Karangan

Punca Kecemerlangan Murid Dalam Akademik/ Pelajaran

Contoh Karangan Punca-Punca Kecemerlangan Murid Dalam Akademik untuk panduan semua. Adakah anda mencari-cari contoh karangan penulisan Bahasa Melayu sebagai rujukan? Jika ya, ikuti perkongsian di bawah sebagai salah satu contoh karangan penulisan Bahasa Melayu untuk anda. Isi-isi penting boleh dirujuk sebagai idea tambahan dalam penulisan karangan anda.

Sebagai seorang murid, kecemerlangan dalam akademik merupakan pencapaian yang diidam-idamkan semua. Oleh itu, penulisan karangan berkaitan topik ini dapat memberi manfaat yang berguna kepada mereka. Dengan mencapai kecemerlangan akademik, ibu dan bapa akan berasa bangga terhadap anak-anak mereka serta dapat menempatkan diri ke institusi pengajian yang baik dan berprestij.

peta minda punca punca kecemerlangan murid dalam akademik Punca Kecemerlangan Murid Dalam Akademik/ Pelajaran

Faktor Kecemerlangan Pelajar Dalam Akademik

Isi-isi penting

  • Memberikan tumpuan di dalam kelas
  • Sokongan daripada ibu bapa
  • Program kecemerlangan akademik
  • Pembelajaran secara berkumpulan
  • Pembahagian masa yang efektif
  • Rajin mengulang kaji pelajaran

Baca juga: Contoh-Contoh Karangan SPM Bahasa Melayu Terbaik

Contoh Karangan Punca-Punca Kecemerlangan Murid Dalam Akademik

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan hari ini, kecemerlangan akademik memainkan peranan yang penting dalam pencapaian seorang murid. Tidak dinafikan bahawa sistem persekolahan di Malaysia mementingkan pencapaian akademik berbanding pencapaian keseluruhan tetapi ia buka alasan kerana sesiapa sahaja mampu mencapai kejayaan jika mempunyai iltizam yang kuat. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Justeru, murid-murid serta masyarakat harus membuka mata bahawa golongan muda-mudi ini yang bakal menggantikan pemimpin masa kini dan seterusnya memacu negara ke arah yang lebih baik. Jika pendidikan mereka tidak mencapai tahap yang cemerlang, bagaimana kita sebagai sebuah masyarakat dan negara ingin berkembang maju dan bersifat inteligensia supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain? Oleh itu, perbincangan berkenaan faktor kecemerlangan murid dalam akademik dapat membantu pelajar dan juga ibu bapa mengenal pasti kaedah untuk mencapainya.

Isi 1

Antara punca murid-murid yang mencapai kecemerlangan akademik adalah dengan memberikan tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana ia merupakan masa yang ideal di mana guru menyampaikan ilmu dan murid cuba memahami apa yang disampaikan. Sebagai murid, anda seharusnya bertanyakan soalan dan cuba memahami pada waktu tersebut supaya masa terluang yang lain dapat digunakan untuk mengulangkaji dan berehat. Pelajar seharusnya menjauhi sifat bodoh sombong ibarat peribahasa Melayu malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Sikap proaktif pelajar di dalam kelas dan juga antara guru adalah digalakkan keran ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja dari sudut akademik tetapi juga pembentukan sahsiah. Jelasnya dengan menumpukan perhatian di dalam kelas adalah elemen penting kepada pelajar untuk mencapai pencapaian akademik.

Isi 2

Selain itu, sokongan dan dorongan daripada ibu dan bapa adalah mustahak dalam memastikan murid-murid mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Murid-murid yang berumur setahun jagung memerlukan bimbingan dan dorongan dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Antara peranan yang boleh dilakukan oleh ibu dan bapa adalah dengan memastikan kebajikan mereka terjaga. Suasana yang kondusif seperti hubungan kekeluargaan yang bahagia serta makan dan minum terjaga pasti melahirkan anak-anak yang bahagia serta bersyukur. Selain itu, ibu dan bapa juga seharusnya sentiasa menunjukkan tauladan yang terbaik di rumah supaya menjadi ikutan anak-anak. Misalnya apabila mereka melihat bapa rajin membantu ibu dalam melakukan kerja-kerja rumah mereka pasti akan mendapat inspirasi supaya menjadi rajin seperti ibu dan bapa mereka. Nilai-nilai murni ini pastinya mereka dapat tafsirkan dalama usaha mereka untuk mencapai kecemerlangan akademik di sekolah secara tidak langsung.  Izharnya, sokongan moral daripada ibu dan bapa adalah penting dalam memastikan murid-murid cemerlang dalam bidang akademik.

Isi 3

faktor lain yang mendorong kepada kecemerlangan murid-murid dalam bidang akademik adalah dengan menyertai program kecemerlangan akademik yang dianjurkan pihak sekolah atau disertai secara sendirian. Bengkel kecemerlangan akademik memberikan pelbagai manfaat kepada pelajar kerana murid-murid akan terdedah kepada teknik atau kaedah pembelajaran yang baru dan berguna kepada mereka. Pelajar yang mungkin sebelum ini tidak menjumpai corak pembelajaran yang sesuai dengan mereka pasti dapat mengadaptasi teknik pembelajaran yang berbeza dan berkesan kepada mereka. Selain itu, dari sudut motivasi juga penting supaya pelajar mempunyai semangat yang cekal dan membentuk keperibadian yang luhur. Sekolah bukan sahaja berperanan melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik tetapi juga dari setiap segi emosi, jasmani dan rohani. Oleh itu, kecemerlangan akademik bergantung kepada kemampuan pelajar tersebut tetapi jika pihak sekolah dan ibu, bapa berjaya memberikan sokongan mereka mampu untuk berjaya.

Isi 4

Sebagai pelajar yang berminda kelas pertama, saya berpendapat bahawa pembelajaran secara berkumpulan juga menyumbang kepada kecemerlangan akademik murid-murid. Setiap di antara kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Begitu juga dengan tahap kecemerlangan akademik pelajar. Bagi mengimbangkan perkara tersebut, kaedah pembelajaran secara berkumpulan dapat membantu murid-murid. Apabila perbincangan berlaku dalam kumpulan, murid-murid dapat menerangkan mata pelajaran yang mereka mahir dan yang kurang mahir akan mendapat input yang sama. Secara tidak langsung usaha membantu antara satu sama lain ini sesuai dengan peribahasa Melayu, bagai aur dengan tebing. Tambahan pula, apabila pelajar masuk ke alam pekerjaan kelak, bekerja dalam kumpulan adalah mustahak dalam menyelesaikan masalah dan pelajar memerlukan kemahiran berkomunikasi yang baik agar kaedah ini berkesan menyelesaikan masalah yang dibincangkan. Intihannya, pembelajaran secara berkumpulan menyumbang ke arah kecemerlangan akademik dalam kalangan murid-murid.

Penutup

Kesimpulan daripada perbincangan  di atas, pelbagai punca yang mendorong ke arah kecemerlangan akademik murid-murid. Kita boleh lihat bahawa bukan murid sahaja perlu berusaha tetapi masyarakat sekeliling mereka iaitu ibu, bapa dan guru juga memainkan peranan dalam menggembleng tenaga agar pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya dalam mencorak masa hadapan keluarga, masyarakat dan negara yang lebih cerah, kecemerlangan akademik wajar menjadi kebudayaan nusa bangsa.  Apabila generasi muda bersifat celik dan inteligensia, nescaya negara akan menjadi lebih progesif dan maju bersama-sama negara lain. Pendidikan adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.