Karangan
Cara-Cara Menyayangi Haiwan Peliharaan Kita
Tema yang akan dikongsikan kali ini adalah berkenaan haiwan. Tema seperti ini memberi pilihan yang mudah kepada pelajar sekiranya mereka sendiri memelihara haiwan atau memahami sedikit sebanyak tentang haiwan peliharaan. Maka, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara menyayangi haiwan yang boleh dirujuk oleh pelajar-pelajar.
Penggunaan isi-isi penting yang menarik dan seimbang serta tiada kesalahan ejaan atau tatabahasa dapat membantu pelajar dalam menghasilkan penulisan karangan yang baik. Bagi menambah daya penarik, pelajar juga boleh menggunakan peribahasa dan frasa-frasa menarik dalam penulisan karangan masing-masing supaya dapat menangkap perhatian pembaca.
Karangan Sayangi Haiwan SPM
Isi-isi penting
- mengambil haiwan untuk dipelihara
- menjaga kebajikan haiwan seperti tempat tinggal, makan dan minum
- membuka lebih banyak pusat konservasi
- melawat zoo-zoo
- menyokong inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan
- memberikan dana atau insentif kepada pusat jagaan haiwan
Contoh Karangan Cara-Cara Menyayangi Haiwan Peliharaan
Pendahuluan
Kebelakangan ini, kita digemparkan dengan isu operasi pihak berkuasa dalam menangkap haiwan jalanan yang semakin banyak dari hari ke hari. Menuding jari ke satu pihak sahaja tidak menyelesaikan masalah kerana merka sebagai pihak berkuasa hanya melakukan tugas setelah menerima aduan awam akan risiko dan bahaya oleh haiwan jalanan ini. Namun begitu, cara pengendalian haiwan tersebut perlulah dengan cara yang baik dan sempurna agar tidak mencederakan dan memudaratkan. Haiwan juga merupakan makhluk tuhan yang punyai perasaan dan nyawa cuma tidak dikurniakan akal fikiran. Oleh itu, kita sebagai manusia yang punyai akal fikiran seharusnya lebih rasonal dan bijak dalam menangani isu ini. Marilah kita mengenali cara-cara menyayangi haiwan yang dapat kita amalkan sebagai penghargaan kurniaan tuhan mencipta kehadiran haiwan di muka bumi ini.
Isi 1
Langkah pertama dalam menyayangi haiwan adalah untuk mengambil mereka sebagai haiwan peliharaan. Seperti manusia, haiwan juga membiak dan populasi mereka akan bertambah. Tetapi disebabkan segelintir masyarakat yang memelihara haiwan hanya separuh jalan, menyebabkan haiwan seperti kucing dan anjing dilepaskan dijalanan dan menambah kepada jumlah haiwan jalanan. Sebelum kita mengambil keputusan untuk memelihara haiwan tersebut, kita perlu tepuk dada dan tanya selera samada kita mampu dan ahli keluarga kita setuju dan selesa untuk memelihara haiwan tersebut. Sekiranya tidak mampu atau tidak mendapat persetujuan, haiwan tersebut boleh dihantar ke pusat jagaan haiwan di mana mereka boleh membantu mencari penjaga lain yang berminat. Kajian saintifik telah membuktikan dengan kehadiran haiwan ini, penjaga tersebut mempunyai kadar risiko tekanan yang lebih rendah dan dapat mengelak daripada penyakit-penyakit seperti darah tinggi dan stress.
