampu mengekalkan malah mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain bagi tahun-tahun yang mendatang. Peribahasa Melayu berkata, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Semoga masyarakat Malaysia menjadi contoh kepada masyarakat dunia bahawa perpaduan antara kaum, bangsa dan agama boleh dicapai. Permainan persepsi dan diskriminasi daripada pihak yang tidak gemar akan perpaduan pasti akan timbul. Oleh itu, setiap negara harus membina mekanisme kerjasama yang kukuh untuk setiap komuniti bagi memastikan sistem nilai sejagat dapat dipupuk dan dipelihara sehingga melahirkan generasi yang melazimi kesejahteraan hidup sebagai nilai utama ketamadunan manusia.