Karangan

Cara Dan Langkah Memartabatkan Bahasa Malaysia

Variasi tema dan tajuk yang berpotensi menjadi soalan karangan dalam kertas peperiksaan Bahasa Melayu. Sebagai pelajar, anda perlu bersikap proaktif dan rajin dalam mencari contoh-contoh karangan yang menggunakan pelbagai jenis tema sebelum menduduki peperiksaan. Berikut dikongsikan contoh karangan langkah-langkah memartabatkan Bahasa Malaysia untuk rujukan semua.

Tajuk soalan ini sepatutnya mudah untuk dihuraikan oleh para pelajar kerana ia bertemakan bahasa kebangsaan yang merupakan bahasa percakapan majoriti pelajar di Malaysia. Tetapi anda perlu meneliti dan memberikan isi-isi penting yang tepat dan memenuhi kehendak soalan yang diberikan. Huraian dalam penulisan karangan yang menyertakan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana pasti akan menarik minat pembaca dan menjamin markah yang cemerlang.

peta minda langkah memartabatkan bahasa Malaysia Cara Dan Langkah Memartabatkan Bahasa Malaysia

Usaha-Usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia (Bahasa Kebangsaan)

Isi-isi penting

  • Memastikan urusan rasmi negara menggunakan Bahasa Malaysia
  • Memansuhkan sekolah vernakular
  • Menerbitkan buku, seni dan kandungan dalam Bahasa Malaysia
  • Memperkasa Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Melibatkan syarikat korporat dalam aktiviti kebahasaan
  • Menguatkuasakan penggunaan Bahasa Malaysia dalam penyiaran dan pengiklanan

Baca juga: Senarai Kesalahan Ejaan Dan Imbuhan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Langkah-Langkah Memartabatkan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Kebangsaan

Pendahuluan

Bahasa Malaysia adalah sebuah bentuk standard bahasa Melayu yang dipiawaikan mengikut tetapan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia. Pada tahun 2007, Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia bagi menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Jika ditelusuri sejarah terdahulu, Bahasa Malaysia pernah menjadi “Lingua Franca” iaitu bahasa perantaraan pedagang-pedagang dunia pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Kini, dimanakah letaknya martabat bahasa yang dahulunya dituturkan hampir kebanyakan penduduk dunia yang berdagang di Melaka? Kita sewajarnya mengkaji dan menyelidik langkah-langkah yang perlu diambil bagi memartabatkan semula Bahasa Malaysia di persada negara.

Isi 1

Antara langkah yang boleh dilaksanakan untuk memartabatkan Bahasa Malaysia adalah dengan memastikan urusan rasmi negara seperti surat-menyurat menggunakan Bahasa Malaysia. Tindakan ini sewajarnya diimplementasi di setiap peringkat daripada jabatan kerajaan, agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan hingga ke jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung. Hal ini demikian kerana, ia menunjukkan bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang digunakan dalam urusan yang melibatkan pentadbiran di negara ini. Terdapat sebahagian daripada jabatan kerajaan dan agensi yang lebih gemar menggunakan Bahasa Inggeris dalam komunikasi dan juga penjenamaan kempen dan sebagainya. Sifat nafsi ini boleh diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana tindakan tersebut seolah-oleh mengenepikan bahasa yang membentuk pemikiran dan diri mereka pada asalnya. Maka, setiap kakitangan awam dan sesiapa yang berkerja di bawah payung Kerajaan Malaysia sewajarnya menggunakan Bahasa Malaysia dalam kebanyakan perkara khususnya perkara rasmi sebagai tauladan kepada masyarakat untuk mempraktikkan ia dalam kalangan diri mereka sendiri.

