Karangan
Ciri-Ciri Remaja Yang Berwawasan Menjana Kemajuan Negara
Makluman kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu. Penulisan karangan merupakan antara soalan yang perlu dijawab oleh para pelajar. Anda perlu membuat persediaan yang baik sebelum menduduki kertas peperiksaan yang melibatkan penulisan karangan Bahasa Melayu. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut adalah contoh karangan ciri-ciri remaja yang berwawasan.
Contoh yang dikongsikan merangkumi pendahuluan, isi-isi penting dan penutup. Anda digalakkan untuk sentiasa mendapatkan bimbingan dan panduan daripada guru masing-masing apabila merujuk sumber secara atas talian. Selain itu, bagi mendapatkan penulisan karangan yang cemerlang, pelajar perlu sentiasa menggunakan tatabahasa yang betul serta mengelak daripada melakukan kesalahan yang lazim seperti kesalahan ejaan dan sebagainya.
Isi Kandungan
Ciri-Ciri Remaja Berwawasan Kepentingan Kepada Pembangunan Negara
Isi-isi penting
- Personaliti yang mulia
- Mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi
- Bersemangat patriotik
- Bertanggungjawab
- Tidak berputus-asa
- Berani mencuba sesuatu yang baru
Baca Juga : Cara Memupuk Semangat Patriotisme
Contoh Karangan Ciri-Ciri Remaja Yang Berwawasan
Pendahuluan
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh golongan remaja hari ini. Generasi muda merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, mereka tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Kelekaan dalam menikmati hiburan yang dihidangkan oleh teknologi hari ini bakal memberi kesan yang buruk kepada mereka. Justeru, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengubah persepsi dan tingkah laku golongan remaja dengan mengenal pasti apakah ciri-ciri remaja berwawasan?
Isi 1
Remaja yang berwawasan adalah golongan remaja yang mempunyai personaliti yang mulia. Personaliti boleh didefinisikan sebagai tingkah laku, keperibadian dan akhlak seseorang. Remaja yang mempunyai personaliti yang mulia mempunyai tingkah laku yang sopan, saling hormat-menghormati dan mengamalkan nilai-nilai murni yang lain. Selain itu, menjaga kesihatan dengan bersukan dan memastikan kebersihan diri dan kawasan sekeliling di tahap yang baik adalah ciri personaliti yang mulia. Dengan personaliti yang sebegini, mereka akan mudah didampingi dan berkomunikasi dengan semua pihak tanpa mengira umur dan latar belakang. Mereka juga tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Intihannya, remaja yang berwawasan adalah remaja yang mempunyai personaliti yang mampu membezakan yang mana kaca dan yang mana permata supaya tidak terjerumus ke dalam lembah kegagalan dalam kehidupan.
Isi 2
Pada masa yang sama, remaja yang berwawasan juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Ilmu pengetahuan merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi era globalisasi yang serba mencabar akal dan minda. Golongan remaja perlu mengutamakan pembelajaran daripada melakukan perkara lain yang sia-sia. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Justeru, ketekunan dan tidak berputus-asa merupakan nilai yang mustahak dalam mendepani rintangan untuk menguasai ilmu pengetahuan. Persis kata peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Isi 3
Di samping itu, bersikap patriotik terhadap negara adalah ciri-ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana, George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Oleh itu, dengan menanam sikap cinta akan negara dalam golongan remaja, ia pasti dapat membantu negara dari segi kemajuan dan potensi untuk berjaya bersaing dengan negara yang lain. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Para remaja yang berwawasan akan memastikan budaya, tradisi dan warisan negara dipelihara di samping mengejar kemajuan yang diacu sendiri oleh air tangan mereka. Jiwa patriotik yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global.
Isi 4
Akhir sekali, ciri-ciri remaja yang berwawasan adalah remaja yang sedar dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Perjalanan kita sebagai manusia dari kecil sehingga dewasa banyak berubah apabila kita mempunyai tanggungjawab sama ada sebagai seorang pelajar, seorang anak dan seterusnya menjadi ketua keluarga. Justeru, linkungan usia remaja merupakan masa yang penting bagi seseorang individu untuk belajar menggalas tanggungjawab supaya di masa hadapan ia menjadi sesuatu perkara yang mudah. Remaja yang berwawasan akan melaksanakan tugas atau tanggungjawab mereka sebagai pelajar dengan mendapatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Manakala tanggungjawab sebagai anak pula sentiasa menjaga hati budi dan membalas jasa ibu bapa mereka dengan membantu menyelesaikan kerja-kerja rumah. Kesannya, golongan remaja ini akan lebih matang apabila diamanahkan dengan tanggungjawab yang lebih berat pada masa akan datang.
Penutup
Konklusinya, ciri-ciri remaja yang berwawasan terdiri daripada pelbagai aspek kehidupan. Golongan remaja adalah golongan yang penting dalam menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat mahupun negara. Justeru itu, setiap pihak daripada keluarga, guru, kerajaan dan ahli masyarakat sendiri perlu menggembleng tenaga untuk memanifestasikan mekanisma terbaik bagi memupuk dan melahirkan remaja yang berwawasan. Persis kata peribahasa Melayu, seikat bagai sirih, serumpun bagai serai. Semoga setiap anjakan paradigma yang diatur mampu memberikan kesan yang efektif kepada mereka dalam menjadi tunjang masa hadapan negara.