Karangan

Punca Dan Cara Mengatasi Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Isu buli-membuli dalam kalangan pelajar di sekolah menjadi topik yang sering dibincangkan. Soalan berkenaan gejala membuli diharapkan boleh membantu para pelajar untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku dalam kalangan mereka. Iktibar dan pengajaran dalam contoh di bawah seharusnya diambil serius oleh para pelajar dan pihak berkenaan dalam membendung gejala membuli. Berikut adalah contoh karangan gejala buli di sekolah sebagai panduan dan rujukan para pelajar.

Para pelajar perlu menggunakan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam penulisan karangan masing-masing supaya mendapat markah yang cemerlang. Penulisan karangan dalam bahasa ibunda kita sewajarnya tidak menjadi masalah buat para pelajar kerana kita menggunakannya sebagai bahasa pertuturan setiap hari. Dengan bimbingan daripada guru serta latihan yang berkesan, pelajar mampu menguasai penulisan karangan Bahasa Melayu.

Punca Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Dan Langkah Untuk Mengatasinya

peta minda punca buli dan cara atasi buli Punca Dan Cara Mengatasi Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Isi-isi penting 

  • kegagalan ibu bapa dalam mendidik anak-anak
  • pengaruh televisyen dan media
  • kelonggaran disiplin di sekolah mahupun di rumah
  • masa yang kualiti dalam keluarga diperlukan
  • sifat mesra dan mudah didekati oleh guru dan rakan
  • memberikan didikan agama dan moral

Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Punca Gejala Buli Dan Langkah Untuk Mengatasinya

Pendahuluan

Dasawarsa ini, gejala buli dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di Malaysia semakin mendapat liputan. Perkongsian video yang dimuat naik di laman media sosial tentang kes pembulian yang melibatkan pelajar sekolah menjadi titik persoalan sampai bila gejala yang kurang sihat ini berlaku dalam masyarakat kita. Sekolah merupakan institusi yang mulia untuk menimba ilmu tetapi dicemari dengan perkara yang merosakkan akhlak anak-anak muda kita. Bahasa menunjukkan bangsa di mana tingkah laku kita mencerminkan sifat kelakuan asal keturunan kita. Mari kita mengenal pasti punca gejala buli dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Isi 1

Antara punca perlakuan gejala tidak sihat  dalam kalangan anak-anak adalah berpunca daripada keharmonian keluarga mereka sendiri. Bak kata peribahasa Melayu, bapa borek, anak rintik yang bermaksud tauladan ibu dan bapa membentuk keperibadian anak-anak mereka. Kekurangan kasih sayang atau perhatian apabila di rumah akan memberikan tekanan kepada seseorang anak muda kerana tiada tempat mengadu dan kemahuan untuk melepaskan tekanan tersebut disalurkan dengan membuli pelajar lain. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab mengenali anak-anak mereka dan mendidik mereka dengan keperibadian mulia dan unggul agar sahsiah mereka yang cemerlang akan menjadikan mereka seorang yang berjaya kelak.

Isi 2

Selain itu, punca gejala buli ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita diperingkat remaja adalah disebabkan pengaruh televisyen dan media massa. Faktor umur yang semakin menaik menjadikan seseorang itu ingin menunjukkan kekuatannya dengan menjadi pembuli hasil pengaruh daripada filem-filem tempatan seperti KL Gangster dan lain lain. Bahan seni yang memaparkan sisi buruk sebuah masyarakat tidak sepatutnya menjadi tontonan umum kerana kanak-kanak yang kecil mudah terpengaruh dan ingin mencuba perkara baru. Penggiat seni dan stesen televisyen hendaklah memaparkan keindahan dan kemakmuran serta kekayaan budi bahasa rakyat kita dengan lebih banyak dan kerap agar ia menjadi ikutan anak muda sekaligus menjadi tanggungjawab sosial golongan media dalam membantu membina masyarakat yang bahagia dan harmoni.

Isi 3

Langkah yang boleh diambil dalam mengelakkan gejala buli dalam kalangan anak muda adalah dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Ibu bapa berperanan penting dalam mengambil berat segala aspek kehidupan anak-anak mereka. Perkongsian masalah, perbualan tentang lumrah kehidupan dan beriadah bersama-sama adalah contoh amalan mulia yang sepatutnya diamalkan dalam setiap institusi kekeluargaan dimana hubungan menjadi bertambah rapat dan kasih sayang antara ahli keluarga menjadi kukuh dan dipercayai. Ibu bapa hari ini juga perlu lebih bersedia dalam ilmu mendidik anak muda kerana cabaran dan dugaan generasi hari ini berbeza berbanding waktu mereka. Perbandingan zaman yang ketara perbezaannya tidak boleh disamakan tetapi ibu bapa boleh mencari idea dan berbincang apakah perkara yang baik dan tidak baik untuk anak-anak mereka dalam menghadapi kehidupan seharian.

Isi 4

Selain itu, guru-guru dan rakan-rakan di sekolah juga berperanan dalam melahirkan masyarakat yang membendung gejala buli-membuli. Langkah yang boleh diambil adalah mewujudkan golongan yang mesra, penyayang dan boleh dipercayai. Sebagai guru, mereka adalah orang kedua yang mampu melihat perilaku anak-anak muda selepas ibu bapa mereka. Guru di sekolah seharusnya menjadi sahabat yang boleh dipercayai sekiranya anak murid mereka mengalami masalah di rumah dan melarat hingga ke sekolah. Anak-anak muda ini memerlukan tempat yang mereka boleh meluahkan perasaan dan dipercayai supaya mereka tidak rasa tersisih dan mengendahkan perkara yang negatif berlaku dalam keluarga mereka. Penerapan kasih sayang dan perhatian mampu mengubah isi hati seseorang manusia yang bersikap negatif dan kasar menjadi lembut dan positif.

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak punca yang menyumbang kepada gejala buli dan kita telah kenal pasti beberapa langkah yang wajar diambil sebagai cara mengatasinya. Sebaiknya kita membanteras sedaya upaya gejala buli ini agar ia tidak berleluasa dan merosakkan keharmonian masyarakat kita diwaktu kelak. Seperti peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang bermaksud kita hendaklah mendidik anak-anak adat dan budaya yang baik dari muda agar tidak menyusahkan pada masa hadapan. Masyarakat yang sejahtera bermula dengan individu yang berakhlak mulia, bahagia serta berketrampilan agar generasi akan datang menjadi generasi yang hidup harmoni disamping memastikan negara terus berdaya saing dan maju di peringkat global.

Related : kes buli rakan sebaya menghina orang menyelesaikan masalah nilai murni pihak sekolah membuatkan orang untuk menangani menangani masalah