Nota

Novel Songket Berbenang Emas : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran

Disemak dan dikemaskini pada pukul

Perhatian kepada pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Adakah anda menghadapi masalah untuk mengulang kaji atau menghafal isi-isi/ bahan-bahan penting berkaitan novel komponen sastera Bahasa Melayu? Jika ya, berikut dikongsikan nota-nota bagi Novel Songket Berbenang Emas sebagai rujukan untuk para pelajar.

Novel ini merupakan karya Khairuddin Ayip yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau telah menghasilkan pelbagai karya kreatif seperti novel remaja, cerpen dan sajak. Hasil penglibatannya dalam penulisan kreatif, beliau telah memenangi beberapa anugerah seperti tempat pertama dalam peraduan menulis Novel Kanak-Kanak DBP pada tahun 1987 dengan karya Sayang Disayangi. Selain itu, beliau juga berjaya mendapat tempat pertama dalam peraduan menulis Novel Remaja DBP pada tahun 1990 dengan karya Songket Berbenang Emas.

Baca juga: Format Baharu SPM 2021 (Sijil Pelajaran Malaysia)

Sinopsis & Tema Novel Songket Berbenang Emas (Tingkatan 5 SPM)

Di bawah adalah nota-nota penting berkaitan Novel Songket Berbenang Emas yang merangkumi sinopsis, tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, latar, gaya bahasa, nilai dan pengajaran.

1) Sinopsis

Novel ini mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang murid yang bijak dan disenangi oleh teman-temannya. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga sehingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya. Dahlia yang merupakan anak sulung terpaksa memberikan perhatian kepada adik-adiknya setelah pelbagai masalah melanda keluarganya. Ibunya, Saleha dirawat di Hospital Permai kerana mengalami masalah mental. Ayahnya pula dipatuk ular sehingga dimasukkan ke wad selama beberapa hari. Adik lelakinya, Abu Bakar pula terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga tidak mahu belajar. Situasi ini telah menyebabkan Dahlia terpaksa keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya. Tekanan hidup Dahlia semakin bertambah apabila hubungannya dengan Azhari dipandang serong oleh jirannya. Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said tidak dihargai, malah dicemuh pula kerana gagal menyelamatkannya. Walau bagaimanapun, Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan. Hikmah di atas kesabarannya menghadapi pelbagai dugaan hidup ialah apabila Dahlia dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan bertunang dengan Azhari.

2) Tema

Tema novel ini adalah kecekalan seorang remaja, Dahlia seorang remaja berusia 19 tahun dalam menempuh cabaran hidup.

  • Dahlia menghadapi dugaan hidup apabila ibunya menghadapi tekanan perasaan yang hebat sehingga menjadi kurang siuman dan dirawat di Hospital Taman Bahagia.
  • Manakala ayahnya dirawat di hospital kerana dipatuk ular.
  • Mak Aton menuduh Dahlia sebagai punca kematian Said.
  • Nek Kiah mahu menjual tanah yang menjadi tempat tinggal.
  • Dahlia dan keluarganya terpaksa belajar dalam keadaan kurang selesa di pusat pemindahan banjir.
  • Berkat ketabahan Dahlia, akhirnya dia telah berjaya dalam STPM dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Jepun

3) Persoalan

A) Persoalan tentang kasih sayang antara ahli keluarga: Dahlia sangat menyayangi emaknya, Saleha. Buktinya,dia melawat Saleha yang dirawat di Hospital Taman Bahagia dan berharap agar emaknya segera sembuh.

B) Persoalan tentang kejayaan hasil daripada kegigihan dalam pelajaran: Dahlia tetap mengutamakan pelajarannya dengan meminjam nota dan bertanyakan kepada Kavita dan Siti Wangi walaupun terpaksa membantu ayahnya menguruskan rumah tangga setelah ibunya di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.

C) Persoalan tentang sikap mementingkan diri dalam kalangan masyarakat: Buktinya, penduduk kampung tidak mahu bergotong-royong bagi menjayakan majlis Maulidur Rasul

D) Persoalan kemiskinan dalam masyarakat kampung: Dalam dunia moden hari ini, masih ada masyarakat kampung yang masih miskin dan memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan. Contohnya keluarga Embong yang masih miskin dan terpaksa berhutang dengan Tauke Lim untuk membeli barang-barang keperluan harian.

