Karangan

Faedah Dan Langkah-Langkah Menggalakkan Orang Ramai Menderma Darah

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Karangan Bahasa Melayu selalunya menyentuh isu-isu berkenaan kemasyarakatan dan negara. Langkah ini dilaksanakan supaya pelajar bersikap peka dan cakna terhadap isu-isu semasa yang berkait dengan masyarakat setempat. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan faedah dan langkah menggalakkan orang ramai menderma darah.

Tajuk soalan atau tema karangan yang dikongsikan di bawah dapat memberikan kesedaran kepada para pelajar secara tidak langsung. Hal ini kerana,  pelajar akan mencari informasi yang berkaitan bagi menjadikannya sebagai isi-isi penting dalam penulisan karangan pelajar. Pengolahan yang mengandungi contoh yang menarik adalah digalakkan sebagai tanda pelajar memahami kehendak soalan yang diberikan.

peta minda feadah dan langkah menggalakkan derma darah

Kebaikan Dan Usaha-Usaha Menggalakkan Masyarakat Menderma Darah

Isi-isi penting

  • Membantu pesakit yang memerlukan
  • Mengetahui tahap kesihatan diri
  • Mengurangkan kalori dalam badan
  • Membudayakan aktiviti menderma darah
  • Berkempen secara holistik
  • Intervensi daripada agensi swasta

Baca juga: Tips Terbaik Untuk Mudah Menghafal

Contoh Karangan Kepentingan Orang Ramai Menderma Darah

Pendahuluan

Tahukah anda, apabila anda menderma darah walaupun sekali, anda dianggap sebagai insan yang istimewa kerana telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai harganya? Umum sedia maklum, darah adalah komponen yang penting dalam merawat pesakit di hospital. Keperluan dan permintaan terhadap darah meningkat dari tahun ke tahun hasil perkembangn industri kesihatan di dalam negara kita. Rawatan seperti pembedahan jantung, pemindahan organ dan pesakit talasemia memerlukan pemindahan dan penggunaan darah yang banyak. Kemeterian Kesihatan Malaysia telah pun menetapkan sasaran untuk menjadikan sekurang-kurangnya lima peratus rakyat di Malaysia sebagai penderma darah yang aktif. Walaupun sasaran itu tidak tercapai, namun bilangan penderma serta unit darah yang didermakan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Persoalannya, apakah faedah dan langkah menggalakkan orang ramai menderma darah demi manfaat bersama?

Isi 1

Antara faedah yang akan diperoleh sekiranya kita menderma darah adalah dapat membantu pesakit yang memerlukan. Setiap hari, pasti berlaku kemalangan dan kes-kes kecemasan di hospital. Doktor pula memerlukan bekalan darah bagi menstabilkan bilangan darah pesakit yang kehilangan darahnya dalam proses rawatan yang diberi. Bayangkan jika pesakit tersebut merupakan orang yang kita sayangi atau kenali, pasti kita akan melakukan perkara bagi menyelamatkan nyawa mereka. Justeru, kita dapat membantu orang yang dalam kesusahan dengan menderma darah dan boleh dianggap sebagai wira yang menyelamatkan pesakit yang memerlukan. Ibarat peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tambahan pula, apabila berlaku pandemik seperti COVID-19, hospital memerlukan sumbangan darah daripada pesakit yang telah sembuh bagi tujuan penyelidikan dan menyumbang kepada pencarian vaksin terhadap penyakit tersebut. Intihannya, menderma darah dapat meringankan beban orang yang memerlukan dan kelak kita juga akan diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk daripada Tuhan.

Isi 2

Seperti ungkapan orang-orang tua, kita hendaklah sediakan payung sebelum hujan. Begitu juga dengan menderma darah kerana ia dapat menjamin kesihatan diri penderma daripada risiko penyakit-penyakit tertentu. Sebelum menderma darah, pegawai perubatan akan melakukan pemeriksaan kesihatan secara ringkas. Kemudian, mereka akan memaklumkan kepada penderma berkaitan kumpulan darah, tekanan darah, tahap kolesterol dan pelbagai lagi. Pemeriksaan kesihatan secara percuma ini dapat membantu kita mengetahui tahap kesihatan masing-masing dan pengesanan awal dapat dilaksanakan jika kita menghidapi sebarang penyakit. Bukan itu sahaja, darah yang diderma akan ditapi terlebih dahulu bagi mengenal pasti jika penderma terdapat jangkitan virus seperti HIV dan hepatitis. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Kesannya, menderma darah dapat memastikan kita berwaspada terhadap ancaman kesihatan di samping membantu mereka yang memerlukan.

Isi 3

Bagi menggalakkan orang ramai, masyarakat kita seharusnya membudayakan aktiviti ini di setiap peringkat. Ianya memerlukan kriteria seperti berumur 18 hingga 60 tahun dan berat badan melebihi 45 kilogram. Oleh itu, setiap pihak seperti majikan atau institusi pengajian tinggi boleh memainkan peranan dengan menganjurkan aktiviti di kawasan masing-masing secara berkala. Langkah ini bukan sahaja memudahkan aktiviti malah dapat membudayakannya sebagai satu tanggungjawab sosial korporat. Bagi pelajar di institusi pengajian tinggi, pemberian merit kepada mereka yang menderma darah pasti dapat menggalakkan pelajar-pelajar untuk menyertainya. Konsep orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa wajar untuk diamalkan supaya faedah daripada aktiviti ini dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat.

Isi 4

Sejajar dengan langkah di atas, orang ramai boleh dipengaruhi untuk menderma dengan aktif melalui kempen yang lebih holistik. Masyarakat masa kini lebih gemar menonton video di media sosial berbanding siaran televisyen. Oleh itu, pihak kementerian dan agensi yang berkaitan perlu bekerjasama dalam melakukan intervensi terhadap kempen melalui seluruh platform media. Sebagai contoh, iklan khidmat masyarakat boleh diperbanyakkan siaran di televisyen dan radio. Manakala di sosial media, selebriti dan orang-orang ternama negara seperti menteri dan tokoh korporat perlu menunjukkan tauladan dengan menderma darah dan menggalakkan masyarakat menggunakan laman sosial masing-masing. Tindakan ini tidak seharusnya melibatkan sebarang kos kerana tiada harga yang boleh diletakkan atas nyawa seorang manusia. Natijahnya, kempen secara meluas dan menggunakan sentimen kemasyarakatan pasti dapat menggalakkan orang ramai untuk melakukannya dengan lebih kerap.

Penutup

Bagi menggulung perbincangan di atas, kesimpulan yang jelas adalah pelbagai faedah dan langkah yang boleh digarap untuk memastikan orang ramai menderma darah. Sesungguhnya menderma merupakan amalan yang mulia dan memberikan pelbagai manfaat kepada semua. Pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Darah Negara perlu menggunakan strategi yang lebih baik dalam menggalakkan dan mendidik masyarakat konvensional tentang kepentingannya. Sebagai warganegara yang berminda kelas pertama, tindakan terpuji ini dapat mengukuhkan penyatuan antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana kepelbagaian budaya serta perbezaan sosial bukan menjadi penghalang kepada kita untuk menderma sebaliknya ia dapay menyelamatkan nyawa yang lebih berharga.