Sekolah

Senarai Mata Pelajaran Sekolah Rendah KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah)

Terdapat lebih 7000 buah sekolah rendah di seluruh Malaysia yang menempatkan murid bermula dari tahun 1 hingga tahun 6 (berumur antara 7 hingga 12 tahun). Setelah enam tahun belajar di sekolah rendah, murid-murid akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai cara untuk menilai prestasi pembelajaran mereka sebelum melangkah ke peringkat persekolahan yang lebih tinggi iaitu menengah rendah dan atas. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang subjek yang dipelajari oleh murid-murid sekolah rendah, berikut dikongsikan Senarai Mata Pelajaran Sekolah Rendah KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah semakan 2017) buat panduan semua.

KSSR adalah inisiatif untuk memastikan selepas enam tahun persekolahan, murid mencapai standard pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap. KSSR memberi penekanan terhadap 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan menilai. Kemahiran menilai adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik. Inisiatif ini berhasrat melahirkan murid yang bersekolah dari umur 7 hingga 12 tahun untuk menguasai kemahiran yang lebih kompleks, perolehan pengetahuan dan mendapat perkembangan sahsiah yang baik.

peta minda mata pelajaran sekolah rendah Senarai Mata Pelajaran Sekolah Rendah KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah)

Senarai Mata Pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Pada tahun 2017, Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) telah memperkenalkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PSSR) sebagai pendekatan berbeza untuk menilai tahap kejayaan murid sepanjang enam tahun persekolahan. Laporan kejayaan murid ini lebih menyeluruh dan tidak hanya berfokus kepada keputusan UPSR.

Ianya juga melaporkan secara formal tentang profil murid dari segi kecerdasan, tahap penguasaan dalam mata pelajaran di sekolah,  kecergasan, tahap kesihatan serta penglibatan murid dalam aktiviti luar bilik darjah. Berikut dikongsikan komponen penting yang membentuk PSSR:

Komponen PSSR

Berikut ialah empat komponen yang terdapat dalam PPSR:

  • Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)

Pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD lebih bersifat formatif iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dan membantu guru membuat diagnosis bagi mengesan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa.

  • Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)

Pentaksiran kegiatan kokurikulum sekolah dan aktiviti kecergasan fizikal murid. Kegiatan kokurikulum merangkumi tiga aktiviti utama iaitu Kelab/Persatuan, Pasukan Badan Beruniform dan Sukan/Permainan. PAJSK bertujuan untuk menyediakan satu kaedah pentaksiran aktiviti kokurikulum dan kecergasan murid yang standard dan boleh diterima pakai oleh semua sekolah. PAJSK dilaksanakan sepanjang tempoh persekolahan setiap tahun.

  • Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

Pentaksiran ini untuk mengumpul data dan maklumat profil murid di sekolah sebagai usaha KPM menyediakan pelaporan murid yang menyeluruh. PPsi terdiri daripada beberapa ujian yang berbeza bergantung kepada keperluan dan kesesuaian dengan peringkat persekolahan.

  • Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR)

Pentaksiran ini dilaksanakan mulai tahun 2016 untuk menggalakkan penglibatan dan pembelajaran bermakna melalui aktiviti dalam situasi sebenar kehidupan murid. PASR bertujuan untuk menyediakan pelaporan komprehensif khusus bagi Murid Berkeperluan Khas

  • Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)

Peperiksaan UPSR menilai pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di samping Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). UPSR berperanan sebagai checkpoint untuk mengukur kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul selama enam tahun di sekolah rendah.

Senarai Mata Pelajaran Teras Dan Tambahan Sekolah Rendah (KSSR)

Berikut dikongsikan senarai mata pelajaran sekolah rendah mengikut tahap dan jenis mata pelajaran samada teras atau tambahan.

Mata Pelajaran Tahap I (Tahun 1-3)

Mata Pelajaran Teras
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sains
5. Pendidikan Islam / Pendidikan Moral
6. Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan
7. Pendidikan Kesenian
8. Bahasa Cina untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
9. Bahasa Tamil untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
Mata Pelajaran Tambahan
1.Bahasa Arab
2. Bahasa Cina untuk Sekolah Kebangsaan
3. Bahasa Tamil untuk Sekolah Kebangsaan
4. Bahasa Iban
5. Bahasa Kadazandusun
6. Bahasa Semai

Subjek yang ditawarkan di Tahun 4 hingga 6 sekolah rendah adalah seperti berikut :-

 Mata Pelajaran Tahap II (Tahun 4-6)

Mata Pelajaran Teras
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sains
5. Pendidikan Islam / Pendidikan Moral
6. Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan
7. Pendidikan Kesenian
8. Sejarah
9. Reka Bentuk dan Teknologi
10. Bahasa Cina untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
11. Bahasa Tamil untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
Mata Pelajaran Tambahan
1.Bahasa Arab
2. Bahasa Cina untuk Sekolah Kebangsaan
3. Bahasa Tamil untuk Sekolah Kebangsaan
4. Bahasa Iban
5. Bahasa Kadazandusun
6. Bahasa Semai

SUMBER : Pelaksanaan KSSR

Semoga perkongsian berkaitan Senarai Mata Pelajaran Sekolah Rendah dapat membantu anda terutamanya ibu dan bapa yang mempunyai anak bersekolah di sekolah rendah.