E) Persoalan tentang sikap suka membawa mulut dan berprasangka buruk kepada orang lain: Buktinya, Mak Aton membawa berita yang tidak betul mengenai Dahlia apabila Azhari dan Najib datang ke rumah Dahlia.

F) Persoalan tentang sikap prihatin sesama masyarakat: Buktinya, Tauke Lim menghadiahkan RM300.00 kepada Dahlia kerana Dahlia akan melanjutkan pelajaran ke Jepun.

G) Persoalan tentang percaya akan perkara tahayul: Buktinya, Nek Kiah dan Seman percaya bahawa Embong ditimpa nasib malang kerana mereka pembawa sial dan syaitan serta hantulah yang menyebabkan keluarga tersebut susah.

H) Persoalan keinsafan selepas menyedari kesilapan diri: Nek Kiah akhirnya insaf setelah Dahlia yang selama ini dibencinya telah menjaga dan merawatnya ketika terlantar sakit. Begitu juga dengan Abu Bakar yang selalu berpeleseran sehingga sanggup mencuri kambing ayahnya berubah sikap apabila ditempelak oleh rakan-rakannya sendiri.

I) Persoalan tentang kepentingan pelajaran demi masa hadapan yang cerah: Buktinya, Embong tidak membenarkan Dahlia berhenti sekolah dan dia sanggup berusaha untuk mendapatkan wang demi memastikan kejayaan anak-anaknya dalam pelajaran.

J) Persoalan pengekalan identiti bangsa dan jati diri: Azhari menghadiahkan sepasang kain songket berbenang emas kepada Dahlia sebagai tanda kenang-kenangan dan berpesan kepada Dahlia agar sentiasa mengingati asal-usulnya sebagai orang Melayu