Isi 2
Seterusnya, apabila kita mengambil keputusan untuk memelihara haiwan tersebut, kita hendaklah memastikan kebajikan haiwan tersebut dijaga dengan baik dan sempurna. Pemberian makanan yang berkhasiat dan cukup nutrien akan memastikan haiwan tersebut sihat dan tidak membawa sebarang penyakit. Tempat tinggal yang selesa dan kondusif juga hendaklah disediakan agar haiwan tersebut rasa selesa dan mempunyai ruang bagi mereka beristirahat. Pengasingan tempat mereka membuang najis daripada tempat tidur dan tempat makan haiwan akan memastikan kebersihan mereka dijamin dan bebas daripada ancaman penyakit. Tambahan pula, pemberian rawatan perubatan juga diperlukan oleh haiwan ini. Hal ini kerana, kita tidak boleh meneka sekiranya haiwan tersebut mengalami masalah kesihatan ataupun tidak. Justeru, penjagaan kebajikan haiwan adalah wajib dilakukan oleh setiap penjaga haiwan kerana ia merupakan tanggungjawab setelah menerima amanah untuk memelihara mereka.
Isi 3
Mutakhir ini, bukan sahaja haiwan jalanan yang mempunyai isu untuk dibincangkan malahan haiwan liar di kawasan hutan yang semakin diancam kepupusan kerana kerakusan manusia mengejar pembangunan. Sebagai warganegara Malaysia, kita sepatutnya bersyukur dan menghargai kekayaan alam semula jadi yang menjadi rumah kepada ribuan jenis flora dan fauna. Kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak pusat konservasi sebagai langkah memelihara haiwan di hutan beserta habitat mereka daripada musnah. Dengan adanya pusat konservasi haiwan di habitat mereka sendiri dapat menjalani kehidupan mereka dan membiak tanpa gangguan sesiapa. pusat konservasi juga boleh menjadi kawasan penyelidikan haiwan sekaligus mengekalkan sumber asli yang kita miliki. tambahan pula, ia berpotensi besar untuk dijadikan kawasan tumpuan pelancong dimana konsep agro-pelancongan boleh diasimilasikan untuk kebaikan bersama. Maka, dengan inisiatif ini, semua ahli masyarakat dapat lebih mengenali dan menyayangi haiwan-haiwan yang berada di sekeliling kita.
Isi 4
Pada masa yang sama, bagi memupuk kasih sayang terutamanya dalam kalangan kanak-kanak terhadap haiwan adalah dengan melakukan lawatan ke zoo-zoo berdekatan. Dewasa ini, kita dapat lihat zoo-zoo mempunyai kesukaran dalam mengekalkan kebajikan haiwan kerana kedatanagn pelawat di zoo semakin berkurangan. Akibatnya mereka mengabaikan kebajikan haiwan dan terpaksa mencari sukarelawan dalam menjaga zoo kerana kekangan bajet dalam operasi. Maka, semua pihak harus prihatin dan kerap melakukan lawatan ke zoo. Pakej yang menarik dan promosi yang lebih meluas harus dilaksanakan oleh pihak zoo dalam menarik semula minat masyarakat harini untuk melawat zoo dan melihat haiwan secara langsung dan dekat. Infrastruktur zoo juga wajar mendapat pengubahsuaian supaya ia lebih kondusif bagi haiwan-haiwan dan mesra pelawat yang majoriti adalah keluarga yang mempunyai kanak-kanak. Intihannya, kemudahan akses di zoo dapat menarik minat pelawat dan mendidik kanak-kanak untuk mengnali dan memahami seterusnya menyayangi haiwan-haiwan yang dipamerkan.
Penutup
Tuntasnya, pelbagai cara dapat dilakukan dalam memupuk sifat kasih sayang ahli masyarakat terhadap haiwan. Pengurusan dan cara pengendalian yang betul oleh semua pihak dapat membantu mengawal pembiakan haiwan jalanan dan inisiatif pemeliharaan alam semula jadi akan membantu usaha mengelakkan kepupusan haiwan di hutan. Bersama-samalah kita menjadi masyarakat madani yang menghargai makhluk ciptaan tuhan dan kejadian alam semula semula jadi agar ia dapat dimanfaatkan secara berterusan demi kelangsungan generasi akan datang. Janganlah kita lena dibuai arus kemodenan hari ini tanpa memikirkan nasib yang bakal menimpa generasi cucu cicit kita kelak. Bak kata peribahasa Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.