Isi 2

Di samping itu, Bahasa Malaysia boleh dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi dengan menghapuskan sekolah vernakular. Kita boleh lihat kesan penubuhan sekolah vernakular pada hari ini di mana terdapat warganegara Malaysia yang tidak fasih malah tidak mampu bertutur dalam Bahasa Malaysia. Situasi ini adalah tidak sihat untuk negara kita yang telah lama merdeka dan hidup dalam kalangan masyarakat majmuk. Bayangkan jika anak-anak kita tidak boleh berkomunikasi dengan masyarakat daripada kaum Cina dan India kerana terdapat batasan bahasa dan bagaimana mereka ingin mengenali dan menghormati antara satu sama lain? Bahasa merupakan agen perpaduan yang asas dan sewajarnya dipupuk dan diperkukuhkan sejak kecil. Persis peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Intihannya, perpaduan antara kaum dan bangsa dalam negara masih lagi utuh tetapi isu-isu rasisme masih menjadi polemik sehingga hari ini dan dengan menyatukan institusi persekolahan rendah, ia pasti dapat merencana perpaduan yang lebih kukuh.

Isi 3

Selain itu, penerbitan buku, bahan bacaan, seni lagu serta kandungan digital yang menggunakan Bahasa Malaysia seharusnya digalakkan. Kerancakan bidang penerbitan dilihat semakin perlahan kerana revolusi teknologi hari ini dan ia perlu diadaptasi dengan segera. Masyarakat terdahulu disajikan dengan bait-bait sajak dan syair daripada karyawan-karyawan yang mampu menyuntik semangat diri dan negara. Namun perkara tersebut sudah tenggelam dek kemajuan zaman. Masyarakat hari ini tidak lagi mempunyai wadah-wadah yang berilmu yang mampu melahirkan semangat cinta akan negara serta nilai-nilai murni yang lain. Sebaliknya kita disajikan dengan drama dan hiburan yang hanya mengeluarkan tawa dan tidak membentuk minda masyarakat ke arah yang lebih baik. Persepsi dan budaya ini seharusnya disedari oleh semua pihak dan mula bertindak untuk mengubah kepada perkara yang lebih bermanfaat. Misalnya, masyarakat terdahulu di kawasan pantai timur mempunyai seni wayang kulit yang mengetengahkan isu-isu semasa dan memberikan pengajaran kepada penonton yang menikmati seni warisan tersebut. Deduksinya, karya dan terbitan kreatif yang menggunakan bahasa ibunda kita akan lebih bermakna jika masyarakat mula menghargai dan menyokong karyawan-karyawan untuk terus menghasilkan wadah kepada masyarakat.

Isi 4

Akhir sekali, langkah yang boleh dilaksanakan bagi memartabatkan Bahasa Malaysia adalah dengan memperkasa Dewan Bahasa Dan Pustaka. Badan berkanun ini ditubuhkan dengan objektif untuk membina dan memperkaya bahasa Malaysia dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. Oleh itu, insentif daripada pihak berkuasa yang konsisten dan jumlah yang besar diperlukan supaya inisiatif-inisiatif yang dirancang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dapat dilaksanakan. Seterusnya, badan tersebut harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan bahasa Malaysia. Sebagai contoh, aktiviti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Ia telah berjaya menarik penyertaan peserta daripada serata dunia seperti Korea Selatan, Rusia dan Kanada. Kesannya, keunikan dan keindahan Bahasa Malaysia akan menjadi buah mulut dan disebarkan ke masyarakat dunia yang duduk beribu jauhnya daripada tanah nusantara.

Penutup

Secara tuntas, pelbagai langkah yang boleh digarap untuk meningkatkan martabat Bahasa Malaysia. Jelas bahawa semua pihak perlu memanifestasikan fikiran dan sinergi untuk mencari inisiatif terbaik dalam meningkatkan darjat Bahasa Malaysia bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi di persada dunia. Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuklah bidang bahasa dan budaya. Kita seharusnya mengelak daripada menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing dan menidakkan kebolehan bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Malaysia. Bak kata pepatah Melayu, yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Related : menjaga bahasa kebangsaan cina dan bahasa tamil bahasa malaysia dalam kalangan usaha memartabatkan bahasa malaysia kepentingan bahasa