4) Watak dan Perwatakan

Watak

Perwatakan

1.Dahlia (Watak Utama)
  • Anak sulung Embong dan Saleha dan mempunyai enam orang adik.
  • Pelajar tingkatan 6 Atas di Sekolah Menengah Perempuan Temenggung Ibrahim.
  • Dahlia bijak dalam pelajaran. Buktinya, dia menjadi harapan pihak sekolah dan guru kelasnya, Cikgu Hisyam sebagai calon yang bakal memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan STPM.
  • Selain itu, dia bertanggungjawab dan penyayang. Buktinya, dia menjaga adik-adiknya semasa emak dan ayahnya dirawat di hospital.
  • Dahlia cekal dalam menghadapi cabaran hidup. Buktinya, dia cekal dalam melalui pelbagai masalah keluarga.
  • Dia juga tegas akan keputusannya. Buktinya, Dahlia keluar dari asrama apabila didesak oleh warden asramanya, Cikgu Satwani.
  • Di samping itu, dia berani. Buktinya, dia terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Said yang lemas.
2. Embong (Watak Sampingan)
  • Embong ialah suami Saleha dan ayah Dahlia.
  • Dia ketua keluarga yang bertanggungjawab. Buktinya, dia gigih mencari wang untuk menyara keluarganya.
  • Selain itu, dia penyayang. Buktinya, dia berusaha untuk menjaga makan minum anak-anaknya ketika isterinya dirawat di hospital.
  • Dia juga penyabar. Buktinya, dia tabah menghadapi cabaran hidupnya seperti isterinya sakit, dia dipatuk ular, dia diumpat keji oleh ibu mentuanya, dan menghadapi masalah kewangan.
  • Embong juga berani. Bu
3. Saleha (Watak Sampingan)
  • Saleha ialah isteri Embong dan ibu Dahlia.
  • Dia hilang ingatan akibat terkena sihir sehingga terpaksa dirawat di Hospital Taman Bahagia.
  • Dia penyayang. Buktinya, dia menjaga keperluan anak-anaknya dengan baik ketika dia sihat.
  • Saleha juga rajin. Buktinya, dia sering mengikut suaminya menorah getah untuk membantu suaminya.
  • Dia berfikiran terbuka. Buktinya, dia membenarkan Dahlia bertunang dengan Azhari meskipun anaknya itu masih muda.
  • Selain itu, dia peramah dan berhemah tinggi. Buktinya, dia melayan tetamunya dengan baik dan mempelawa mereka masuk ke rumahnya serta menyajikan hidangan.
  • Pada akhir cerita, Saleha sembuh setelah barang sihir itu dibuang ke dalam sungai oleh anaknya.
4. Abu Bakar (Watak Sampingan)
  • Abu Bakar ialah anak kedua Embong dan Saleha serta anak lelaki tunggal.
  • Dia penganggur. Buktinya, dia tidak bekerja sejak menamatkan pelajaran pada peringkat tingkatan lima dan memperoleh pangkat tiga.
  • Dia gemar berfoya-foya. Buktinya, dia sanggup meminjam motosikal kawannya untuk menonton wayang.
  • Selain itu, dia pemalas. Buktinya, dia tidak mahu menjaga adiknya yang menangis dan membantu kakak serta ayahnya menguruskan keluarga sewaktu emaknya dirawat di hospital.
  • Abu Bakar juga pemarah. Buktinya, dia memarahi Melati apabila adiknya itu melawan kata-katanya
  • Dia juga mementingkan diri sendiri. Buktinya, dia sanggup mencuri dua ekor kambing ayahnya untuk dijual bagi mendapatkan wang dengan cara
    mudah.
  • Namun begitu, Abu Bakar insaf akan kesalahannya. Buktinya, dia membantu orang kampung ketika mereka mengadakan persiapan untuk menyambut Maulidur Rasul dan membersihkan persekitaran rumahnya
5. Azhari (Watak Sampingan)
  • Berkumis nipis, bermuka bulat, tinggi dan kacak.
  • Pelajar senior di sekolah Dahlia iaitu Sekolah Menengah Tun Ismail.
  • Berpendidikan tinggi – baru mendapat segulung ijazah.
  • Suka akan Dahlia
  • Seorang yang suka memberi nasihat- menyuruh Dahlia belajar bersungguh-sungguh.
  • Seorang yang pandai memujuk- Dia pandai memujuk Dahlia agar menerima lamarannya.
6. Siti Wangi (Watak Sampingan)
  • Sahabat Dahlia
  • Bermuka bulat dan sentiasa ceria
7. Tauke Lim (Watak Sampingan)
  • Berbangsa Cina
  • Seorang yang suka membantu keluarga Dahlia – sanggup membantu keluarga Dahlia dengan memberi hutang. Beliau juga sanggup memberi wang kepada Embong untuk dibayar kepada Nek Kiah yang berhasrat menjual tanah tempat mereka tinggal.
  • Seorang yang baik budi kerana memberi keluarga Dahlia berhutang
  • Seorang yang prihatin akan masalah orang lain-Sangat prihatin atas nasib keluarga Embong
  • Seorang yang pemurah – menyumbangkan barang-barang untuk sambutan Maulidur Rasul. Beliau juga memberi wang sebanyak RM300 kepada Dahlia yang akan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya sebelum ke Jepun.
8. Nek Kiah (Watak Sampingan)
  • Ibu Saleha
  • Suka membandingkan antara anaknya – Nek Kiah suka membandingkan anak-anaknya dengan keluarga Dahlia yang hidup dalam kemiskinan. Nek Kiah lebih menyayangi cucu-cucunya yang lain.
  • Tidak suka akan keluarga Dahlia kerana hidup dalam kemiskinan – Nek Kiah tidak suka akan keluarga Dahlia. Apabila keluarga Dahlia dalam kesusahan, dia langsung tidak membantu malah menyalahkan Saleha yang berkahwin dengan Embong yang tidak diketahui asal usulnya.
  • Seorang yang pemarah
  • Seorang yang suka mempercayai perkara tahyul- Nek Kiah mengatakan rumah Dahlia ada hantu. Dia menggores kapur di setiap pintu kerana dipercayai boleh menghalau hantu.
  • Seorang yang mementingkan diri- Nek Kiah tidak mengambil tahu akan keperitan hidup cucunya setelah Saleha dimasukkan ke hospital.

5) Plot

Binaan plot

Permulaan

  • Watak utama, Dahlia pelajar tingkatan enam atas sedang menjalani latihan bola jaring di padang bola jaring. Mereka berlatih untuk perlawanan dengan pelajar-pelajar enam rendah.
  • Semasa berhenti rehat, Dahlia teringat akan emaknya yang hilang ingatan. Kemudian, Azhari datang menemuinya di kantin sekolah dan memberitahu dia sudah tamat pengajiannya di universiti.
  • Azhari menyuarakan hasrat mahu merisik Dahlia. Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke rumahnya di Kampung Parit Haji Rais.

Perkembangan

  • Dahlia berasa amat sedih apabila melihat keadaan emaknya, Saleha menghadapi tekanan dan berada di kebun getah pada waktu senja. Emaknya sudah tidak mengenalinya lagi. Dahlia dan abahnya memujuk emaknya balik ke rumah dengan bantuan orang kampung.
    Nek Kiah menyalahkan Embong yang menyebabkan Saleha menjadi kurang siuman
  • Haji Sulaiman membantu dengan Saleha membawanya ke Hospital Batu Pahat dan seterusnya dihantar ke Hospital Permai di Johor Bahru kerana keadaannya semakin serius.
  • Dahlia terpaksa keluar dari asrama dan kerap ponteng sekolah kerana menguruskan adik-adiknya (kerana terpaksa menjaga adik-adiknya). Ayah Dahlia pula dimasukkan ke wad kerana dipatuk ular.

Perumitan/Konflik

  • Seman telah datang ke rumah Nek Kiah dan memujuknya untuk menjual tanah yang menjadi kawasan tempat tinggal Dahlia sekeluarga. Nek Kiah mahu Dahlia dan keluarganya berpindah sekiranya tidak mampu membayar sebanyak RM15,000. Dahlia tertekan kerana keluarganya tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu.
  • Aton menyalahkan Dahlia yang menyebabkan anaknya, Said mati lemas sedangkan Dahlia telah berusaha untuk menyelamatkan Said.
  • Nek Kiah memandang serong terhadap Dahlia atas kehadiran Azhari dan Najib ke rumah Dahlia. Begitu juga dengan Aton yang sering menyindir Dahlia.
  • Najib cuba untuk memikat hati Dahlia. Begitu juga dengan Azhari yang telah datang merisik Dahlia kerana bimbang Dahlia dipikat oleh orang lain.
  • Penduduk kampung sudah jarang mengamalkan sikap bantu-membantu dan prihatin terhadap orang lain. Selaku ketua kampung Haji Sulaiman menasihati orang-orang kampungnya agar bersatu dan prihatin kepada jiran tetangga.

Klimaks

  • Abu Bakar menjumpai kain merah yang sudah reput yang membungkus telur ayam yang mengandungi jarum peniti, cincin akik, butiran pasir dan paku. Dahlia menyuruh Abu bakar membuangnya ke sungai. Selepas itu, Saleha sudah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumahnya.
  • Nek Kiah pula sakit dan dirawat di hospital selama dua hari. Keluarga Dahlialah yang menjaganya. Setelah keluar dari wad, Nek Kiah tinggal dengan keluarga Dahlia sehingga benar-benar pulih. Nek Kiah mula berubah dan berbaik semula dengan keluarga Dahlia.
  • Banjir yang berlaku di Kampung Parit Haji Rais telah membawa hikmah apabila penduduk kampung bersatu dan bergotong-royong membina rumah Embong yang roboh dilanda banjir setelah dinasihati oleh Haji Sulaiman.

Peleraian

  • Dahlia tinggal di asrama semula kerana peperiksaan STPM semakin hampir.
    Keluarga Azhari menetapkan tarikh pertunangan Dahlia selepas peperiksaan STPM tamat.
  • Cikgu Daim datang membawa berita gembira apabila Dahlia terpilih untuk mengikuti pengajian di Jepun selama empat tahun. Sebelum ke Jepun, Dahlia perlu mengikuti kursus bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan.
  • Majlis pertunangan Dahlia terlewat kerana jurucakap majlis lewat sampai. Azhari datang berjumpa Dahlia di stesen bas sebelum Dahlia bertolak ke Kuala Lumpur.
  • Azhari telah menghadiahkan songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Dia mahu Dahlia menjaga jati dirinya sebagai orang Melayu walaupun berada di mana-mana jua.

Teknik Plot

  • Teknik pemerian – Pengarang memerihalkan keadaan di rumah Aton ketika Embong datang untuk melawat jenazah anak Aton.
  • Teknik dialog – Embong dan Dahlia berbual-bual tentang keadaan Saleha di Hospital Taman Bahagia.
  • Teknik imbas kembali – Embong teringat akan peristiwa Saleha pernah menghalau penagih hutang.
  • Teknik imbas muka – Dahlia membayangkan kata-kata Saleha kepadanya sewaktu dia ingin melawat emaknya itu di Hospital Taman Bahagia

6) Latar

Latar tempat

  • Di Sekolah Menengah Perempuan Temenggung Ibrahim – Dahlia belajar di
    Tingkatan 6 Atas dan tinggal di asrama sekolah.
  • Di rumah Dahlia di Kampung Parit Haji Lias, Penggaram – Dahlia menjaga adikadiknya ketika emaknya dirawat di hospital.
  • Di Hospital Batu Pahat – Dahlia melawat ayahnya di wad kerana dipatuk ular.
  • Di Hospital Taman Bahagia, Johor Bahru – Dahlia sedih kerana emaknya tidak mengenalinya lagi.
  • Di balai raya Kampung Parit Haji Lias – Dahlia, Abu Bakar, Aton, Haji Sulaiman, Hajah Maimon, dan beberapa orang penduduk bergotong-royong memasak untuk
    menyambut Maulidur Rasul.

Latar masa

  • Pada waktu pagi – Embong pulang daripada melawat jenazah Said di rumah Aton
    pada pukul 10.25 pagi.
  • Pada waktu petang – Dahlia pergi ke Hospital Batu Pahat untuk melawat emaknya
    tetapi emaknya telah dipindahkan ke Hospital Taman Bahagia, Johor Bahru.
  • Pada waktu senja – Embong dan Dahlia mengajak Saleha yang berada di kebun getah pulang ke rumah.
  • Pada waktu rnalam – Embong dan Dahlia mendengar sesuatu dari kandang kambing.

Latar masyarakat

  • Masyarakat pelajar – Dahlia, Siti Wangi, dan Kavita aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolah.
  • Masyarakat remaja yang menggemari perkara-perkara yang menyeronokkan – Abu Bakar banyak menghabiskan masanya untuk berhibur dan berpelesiran.
  • Masyarakat yang tabah dalam menghadapi ujian hidup – Embong tabah menghadapi keadaan keluarganya yang miskin dan cemuhan ibu mentuanya.
  • Masyarakat yang insaf akan kesilapannya – Abu Bakar insaf akan kesilapannya membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah di luar rumah
  • Masyarakat yang saling membantu – Haji Sulaiman selaku ketua kampung membantu keluarga Dahlia/Tempat Embong meluahkan perasaan. Tauke Lim membantu memberi hutang kepada keluarga Dahlia.
  • Masyarakat remaja yang terpengaruh dengan rakan sebaya – Abu Bakar, adik Dahlia suka berseronok dengan rakan-rakannya dan tidak mahu membantu keluarga mereka yang menghadapi masalah. Dia hanya pulang ke rumah untuk menukar baju sahaja.
  • Masyarakat remaja yang terlibat dalam percintaan – Azhari mencintai Dahlia. Walaupun dia mengetahui Dahlia mempunyai emaknya yang menghidap tekanan mental dan hidup dalam kemiskinan namun akhirnya dia tetap melamar Dahlia . Najib juga mencintai Dahlia. Dia mengambil berat apabila Dahlia kerap ponteng sekolah.

7) Gaya Bahasa

  • Repetisi: itulah madu, itulah racun. Menerima salah, menolak juga salah.
  • Metafora: gunung harapan, kotak fikirannya.
  • Simile: macam neraka, bagai hendak tersiat-siat hatinya, seperti mahu menelan.
  • Peribahasa: sudah terang lagi bersuluh, biar alah membeli, menang memakai.
  • Personifikasi: Motosikalnya mengaum membelah kesunyian pagi, bahang kepanasan bertakung di pelupuk mata, rumahnya roboh ditelan air.
  • Hiperbola: kepiluan kian menggunung.
  • Bahasa asing: Bahasa Inggeris, the best men win! Bahasa Jepun, Koi-bito. Bahasa Indonesia, ongkos. Bahasa Arab, Assalamualaikum, bismillah, insya-Allah.

8) Nilai

Nilai hemah tinggi
Abu Bakar mengakui kesalahannya menjual kambing-kambing ayahnya dan meminta
maaf daripada ayahnya itu.

Nilai kasih sayang
Dahlia ponteng sekolah beberapa hari untuk menguruskan adik-adiknya di rumah
sewaktu emak dan ayahnya menerima rawatan di hospital.

Nilai keikhlasan
Tauke Lim ikhlas membantu keluarga Embong tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Nilai nasihat-menasihati
Cikgu Hisyam dan Kavita menasihati Dahlia agar bersekolah semula demi masa depan
Dahlia setelah beberapa hari Dahlia ponteng sekolah.

Nilai kerjasama
Haji Sulaiman bekerjasama dengan pihak Hospital Batu Pahat untuk membawa Saleha
ke hospital tersebut bagi mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

Nilai semangat bermuafakat
Penduduk Kampung Parit Haji Lias bermuafakat dan bersatu padu selepas kampung
mereka dilanda banjir.

Nilai kerajinan
Dahlia rajin dan gigih belajar untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Nilai keberanian
Dahlia berani menempuh ujian Tuhan terhadapnya

Nilai Ketabahan: Dahlia tabah mengharungi dugaan dalam hidupnya. Dia tabah apabila emaknya sakit dan abahnya dipatuk ular (tabah kerana terpaksa menjaga). Dahlia juga tabah apabila mendapat tahu neneknya mahu menjual tanah tempat tinggal mereka.

Nilai keinsafan: Abu Bakar menyesal kerana terpengaruh oleh kawan-kawannya sehingga sanggup mencuri kambing milik bapanya.

Nilai setia kawan: Kavita seorang yang setia kawan apabila dia sanggup membuat salinan nota-nota untuk diberikan kepada Dahlia yang kerap tidak hadir ke sekolah kerana masalah keluarganya.

9) Pengajaran

Kita hendaklah membantu orang yang dalam kesusahan.
Tauke Lim sanggup membayarkan harga tanah yang mahu dijual oleh Nek Kiah
supaya Embong sekeluarga dapat terus tinggal di rumah mereka.

Kita mestilah berusaha untuk menyelesaikan setiap masalah yang kita hadapi. Dahlia berusaha untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapinya satu demi satu.

Kita janganlah bersangka buruk terhadap orang lain.
Sikap Mak Aton yang bersangka buruk terhadap Dahlia apabila melihat Dahlia dihantar oleh Azhari, janganlah kita ikuti kerana perbuatan tersebut akan menimbulkan perselisihan faham sesama masyarakat.

Kita mestilah bersedia menerima teguran orang lain demi kebaikan bersama.
Haji Sulaiman menegur penduduk kampung kerana mementingkan diri dan enggan bekerjasama.

Kita janganlah melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama.
Abu Bakar menjumpai telur yang diletakkan jarum dan paku di bawah rumahnya.

Kita haruslah insaf akan kesalahan yang kita lakukan.
Nek Kiah dan Abu Bakar insaf akan kesalahan yang telah dilakukan terhadap keluarga
mereka sendiri.

Semoga perkongsian berkaitan nota Novel Songket Berbenang Emas dapat membantu semua.

Related search : bahan bahan, buku teks